Cukup bahagia dan anggun melihat pelakon Siti Saleha kahwin dengan jejaka pilihan hati Ahmad Lutfi Azhar, 31 selepas lapan purnama mengikat tali pertunangan pada 28 Julai 2017. Majlis pernikahan itu yang diadakan di TPC Bukit Kiara dihadiri oleh keluarga dan sahabat handai terdekat serta rakan media jemputan.
Seakan tidak percaya dirinya kini sudah bergelar seorang isteri, Saleha, 27 berkata itu adalah detik terindah buat dirinya. Perasaan gembira, terharu dan pelbagai lagi rasa yang dirasai saat diri sah bergelar suri hati Ahmad Lutfi. Detik itu lebih dirasai apabila adinda dan kekandanya yang berada di sampingnya di atas pelaminan saat dinikahkan turut mengalirkan air mata tanda kegembiraan buat Saleha yang kini sudah mempunyai pasangan sejiwa.
“Alhamdulillahlah majlis saya berjalan dengan lancar. Kini saya isteri kepada Lutfi yang sah. Perasaan memang tak dapat saya gambarkan, semuanya ada, gembira, terharu dan sebagainya sebab kini saya adalah seorang isteri. Lebih-lebih lagi apabila melihat adik dan kakak saya menangis tadi. Cuma saya tak nak turut menangis kerana tak mahu spoil mood,” akuinya yang turut gembira selepas segalanya selesai dan hanya mahu memberi tumpuan kepada majlis resepsi sahaja.
Bagi Lutfi pula dia amat teruja dengan majlis pernikahan ini. Walaupun terpaksa ke pejabat pada pagi hari pernikahannya, perasaan gembira dan gementar tetap bersarang di hatinya.
“Saya memang teruja dengan majlis pernikahan saya ini. Walaupun bekerja pada pagi tadi, dan bergegas balik untuk majlis ini, saya terus praktis lafaz nikah dan Alhamdulillah dengan sekali lafaz sahaja, Saleha kini sah menjadi milik saya. Tanggungjawab saya sekarang lebih besar, untuk saya dan isteri dan juga keluarga baru saya.”
Seperti pasangan lain, Saleha dan Lutfi juga merancang untuk berbulan madu ke destinasi idaman mereka, namun mempelai ini masing-masing mempunyai rutin karier yang sibuk. Mauritius menjadi pilihan untuk mereka menghabiskan masa bersama saat berbulan madu kelak. Walaupun begitu, tarikh berbulan madu masih belum ditentukan lagi memandangkan kedua-duanya sibuk dengan kerjaya masing-masing.
“Kami berdua merancang untuk berbulan madu ke Pulau Mauritius, tapi bukan selepas majlis resepsi kerana jadual kerja kami padat. Saya dan Lutfi sudah bincang awal tentang perkara ini dan Insya-Allah jika tiada apa-apa kami akan ke sana hujung tahun nanti,” ujar Saleha
Saat disoal kepada Lutfi adakah dia kini sudah bersedia untuk berkongsi Saleha bersama peminatnya di luar sana selain terkena tempias isterinya dalam dunia glamor. Menurut Lutfi sejak mereka berdua berkenalan dan keluar bersama perkara itu sudah sedia maklum. Itulah kehidupan yang dirinya perlu hadapi bersama isteri tercinta Saleha yang mempunyai ramai peminat di luar sana.
“Peminat nak ambil gambar dan sebagainya itu sudah saya lalui sejak mula kami berkenalan dan keluar bersama. Memang pada mulanya saya rasa perkara itu agak menjengkelkan dan saya tak berapa suka tapi lama-kelamaan selepas sudah biasa dengan keadaan tersebut saya ok dan kalau nak tahu sekarang saya pula yang jadi jurugambar Saleha dan peminat-peminatnya,” seloroh Lutfi.
Berkongsi mengenai keistimewaan Lutfi di mata Saleha, menurut aktres ini, suaminya itu seorang yang suka berjenaka, berdedikasi, seorang yang bekerja keras, penyayang dan mencintai dirinya setulus hati.
“Suami saya ini suka buat kelakar, Dia juga seorang yang caring dan paling penting saya dapat merasakan cintanya kepada saya betul-betul ikhlas,” jelasnya sambil memandang ke arah suami tercinta.
Namun apa yang membuatkan Saleha lebih terpikat dengan Lutfi kerana lelaki ini seorang yang penyayang. Berkongsi dengan rakan media, Saleha turut menceritakan saat dia melakukan pementasan teater Zombi La La La, Lutfi hadir walaupun sibuk dengan urusan kerja. Bukan sekali malah tiga kali cinta hatinya itu hadir memberikan sokongan kepada Saleha.