Siapa anak lelaki ini? Dijumpai oleh rakan guru ini, Mohd Fadhli Salleh tidur di lorong sehelai sepinggang. Perutnya kelaparan tidak berisi makanan.
Anak lelaki ini bukan tidak bijak budaknya. Setelah diuji ternyata dia pandai. Sayangnya kedaifan ‘memakan’ potensi dirinya. Marilah mak ayah, bantu guru ini.. membantu anak lelaki ini. Semoga usaha kecil kita ini, tuhan berkati.
Sila panjang-panjangkan..
Seorang kanak-kanak selalu kelihatan tidur di lorong sahaja. Ada seorang insan baik hati, Kak Nooraini perasan anak ini.
Kelihatan lesu dan memegang perut tanda kelaparan. Maka diajak masuk McDonald’s, dijamu anak ini makan dan bertanya kisah hidupnya.
Sebelum beredar, anak ini minta untuk bungkus kentang goreng. Agaknya sebagai makanan waktu malam pula.
Kak Nooraini tak lena tidur memikirkan anak ini. Siapa sebenarnya dia. Di mana dia tinggal. Kat mana dia tidur setiap malam. Apa dia sudah makan atau belum.
Maka malam tadi Kak Nooraini pm aku bercerita tentang anak ini. Tanpa buang masa, sebaik aku sampai kedai Awe jam 10:30 tadi aku kerah ‘askar-askar’ aku mengesan anak ini.
Askar-askar aku bukan kaleng-kaleng. Tak sampai 15 minit mereka mencari terus jumpa. Mereka pimpin tangan anak untuk untuk berjumpa aku.
“Jom ke kedai tu. Cikgu saya nak jumpa. Cikgu tu muka ganas, tapi dia baik.”
Geram betul aku, ada dia kata muka suci aku ni ganas. Takut-takut anak ini nak datang tadi. Hahaha.
Sebaik dia duduk, aku suruh dia order makan. Mulanya dia kata dah kenyang. Dengan sopan menolak.
Namun aku pujuk suruh order juga. Akhirnya dia mengalah. Sebelum makan dia doa dulu. Bagus budaknya. Tu diaaa, kata dah kenyang. Sepinggan penuh kejap je habis. Allahu. Nampak sangat dia sebenarnya lapar.
Aku berborak dengan dia. Bertanya tentang latar belakang dan hidupnya. Ibunya meninggal dunia masa dia umur 8 tahun. Kemalangan jalan raya.
Setelah itu dia tinggal bersama ayah tiri. Dulu tinggal di Ulu Tiram, Johor. Umur 9 tahun datang ke Kuala Lumpur.
Sejak itu dia tidak pernah bersekolah. Aku bertanya tentang ic dan surat beranak. Terus dia buka wallet, keluarkan salinan ic dan surat beranak.
Punya aku seronok dapat tahu dia ada dokumen pengenalan diri. Dokumen ni sangat penting. Bolehlah dia bersekolah nanti.
“Awak tahu baca?”
Angguk.
“Cuba baca tulisan di baju cikgu.”
Lancar dia baca. Bila aku suruh dia sebut masa dengan menunjukkan jam jarum aku, pun boleh dia sebut dengan tepat. Tambah tolak asas tu lancar je dia menjawab.
“Awak belajar kat mana?”
“Saya homeschooling je.”
“Siapa ajar?”
“Saya belajar sendiri.”
Tu dia. Homeschooling pun pandai sebut. English kau!
Budak ni ada potensi. Agak bijak budaknya. Ni kalau masuk sekolah boleh pergi jauh kalau kena gaya.
Aku siasat dengan askar-askar aku, budak ni bagus. Tak pernah mencuri, tidak merokok dan tidak melepak dengan budak-budak nakal.
Nantilah aku cuba usaha hubungi ayah tiri dia untuk urusan persekolahan. Tahun ni anak ini dah 13 tahun dah. Tahun depan sepatutnya dah masuk Tingkatan 2.
Katanya ayah tiri dia kerja jaga. Umur dah hampir 60 tahun. Tinggal berdua sahaja di sini.
Ayah tirinya tidak kisah dia balik atau tidak. Kadang-kadang 2-3 hari sekali baru dia balik rumah.
Terabai budak ni. Terus aku pesan kat dia,
“Lapar je datang kedai ini. Order apa awak nak makan. Datang setiap hari pun tak apa. Nanti cikgu bayarkan semua. Faham tak?”
“Baik cikgu. Terima kasih.”
Kedai Awe ni, Cina yang kurang siuman, auntie Indian yang selalu lalu lalang, beberapa keluarga asnaf, orang gila, OKU, semua aku suruh datang makan.
Datanglah untuk sepinggan nasi dan segelas air. Jangan risau. Selagi aku ada, selagi kedai Awe buka, selagi sokongan kalian pada aku ada, mereka ini takkan sesekali kelaparan.
Aku pernah melalui saat di mana duit langsung tidak ada dan hanya makan nasi sekali untuk 3 hari. Minum air paip, makan roti expired hanya untuk menghilangkan kelaparan suatu ketika dulu.
Aku tahu peritnya berlapar. Aku tahu betapa malu dan hinanya rasa diri bila tiada satu sen pun dalam kocek.
Dan aku takkan membiarkan sesiapa sahaja dalam pengetahuan dan radar aku untuk melalui saat sebegitu selagi aku mampu membantu.
Itu prinsip aku sejak dulu.
Aku tidak mampu nak bantu semua orang. Namun aku cuba sedaya upaya untuk membantu sesiapa sahaja disekeliling aku semampu aku.
Tidak banyak tapi sentiasa.Ya, tidak ramai tapi ada. Tidak kaya tapi cakna. Itulah #DanaKITA.
Yang ingin mengirim sumbangan melalui Dana Kita, ini maklumat ya :
No akaun : 564221646925
Bank : Maybank Nama akaun : Pertubuhan Kebajikan Dana Kita.
@dana kita
Sumber/Foto : Mohd Fadli Salleh – Sentiasa ada kisah pilu di setiap lorong dan jalan –