Detik Cemas Pintu Lif Terbuka, Terhempas Dari Tingkat Lima PPR Kerinchi

Share

Ngeri sungguh membayangkan berhadapan insiden detik cemas apabila pintu lif terbuka secara tiba-tiba, lalu terhempas jatuh dari tingkat lima!

Sebanyak sembilan individu berdepan detik cemas apabila lif dinaiki mereka mengalami kerosakan dan jatuh dari tingkat lima ke tingkat bawah dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pantai Dalam, di sini hari ini.

8 Mangsa Cedera

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, empat mangsa termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun patah kaki, empat lagi mangsa cedera di pergelangan kaki manakala seorang tidak mengalami kecederaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai, Pegawai Bomba Kanan II Ramli Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.36 petang sebelum jentera dari BBP Pantai dan BBP Seputeh dengan kekuatan 14 anggota tiba di lokasi beberapa minit kemudian.

Menurut Ramli, lif yang dinaiki sembilan individu itu meluru jatuh dari tingkat lima dan berhenti di separuh tingkat bawah selepas sistem brek berfungsi.

“Apabila tiba di lokasi, kita dapati kesemua mangsa yang berusia antara 10 hingga 69 tahun itu telah dibawa keluar oleh orang awam dan pasukan bomba kemudian mengasingkan mangsa mengikut tahap kecederaan dengan bantuan pasukan perubatan.

“Lapan mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan susulan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Antara mangsa yang terlibat diselamatkan oleh pasukan keselamatan.

Mangsa Selamat Luah Rasa Syukur

Sementara itu, satu-satunya mangsa yang tidak mengalami kecederaan dalam kejadian lif terhempas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Kuala Lumpur, Ahmad Shahid Imran meluahkan rasa syukur terselamat dalam insiden cemas ini.

“Saya bersyukur kerana sempat memegang panel butang lif ketika ia sedang terhempas ke bawah,” kata Ahmad Shahid Imran, 24.

Menurutnya, ketika kejadian, penduduk baru pulang dari solat Jumaat dan menaiki lif untuk ke tingkat atas.

“Namun setibanya di tingkat lima, pintu lif terbuka dan secara tiba-tiba terhempas ke bawah.

“Ketika itu, keadaan kelam kabut kerana pintu lif tidak tertutup dan kami yang berada di dalam lif menjerit ketakutan,” katanya.

Ahmad Shahid berkata, selepas terhempas, dia melihat individu yang berada dalam lif bergelimpangan dan dibantu orang ramai.

“Ada yang tidak boleh bangun, termasuk seorang kanak-kanak dan orang kelainan upaya (OKU).

“Saya bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Selepas membantu semua mangsa, saya pulang ke rumah,”

katanya.

Ahmad Shahid mendakwa, kejadian itu adalah insiden kedua berlaku di PPR berkenaan.

Katanya, kejadian pertama berlaku tahun lalu yang menyebabkan seorang cedera.Dia juga mengakui trauma untuk menaiki lif dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera.

MW: Allahu ngerinya. Semoga mangsa yang terlibat segera sembuh daripada kecederaan.Pihak berkuasa perlu lebih meningkatkan pemantauan dan tahap keselematan pada lif bagi mengelakkan insiden sebegini berulang.

Sumber:Utusan Online, Hmetro

 

Published by
Suhaidah Abd Wahab