Dia bukan kawan baik saya tapi memang lebih rapat dengan mak – Shila Amzah. Kemelut kisah rumahtangga ibu bapanya membuatkan figura ini menjadi tumpuan media.
Ramai yang mahu menyelami isi hatinya sementelah, rakan sekolahnya, Siti Munirah berkahwin dengan bapanya dalam diam hingga membuatkan ibunya terasa hati hingga wujud spekulasi bahawa kedua ibunya akan bercerai kerana ibunya dilihat pergi ke Pejabat Agama selepas ini kecoh di media sosial.
Terkini, dalam ramai mengatakan ibu tirinya adalah kawan baiknya di sekolah, Shila Amzah tampil membuat kenyataan terkini bahawa Siti Munirah bukanlah kawan baiknya seperti diperkatakan.
Memetik laporan Harian Metro, penyanyi popular, Shila Amzah, 33, menafikan wanita bernama Siti Munirah yang didakwa isteri baru bapanya, ND Lala itu adalah rakan baiknya.
Shila ketika ditemui berkata, walaupun mengenalinya sejak sekolah, tetapi wanita itu tidak layak diberikan ‘gelaran’ rakan baik.
“Sudah tentu saya mengenalinya. Pada saya, tidak ada orang baik yang akan berkelakuan seperti itu. Saya tiada ucapan baik mahupun buruk kepadanya.
“Segala rasa untuk diberikan tidak memadai kepadanya sama ada sayang atau benci. Saya rasa dia tidak layak menerima apa saja rasa daripada saya,” katanya.
Menurutnya, mereka memang rapat ketika bersekolah dan Siti Munirah sering tidur di rumah mereka.
“Dia selalu bercerita mengenai masalahnya kepada saya. Apabila dewasa pula kami memang sudah tidak begitu rapat kerana dia seorang yang suka menghilangkan diri.
“Saya anggap kami tiada persefahaman saja. Namun, dia lebih rapat dengan mak berbanding saya selepas tamat sekolah. Ini adalah realiti dan saya perlu perjelaskan kerana dia bukan kawan baik saya,” katanya.
Shila berkata, dia percaya ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku terhadap keluarganya ketika ini.
Katanya, ia adalah ujian ke atas keluarganya dan menyifatkan ia perkara yang menjadi titik-tolak untuk mereka perbaiki pada masa akan datang.
“Untuk saya sendiri, ini bukanlah perkara asing dan keadaan keluarga saya ketika ini bukan perkara baharu. Mungkin ada keadaan atau kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- ND Lala Berjodoh Dengan Rakan Sekolah Anak, Isteri Pertama Dedah Wajah Madu
Isteri Fail Cerai Selepas 34 Tahun Hidup Bersama?,“Berat Buat Keputusan Ini Tapi Hati Perempuan…”
“Bagi saya, apabila ada perkara buruk berlaku, saya tidak akan melihat secara keseluruhannya adalah buruk kerana tiada apa yang abadi di dunia ini.
“Di dalam dunia ini kita boleh usaha dan ikhtiar mencari kebahagiaan sendiri, tapi tiada siapa yang dijanjikan kesempurnaan dan keabadian. Jadi, apa yang terjadi itu adalah asbab (untuk menjadi lebih baik). Saya reda dan berdamai dengan apa jua keadaan,” katanya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Patah Seribu ini berkata, dia memberikan 100 peratus sokongan kepada ibunya, Fauziah Sarman dalam isu yang berlaku.
“Dalam masa sama, saya tidaklah terlalu memanjakannya. Disebabkan perkara ini pernah terjadi kepada diri sendiri, apa yang saya boleh katakan kekuatan itu perlu datang daripada diri sendiri.
“Tidak kira seberapa banyak sokongan atau kasih sayang yang diterima, kalau diri sendiri yang memilih untuk tidak menyayangi diri sendiri, maka tiada perkara baik akan terjadi. Diri sendiri perlu bersedia menerimanya.
“Sebenarnya kami sebagai anak tiada apa pun perkara buruk yang mahu diucapkan kepada ibu bapa kami. Cuma, kami doakan kalau mahu bahagia, ikutlah cara sendiri. Sebagai seorang anak, saya hanya mahu ibu bapa saya gembira tidak kira masih bersama atau tidak,” katanya.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.