“Dia Lelaki Sempurna Bagi Saya, Allah Pinjamkan Dia Sekejap Sahaja..”

Share

Insiden kematian Pegawai Komando 11 Grup Gerak Khas (11 GGK), allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya yang terkena tembakan pagi semalam ketika latihan demonstrasi keupayaan Tentera Darat di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah cukup menyayat hati. Paling terkesan pastinya isteri, anak-anak dan keluarga tersayang allahyarham.

Sedu-sedan dan esakan tangis Nour Shafinar Harun,31, isteri Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya tidak terbendung lagi apabila mengenangkan suami tercinta pergi untuk selamanya.

Suami Jauhkan Diri

Berkongsi pilunya, Nour Shafinar berkata, sewaktu suaminya berlepas ke Sabah pada 26 Ogos lalu, tiada perubahan ketara namun, dia merasakan suaminya cuba menjauhkan diri daripadanya.

“Ketika menghantar dia ke Lapangan Terbang Subang, dia salam dan sayang (cium) macam biasa. Saya minta maaf dan halalkan makan minum saya.

“Saya rasa amat marah sewaktu di pergi ke Sabah, saya tahu dia pergi atas tugas. Tapi bila dah sampai sana, saya dapat rasa dia menjauhkan diri dengan saya. Dia bagi saya marah dia, macam nak jauhkan diri daripada saya.

“Saya kata kalau saya menyusahkan dia, lepaskan saya dengan cara baik. Tapi dia tidak cakap banyak,” katanya sebak.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu memberitahu, dalam panggilan terakhirnya dia meluahkan rasa sayang dan rindu kepada suaminya.

“Saya telefon dia, saya beritahu saya rindu dan sayang dia. Dia cuma jawab sayang dan dia tidak cakap banyak dan itu kali terakhir saya cakap dengan dia.

“Sepanjang perkahwinan dengan dia, kami bahagia dia memang lelaki sempurna bagi saya. Saya rasa bertuah sangat hidup dengan dia. ALLAH pinjamkan dia sekejap sahaja,”

katanya.

Suami Minta Sekeluarga Pindah Perak

Selain itu, Nour Shafinar berkata, 25 Ogos lalu, dalam perjalanan mereka berdua ke Melaka untuk berjumpa anak- anak, suaminya meminta mereka sekeluarga berpindah ke Perak.

“25 Ogos itu saya bawa dia balik ke Melaka untuk jumpa anak-anak. Dalam perjalanan dia ada beritahu saya supaya saya balik ke Perak. Saya sudah habis berkhidmat. Dia bagi kata putus untuk pindah ke Perak, senang dia nak tukar tempat kerja.

“Saya pegang kata-kata dia, dan pindah ke Perak dan kerja di Batu Gajah, dia tak bagi saya cari rumah di sana, tapi cari rumah dekat dengan ibu.

“Katanya kalau jadi apa-apa senang. Saya pun cari dekat Perak, tidak sangka perkara ini jadi secepat ini,” ujarnya.

Bercerita mengenai insiden malang yang menimpa suaminya, Nour Shafinar berkata, dia hanya menerima panggilan daripada pegawai tentera di Sabah yang memaklumkan suaminya sudah meninggal dunia.

“Cuma berita itu sahaja saya terima. Saya tidak tengok lagi apa-apa video mengenai kejadian,” jelasnya.

Majlis pengebumian Mejar Mohd Zahir Armaya di Tanah Perkuburan Islam Tambun dilaksanakan dengan penuh adat istiadat ketenteraan pasukan itu bermula pada jam 7.45 pagi tadi, setelah dia menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth pada jam 9.28 pagi semalam.

MW: Salam takziah buat keluarga perwira negara ini. Semoga dapat menerima ujian ini dengan redha dan diberi kekuatan serta kesabaran dalam mengharugi dugaan. Alfatihah.

Sumber: Sinar Harian

Published by
Suhaidah Abd Wahab