Di sebalik Kejayaan Suami, Ada Isteri Yang Selalu Berkorban Dan Anak Ditinggalkan

Share

Sebelum sedap memandang sudut kejayaan suami, tolong flashback semua pengorbanan isteri masa zaman mula-mula hidup.

Dia lah yang sanggup tidur di rumah biasa-biasa, dia lah yang sanggup berkorban bangun pagi siapkan makan minum pakai suami dan dia lah juga yang kemaskan rumah setiap hari dan menunggu kepulangan suami nak makan bersama.

Maka betapa ralatnya bila wujud kritikan daripada kaum lelaki tentang kaum isteri yang tak pandai jaga penampilan selepas ada anak-anak. Nah, renungkan perkongsian Puan Intan Dzulkefli sekejap, nampak tak jawapan kenapa seorang suami boleh berjaya dan makin murah rezekinya.

Cerita Di sebalik Kejayaan Lelaki

Boleh kata, kebanyakan orang akan melalui susah payah ketika di awal pernikahan. Segalanya sederhana. Makan, pakai, kenderaan, tempat tinggal. Alhamdulillah, seiring bertambahnya usaha, doa dan tawakal, suami dan isteri akhirnya perlahan-lahan menambah baik kehidupan.

Dari hanya naik motor, mungkin sudah beli kereta.
Dari kereta kecil, beli kereta yang lebih selesa.
Dari sekadar menyewa akhirnya beli rumah sendiri.
Tidur yang dulu hanya dialas toto, mungkin sudah beli katil yang besar dan kukuh.
Dapur yang dulu hanya ada tong gas dan dapur memasak, kini mungkin sudah ada dapur siap berkabinet.

MasyaAllah.

Mungkin itulah yang dimaksudkan oleh orang alim, bila berkahwin, bukan hanya rezeki kamu, bahkan rezeki isteri kamu, rezeki anak-anak kamu. Yang penting usaha, doa dan tawakal perlu seiring, bukan menunggu bulan jatuh ke riba.

Kadang Muncul Ujian Dalam Rumah Tangga

Namun, begitulah. Langit tak selalu cerah, kadang mula datang ujian lain pula.

Apabila semakin banyak kerja, hubungan dengan isteri menjauh, anak-anak jarang berjumpa. Mungkin ketika inilah ada lelaki yang diuji dengan kehadiran orang ketiga.

Orang ini yang hanya nampak lelaki yang sudah stabil dari segi kerjaya, kewangan, terjaga penampilan. Terasa mahu mengambil kesempatan. Terasa menang sekiranya dia dapat merampas takhta itu dari seorang isteri. Sedangkan di sebalik semua itu ada seorang isteri yang selalu berkorban dan anak-anak yang selalu terpaksa ditinggalkan.

Apabila diuji dengan godaan sebegini, ada sesetengah lelaki mula hanya nampak kekurangan isteri. Nampak isteri tiada standard, hanya duduk di rumah, berpenampilan sederhana. Sedangkan yang datang itu nampak cantik, fresh dan berwawasan jauh kononnya.

Iya.. banyak lelaki mula lupa. Pandangan mula dikaburi nafsu.

Sedangkan untuk membina apa yang dia ada sekarang, ada kepenatan, pengorbanan, bahkan mungkin air mata dari isteri yang sentiasa menyokong dari dia tiada apa-apa hinggalah akhirnya nampak berjaya di mata orang luar. Namun kerana pengorbanan itu tidak berbayar dengan material, nampaklah seperti isteri hanya pegun tiada wawasan. Allahuakbar.

Kenang Kembali Susah Payah Dengan Isteri

Bukalah mata wahai lelaki. Jangan biarkan nafsu menutupi akal fikiran. Banyakkanlah muhasabah diri, siapa dahulu di sisi saat dirimu baru bertatih mencari hala tuju hidup?

Kejayaan demi kejayaan yang ditempa, bukan semata atas usahamu. Bahkan juga dari bahagian rezeki isteri dan anak-anakmu serta doa yang sentiasa dipanjat oleh isteri tanpa jemu kepada Tuhan agar Allah mempermudahkan urusanmu.

Jangan lupa, disebalik kejayaan orang lelaki, sebenarnya sentiasa diiringi dengan doa wanita istimewa, iaitu doa ibu dan doa isteri. Keberkatan hidupmu pada mulianya akhlakmu kepada ibumu dan isterimu. Jangan lupa hal ini.

Meskipun pada pandangan insani, mereka insan yang nampak biasa sahaja. Namun, bagi lelaki yang beriman, kedua wanita inilah yang menjadi prioriti. Lubuk pahala, jalan menuju syurga.

Fokuslah wahai suami. Jangan sewenangnya lupa.

Amalkan membaca al-matsurat (untuk elak perbuatan khianat dan jahat), amalkan majlis taklim, makan bersuap dengan anak isteri, baca doa rabithah (niatkan agar dikuatkan tautan hati sesama anak isteri), jangan abai kekuatan solat berjemaah dan tadarus al-Quran bersama dengan anak isteri. InsyaAllah Allah akan pelihara rumah tangga kita.

Sesekali pandang wajah isteri, renunglah matanya. Banyak langkahnya yang tersekat kerana mendahulukan kebaikanmu dan anak-anak. Sanggupkah wanita itu disakiti hanya kerana memenangkan nafsu yang takkan pernah puas?

Dunia ini sementara cuma. Hakikatnya kerja kalian belum selesai selagi belum memastikan keluarga kalian masuk ke dalam syurga.

Kejayaan sebenarnya ialah apabila kalian berjaya memimpin anak isteri mentaati perintah Allah, kenal dan cinta pada Rasulullah SAW dan keluarganya serta faham dan taat kepada perintah agama.

Wallahu ‘alam.

Published by
Nadia