Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Seluruh tubuh sakit seperti dicucuk jarum, leher bagaikan dicekik sehingga mengalami sesak nafas dan dalam perut terasa ada objek bergerak.

Lebih menimbulkan pertanyaan, susuk tubuh Nur Izzati Afiqah Hussian, 29, dari Kampung Gaung, Tendong di Pasir Mas yang asalnya 150 kilogram (kg), kini dianggarkan lebih 300 kg dan perubahan ini berlaku secara drastik dalam tempoh tiga bulan.

Diganggu Kejadian Mistik

Penderitaan wanita mesra disapa Afiqah bermula sejak Ogos lalu yang pada asalnya mengalami rasa sakit di beberapa bahagian tubuh dan tidur malamnya kerap diganggu kejadian mistik.

Dia yang sebelum ini adalah tenaga pengajar di sebuah kolej di Melaka, terpaksa berhenti kerja dan pulang ke kampung kerana keadaannya semakin membimbangkan.

“Pada awal diserang penyakit misteri ini saya masih mampu berjalan, sebelum masuk ke bulan seterusnya yang menyebabkan fizikal semakin besar dan terpaksa mengengsot.

“Tiga minggu kebelakangan ini keadaan saya semakin teruk yang mana sudah tidak mampu bangun dan hanya terlantar di atas tilam,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

IKLAN

Urus Diri Perlu Bantuan Orang Lain

Dengan keadaan fizikalnya yang berat, rutin harian Afiqah terpaksa dibantu ibunya, Maheran Daud, 54, serta beberapa saudara mara lain untuk mengangkatnya serta sekurang-kurangnya empat individu diperlukan untuk mengurusnya terutama ketika dia membuang air kerana urusan menukar pengalas serta membasuh najis terlalu sukar.

“Saya tidak boleh memakai lampin pakai buang kerana tiada saiz dan ahli keluarga terpaksa membeli pengalas cadar dari farmasi untuk mengalas tubuh dan akan ditukar setiap kali membuang air,” katanya memberitahu lebih RM1,000 diperuntukkan untuk membeli pengalas serta beberapa kegunaan lain termasuk krim untuk menyapu badannya yang berkudis.

Terdahulu Afiqah dikunjungi badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) diwakili pengerusinya, Pui Tiong Lam yang menyerahkan sumbangan wang tunai kepada keluarganya.

IKLAN

Bukan hanya diserang rasa sakit yang menyucuk, Afiqah juga tidak sedarkan diri dan situasi itu berlaku setiap hari yang memaksa ahli keluarga menghubungi ustaz atau imam kampung datang ke rumah untuk memulihkannya.

Rayu Bantuan Pakar

Sementara itu, Maheran berkata, sudah ramai pengamal perubatan Islam dan tradisional dipanggil untuk merawat Afiqah, namun sehingga kini keadaannya masih tidak pulih dan dia merayu kepada orang ramai sekiranya ada pakar yang boleh merawat, diminta tampil membantu mereka.

Dia berkata, beberapa bahagian tubuh anak kedua dari tiga beradik itu akan membengkak tidak mengira masa menyebabkan Afiqah menangis kerana terlalu sakit dan keadaan itu mengambil masa selama beberapa jam sebelum kembali mengecut.

IKLAN

“Saya percaya Afiqah mengalami penyakit misteri kerana kerap juga dia membuang air kecil atau najisnya mengandungi pasir, batu atau jarum yang ada kalanya menyebabkan Afiqah takut (membuang air) kerana terlalu sakit.

“Beberapa bahagian tubuhnya termasuk payudara, pinggul serta kemaluannya pernah membengkak dua kali ganda dari biasa dan ia menimbulkan rasa simpati setiap kali Afiqah merintih,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Afiqah boleh membuat sumbangan di akaun Maybank miliknya iaitu 154017484998 atau menghubunginya di talian 017-6115320.

MW: Hebat dugaan yang ditanggung wanita ini. Memiliki berat badan yang berlebihan, sehingga sukar untuk menguruskan diri sendiri dan mengharapkan bantuan orang lain.Semoga ada yang sudi menghulurkan bantuan dan rawatan buat wanita ini agar dirinya kembali sihat sediakala.

Sumber: Hmetro

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI