Kata Assistant Psychologist, Aiman Amri(Aiman Psikologis) tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap kesihatan mental ini masih jauh. Mereka boleh faham kencing manis atau darah tinggi itu satu penyakit, tapi sukar nak memahamkan ada jenis ‘depresi’ itu sebagai satu penyakit.
Sebab itu apabila dengar kisah wanita meroyan atau alami postpartum depression atau kemurungan segelintir minta mereka beristighfar dan ingat tuhan. Tak kurang juga yang menyatakan disebabkan mereka lemah iman. Walhal ada jenis depresi yang tak boleh ditangani lagi dengan sokongan sebegini. Ia perlu dirawat oleh pakar!
Sebelum menilai, mak mak sendiri kena faham sejelas jelasnya apa itu penyakit kemurungan. Aiman Psikologis terangkan dengan lebih mendalam dengan cara yang mak-mak akan mudah faham.
Kemurungan Kerana Kurang Iman?
Isu perkaitan kesihatan mental dengan soal iman seseorang merupakan topik yang tak akan habis didebatkan.
Saya seringkali bertukar pendapat dan fikiran (dan juga selalu berbahas) dengan golongan yang menganggap YA, kecelaruan mental itu disebabkan oleh kurangnya iman.
Ramai orang yang saya jumpa. 1. Yang mentah-mentah menolak hujah psikologi dan psikiatri dan fokus pada kerohanian semata-mata 2. Yang mengambil jalan pertengahan iaitu kedua-duanya perlu datang selari 3. Yang mengambil pendekatan sains perubatan saja dan tidak percaya pada peranan agama
Beginilah,
Dalam setiap perkara yang berlaku di dunia ini, Allah menyuruh kita untuk memenuhi syariatullah (undang-undang Allah) dan sunnatullah (undang-undang dunia). Kedua-dua perlu dipenuhi, tanpa meninggalkan satu yang lain.
Contohnya, PERUT LAPAR.
1. Syariatullah – Percaya bahawa Allah yang memberi rezeki dan memberi kekenyangan kepada kita (tawakal)
2. Sunnatullah – Tindakan mengikut hukum alam, iaitu perlu makan sesuatu agar perut dapat mencerna makan, dapat zat vitamin dll (usaha)
Celakalah seseorang yang berdoa sepanjang malam di atas sejadah mengharapkan Allah memberinya rasa kenyang di perut tetapi tidak mahu masuk dapur untuk makan.
Ads
Rugilah seseorang yang berusaha mendapatkan makanan tetapi meletakkan semata-mata kekuatan kepada makanan itu yang memberi kenyang, bukan sebagai asbab.
Rasulullah pernah berpesan kepada seorang sahabat yang meninggalkan untanya untuk pergi selesaikan sesuatu urusan. Apabila ditanya kenapa biarkan unta tak diikat, sahabat itu menjawab,
“Aku bertawakal kepada Allah yang Dia akan menjaga unta ini.”
Rasulullah pun membalas, “Ikat dahulu tali unta itu, baru kamu bertawakal kepada Allah.”
Kisah ini memberi signifikan besar kepada kita yang pentingnya USAHA datang bersama dengan TAWAKAL.
Dapatkan Rawatan Perubatan Daripada Psikiatris
Dalam isu kesihatan mental dan perkaitan dengan iman,
Tidak dinafikan pentingnya peranan agama dalam memberi kekuatan kepada seseorang untuk terus bertahan, menerima qada’ dan qadar, percaya kepada hikmah disebalik ujian oleh Allah. TAWAKAL.
Namun ia juga mesti disertakan bersama USAHA untuk memberi penyembuhan kepada pejuang-pejuang kecelaruan mental ini dengan mendapatkan rawatan perubatan oleh Psikiatris, menjalani sesi psikoterapi dan sebagainya.
Ads
Faktor kekuatan rohani itu merupakan pelengkap kepada proses penyembuhan sesuatu penyakit, tetapi bukan sebagai semata-mata pengubat.
Seperti mana apabila ada kawan jatuh longkang dan patah kaki, kita membawa dia ke hospital untuk dapatkan rawatan, bukan ke masjid untuk solat hajat baginya. Tetapi bukan pula menafikan peranan redha, bersabar dan zikir sebagai sumber kekuatan dia untuk menempuh kesakitannya.
Begitu juga pesakit kanser contohnya, pentingnya untuk mengingati Allah, berselawat ketika kesakitan dan mendampingi Al-Quran untuk dapatkan kekuatan untuk terus bertahan. Namun, pesakit ini tetap perlu menjalani rawatan chemotherapy, radiotherapy dll. Bukan semata-mata mendekati Tuhan.
Sepanjang kesakitan dan kesengsaraan para pejuang kecelaruan mental dalam proses rawatan dan terapi itu, perlunya mereka mempunyai kekuatan spiritual dan mental untuk bertahan sakit, percaya ini ujian daripada Tuhan, ada hikmah tersembunyi dan lain lain.
“And whoever turns away from My remembrance – indeed, he will have a depressed life…” – Surah Taha, ayat 124
“Hanya dengan mengingati Allah sahaja hati-hati menjadi tenang tenteram.” – Surah Ar’Ra’d, ayat 28
Ayat-ayat ini yang sering dikaitkan dengan ‘ubat’ kepada kemurungan. Benar, memang dengan ayat-ayat Allah itu menenangkan hati yang sedang gelisah.
Tetapi kita perlu bezakan dahulu antara depression (perasaan/emosi) dan depression (mental disorder). Ia tidak sama dan nyata sekali berbeza. Ayat Al-Quran ini banyak menyentuh mengenai depression perasaan tertekan, dan bukan kepada penyakit/kecelaruan mental.
Ads
Jika tertekan kepada perasaan, ya. Memang dengan mengingati Tuhan, membawa kepada ketenangan dan tenteram.
Tetapi depression yang merujuk depressive disorder, ia sebuah penyakit yang nyata, dan bukan lagi sekadar “hati gelisah”. Maka, ayat-ayat zikrullah ini berfungsi sebagai pelega sementara, untuk menghadapi kesakitan ini.
Analoginya, depression pada perasaan ini seperti batuk-batuk tekak gatal. Maka ayat zikir-zikir Allah ini seperti air asam jawa. Melegakan tekak, menenangkan kerongkong yang gatal-gatal.
Tetapi depression pada disorder pula, ia sudah tahap penyakit kanser paru-paru. Maka, batuk-batuk gatal tekak itu hanya simptom dan kesan, bukan punca penyakit sebenar. Jadi, air asam jawa tadi hanya pelega sementara untuk hilangkan perit di tekak, dan tetap perlu berjumpa doktor untuk tahu kanser sudah tahap berapa, saiz besar mana dan jalani rawatan untuk pulihkan.
Sebab istilah “depressed life” digunakan (terjemahan ini tak tepat pun sebenarnya daripada perkataan Arab), maka seringkali orang tertukar ayat-ayat Allah sebagai ubat kepada depression.
Maka, jadilah hujah-hujah seperti “orang depressed lemah iman” dan “pengubat depresi ialah ingat Tuhan.”
Pendek kata, isu rohani bukan PENYEBAB atau PENYEMBUH, tetapi PELENGKAP yang menepati apa yang jasad dan roh seseorang itu perlukan, saat perjuangan dalam rawatan tersebut.
Jangan Takut Untuk Dapatkan Rawatan
Pendidikan mengenai kesihatan mental ini masih panjang di Malaysia. Isu stigma, salahfaham dan salah diagnosis merupakan cabaran utama kepada para pejuang dan keluarga, yang menyebabkan kes-kes kecelaruan mental semakin kronik dan melarat, tetapi takut untuk mendapatkan rawatan kerana faktor stigma dan dipandang pelik oleh orang lain.
Bak kata Dr Brock Chisholm, iaitu Director-General pertama World Health Organisation pada 1953 dahulu,
“Without mental health, there can be no true physical health.”
Semoga satu hari nanti rakyat Malaysia akan lebih terbuka dan menganggap kepentingan menjaga kesihatan mental sama pentingnya seperti kesihatan fizikal seharian kita, amin…
Jika kita boleh bimbang dan peduli dengan penyakit diabetes, kenapa tidak depresi?
Memang ada benarnya, dalam kesibukan kita bekerja, menguruskan anak-anak dan rumahtangga seharian, ada kalanya terlupa untuk mengambil berat pada pasangan kita. Sedangkan ayat simple, bertanya ‘Awak Okay Ke?’ pun dah memadai dan cukup untuk menenangkan hati buat rasa diri pasangan dihargai.
Setenang mana seorang manusia, mesti akan ada hari extra letih, extra tekanan, extra beban dan segala macam ujian. Begitu jugalah dengan pasangan kita.
Oleh itu, ayat sesederhana ‘Awak okay ke?’ pun sudah cukup menenangkan hati sebenarnya.
Ada orang, dia keluar mencari nafkah waktu pagi, pulangnya pula apabila sudah tengah malam. Masuk rumah, disambut dengan wajah isteri yang juga keletihan.
Ya, kita penat. Jangan lupa isteri pun penat. Begitu juga dengan isteri, jangan sewenangnya meremehkan pengorbanan dan kepayahan yang suami hadapi.
Percayalah, kita masing-masing ada struggle dan battle kita setiap hari – baik sebagai suami dan bapa juga sebagai isteri dan ibu. Jadi, jangan lupa berlapang dada dan bersifat ehsan terhadap pasangan kita.
Jangan Lupa Tanya
Bila lihat pasangan, sentiasa fikir, banyaknyalah hak-hak mereka yang masih belum kita tunaikan. Barulah dapat timbul rasa keinsafan, rahmah dan belas kasihan.
Ya, memang kita lihat pasangan sebagai multi-tasking, orang yang kuat tak mudah merungut. Tetapi lihatlah siapa kita di sisinya dan mainkanlah peranan kita.
Ada mulut, bertanyalah. Pujilah.
Ada mata, lihatlah kepayahan dan pengorbanan pasangan.
Ada hati, jangan lupa bersyukur dengan nikmat pasangan dan anak-anak.
Ada tangan, jangan lupa peluk dan belai pasangan.
Ada masanya mereka sangat memerlukan sentuhan dan keperihatinan kita.
Benda-benda basic yang kadang selalu sangat dilupakan.
Ya, memang kadang kita seharian sangatlah sibuk dengan tugasan masing-masing. Namun, ambillah 1 saat untuk tatap wajah pasangan dan tanya dia, ‘awak okay tak?’
Pertanyaan simple ini mungkin bakal menyelamatkan nyawa seseorang yang telah ‘lost’ jauh dalam depresi.
Ambil berat kepada pasangan kita. Please.
#intandzulkefli
#randomthoughts
P/S : saya terpaksa tulis sementelah seminggu dua ini beberapa kenalan dan masuk inbox luahan wanita mengadu rasa nak mati, rasa nak bunuh diri kerana suami terlalu sibuk hingga tak sempat berkomunikasi dan isteri rasa dirinya terabai.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan buat pasangan suami isteri. Ingat, walau sesibuk mana pun kita, jangan lupa bertanya keadaan pasangan. Ayat yang simple seperti ‘Awak Okay Ke?’ pun dah cukup menenangkan hati.
Golongan selebriti juga tidak lari dari menghadapi kemurungan dan tekanan perasaan yang melampau. Disebalik menghiburkan orang ramai, ada antara mereka yang mengalami tekanan perasaan, stress, perubahan emosi dan rasa gelisah.
Bila berhadapan dengan keadaan sebegini mereka perlu mengawal masalah yang dihadapi dengan lebih baik serta menjalani kehidupan dengan aman seperti mana orang lain.
Ucap Alhamdulillah
Memandangkan bulan Oktober merupakan bulan kempen untuk Kesihatan Mental Sedunia 2020. Mingguan Wanita sempat menemubual pelakon, yang juga isteri kepada Datuk Fizz Fairuz iaitu Datin Almy Nadia. Almy juga berkongsi bagaimana beliau menangani masalah dan stres.
“Alhamdulillah, begitulah yang Almy ungkapkan bila berhadapan dengan stres. Sekarang ni apa yang netizen cakap, Almy akan ucap Alhamdulillah. Kadang-kadang tu memang nak reply semula apa yang mereka tulis, tapi bila fikir semula tak payalah layan,” kata Almy membuka bicara.
Almy yang baru saja menjalani pembedahan membuang batu karang dalam hempedu pada 1 Oktober yang lalu turut memberitahu dia kini sedang berehat.
“Lepas pembedaha Almy sekarang ni sedang berehat. Syukur kerana kesihatan semakin baik. Almu juga terharu bila ada peminat mendoakan agar Almy cepat sembuh dan beri kata-kata semangat,” sambung Almy.
Sebagai seorang isteri dan ibu bagaimana Almy menepis pelbagai kata-kata kurang enak apabila ada netizen yang turut babitkan ahli keluarga jika ada entri di posting laman sosial yang kurang berkenan di mata netizen?
“Pada Almy suami merupakan ketua keluarga. Dialah yang keluar mencari rezeki. Memang kalau cakap tak elok pasal suami mahupun anak Almy akan marah.
“Tapi macam mana marah pun, Almy akan beritahu Fizz jangan gunakan sosial media untuk balas apa yang netizen tulis. Pada Almy, netizen boleh cakap saja akhirnya nanti diorang carilah kita di sana (akhirat),” luah Almy.
Almy sendiri banyak menerima dugaan dan cabaran apabila bergelar anak seni. Biasanya bagaimana Almy menangani stres?
“Duduk rumah main dengan anak-anak. Bila stres Almy akan rehatkan diri dan tidur. Buat benda yang kita boleh happy, contohnya memasak atau luangkan masa dan ajak suami pergi bercuti. Masa bercuti, jangan pegang telefon pintar dan penuhi masa ini dengan famili. Perkara ini memang boleh buat Almy hilangkan stress.”
Ada yang kaitkan bentuk badan Almy yang semakin berisi. Memandangkan sebagai seorang wanita adakah kata-kata seperti itu memberi impak besar pada diri Almy?
“Saya tak kisah pun sebab ramai je yang badan besar masuk TV. Sebagai seorang isteri dan ibu semuanya saya buat sendiri. Saya jaga anak sebab saya kurang percaya orang lain jaga anak. Tak kisah badan besar ke kecil janji suami sayang.
“Ada Mulut Tak Makan Saman”
“Jika dulu memang stress, sebab ada kawan-kawan (termasuk kawan artis) yang kata “eh kau dah badan besar” ada mulut yang tak makan saman. Sampai ada satu tahap Almy menangis depan Fizz. Dia cakap tak payah pedulikan orang tu semua. Janji sempurna di mata dia, cukup jaga anak-anak dia, itu cukup baik dah.
“Satu sikap Fizz yang bagus, bila Almy stress, fizz akan biarkan Almy cool down. Fizz ni jenisnya bila Almy tengah marah, dia akan kontrakan. Dia akan cool downkan Almy dengan kata-kata seperti “diorang bukan bagi you makanpun”.”
Akhir sekali nasihat Almy terutamanya pada golongan wanita di luar sana yang menghadapi masalah stres terutamanya mereka yang bergelar ibu dan berkerjaya?
“Kita kena bercampur dengan orang yang berfikiran positif. Jangan terjerumus dengan manusia yang ada pemikiran negatif. Kalau boleh bila ada saja, member yang ada unsur fikiran negatif jauhkan.
“Lebih baik duduk di rumah dengan anak-anak. Ada masa perlu bercampur dengan dunia luar tapi sekarang ni dunia luar ada dalam tangan kita (sosial media). Bila kita bercampur dengan orang yang sentiasa apositif kita akan jadi positif,” nasihat Almy.
Almy juga popular dengan review produk makanan di akaun Instagramnya,
Wanita sememangnya insan yang istimewa. Tak mudah untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, dalam masa yang sama perlu menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Rutin harian yang sangat sibuk, segala penat dan lelah hanya dipendam sendiri demi memastikan keluarga terurus sempurna. Adakalanya pengorbanan besar ini, tidak dihargai oleh suami sendiri dan mengakibatkan ramai wanita mudah stress sehingga tahap hadapi kemurungan!
Jemput baca, fahamkan dan hayati perkongsian oleh pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew ini sebagai renungan.
Sedih dan cuma mampu berdoa kasihan pada wanita yang diuji.
Baru ini saya ceramah pada sekumpulan wanita yang mengalami tekanan dan stress dan sehingga sampai tahap kemurungan. Ramai yang menangis bila saya kata Allah sayang. Saya minta mereka ramai-ramai ulang sebut “Allah sayang saya. Allah sayang saya.” Mereka semua menangis sambil ucap perkataan itu. Mereka menangis makin kuat.
Orang tanya saya kenapa wanita ini stress. Jawapannya, mereka juga manusia. Cuba kenang sekejap. Undang-undang dibuat supaya semua waktu kerja ada waktu. Siapa majikan tak ikut diambil tindakan. Mesti ada waktu rehat. Untuk bibik pun kerajaan dah buat jadual mereka mesti ada rehat. Buruh di kilang dan ladang juga ada waktu. Seorang isteri ada jadual rehat tak? Hampir semua tiada rehat. Ya Allah. 24jam sehari. Tidur mereka tidak pernah sempurna. Makan mereka tak sempurna. Terutama ibu-ibu muda yang anak-anak masih kecil. Mereka turut mencari rezeki buat keluarga.
Mereka tiada sesiapa lagi dalam hidup melainkan suami. Jika berjaya rumahtangga orang kata untung awak dapat suami baik. Jika gagal ibu ayah marah anak perempuan sendiri tak pandai jaga suami.
Uruskan Karenah Anak & Suami
Dari awal pagi kemas rumah. Siapkan suami dan anak-anak. Belikan atau sediakan sarapan. Uruskan anak-anak ke sekolah dan hantar ke taska. Dengan pelbagai kerenah anak dan suami.
Balik kerja segera cepat-cepat balik rumah. Siapkan makan minum suami dan anak-anak. Rumah kembali bersepah. Kemas rumah lagi. Duit gaji baru dapat belikan barang-barang dapur sementara tunggu duit suami. Mandikan dan bantu anak-anak buat kerja sekolah.
Bila suami balik, kadang-kadang anak seorang lepas berak. Seorang bergaduh dari tadi. Tinggi suara. Kerja meleraikan anak menjerit bergaduh menangis. Terus cakap dengan suami dengan muka masam kerana anak-anak. Banyak nak cerita, kerana ini teman hidup dan mati. Tersilap mula ayat atau nada. Tak sempat cantik-cantik. Tak pasal-pasal suami terasa dan marah juga kerana penat. Suami terus naik tidur atau tengok tv atau keluar rumah.
Isteri rasa sedih dan bersalah. Menangis dan menangis. Kadang-kadang tengok gambar kenangan dengan suami. Buka ceramah agama atau kata-kata motivasi untuk pulihkan semangat. Terus bersemangat dan berdoa. Meneruskan urusan rumahtangga kerana Allah dan suami. Terus berlari siap-siap nak layan suami. Tiba-tiba anak-anak menangis, tak mahu tidur. Seorang lagi masa nak tidur nak makan dan berak lagi. Anak kecil asyik menangis. Masa nak mandi pun takde. Anak menjerit ketuk pintu. Masa bila nak makan. Masa bila nak tidur. Masa bila nak mandi. Suami pun sangat penat di tempat kerja harapkan dapat bermanja dan bergurau dengan isteri. Kadang-kadang tidur dengan marah..
Isteri sepanjang malam rasa bersalah…itulah seorang isteri dalam merajuk dan sedih tidak dapat rehat dan terus menerus uruskan rumahtangga sehingga habis usia. Sampai 40 tahun. Tapi mereka ikhlas kerana Allah. Itulah ibu kita dan ibu anak-anak kita..
“Khadijah ra tidak pernah mengeluh sepanjang hidup beliau. Itulah wanita yang sentiasa manis mukanya walau segalanya telah dikorbankan demi agama..“saya selalu minta isteri saya berdoa agar bertemu dengan wanita ini dalam syurga nanti..
Sebab tu kita lihat ayah-ayah kita semuanya selalu cool jer..tak kisah mak membebel . Sebab mereka tahu susah isterinya..fahami isterinya..
Seorang lelaki yang ingin kebaikan, bahagia dan kejayaan dalam hidupnya berusahalah gembirakan 2 orang ini. Isteri dan ibumu. Lihatlah bagaimana Allah akan bahagia dan kebaikan dalam hidupmu.
Sayangilah isteri kita. Maafkanlah mereka. Bantulah mereka di dalam rumah. Bersama-sama buat kerja rumah. Bantulah sikit-sikit. Jika kita nampak orang angkat barang banyak sebagai manusia kita akan tolong. Kita tengok kerja orang berat kita malu rasa nak duduk.
Sekali sekala bawalah isteri bercuti dan rehatkanlah mereka. Beri cuti. Layan mereka seperti permaisuri sekali sekala. Mereka tiada gaji. Hanya kerana amanah mereka sebagai seorang isteri dan ibu. Jadilah pendengar setia dan penyayang.
Isteri Amanah Allah
Mereka bukan milik kita tetapi amanah Allah untuk kita pimpin masuk syurga..duduk rehat-rehat bersama baca Al-Quran, solat tahajud,doa, baca hadis Nabi saw. Mereka bukan tukang masak. Bukan bibik. Bukan cleaner. Bukan pekerja kita. Mereka hamba Allah dan Umat Nabi saw. Bertanggungjawab hidupkan Islam dan menuntut ilmu serta berkhidmat buat keluarga.
Itulah kehidupan rumahtangga saling memerlukan dan melengkapi. Kesucian hati seorang isteri dan ibu hanya menjadikan merekalah orang paling bahagia dunia dan akhirat. Ya Allah bahagiakanlah hati ibu dan isteri di luar sana. Ampunkan segala dosa mereka dan beri mereka syurga yang tinggi. Saya sayang ibu dan isteri saya kerana Allah
Harapan saya nak cadang supaya setiap rumahtangga suami isteri dihantar kursus kekeluargaan 3 bulan sekali. Organisasi dan kerajaan sepatutnya hantar setiap staf bawa pasangan belajar ilmu rumahtangga. Suburkan cinta dan sayang dengan sunnah Nabi saw. Buat isteri yang mengadu ada masalah keluarga di pejabat agama. Terus hantar suaminya bawa belajar iman di masjid supaya lebih menghargai isteri dan belajar bimbing isteri dan agama. Sedih sebab bila ada masalah bertahun-tahun wanita itu derita sampai jadi murung. Jadi takut suami. Trauma. Sakit. Disiksa zahir batin. Bantulah ya Allah. Permudahkanlah dan berilah jalan keluar buat wanita-wanita ini.-
Benarlah mafhum sabdaan Nabi saw, orang yang paling baik ialah orang yang paling baik kepada isterinya. Nabi saw ialah orang yang paling baik terhadap isterinya.
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
MW: Ceduklah pengajaran daripada perkongsian ini. Semoga para wanita terus kuat dan cekal menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Nasihat buat para suami pula, hargailah pengorbanan dan penat lelah isteri.Bantulah para isteri serba sedikit urusan rumahtangga dan jangan biarkan isteri uruskan semuanya hingga boleh menyebabkan dirinya stress dan alami kemurungan.