Salah satu perkara yang menjadi idaman pasangan suami-isteri ialah dapat hidup bersama di bawah satu bumbung, bukan hidup berjauhan. Setiap hari dapat bertemu dan apabila sudah ada anak, maka masing-masing dapat melihat anak itu dewasa di depan mata.
Namun keadaan yang sempurna itu bukan milik semua orang. Teringat situasi seorang rakan lama yang selalu mengeluh nasib terpaksa duduk jauh dengan keluarga. Dia bekerja di ibu pejabat syarikat minyak antarabangsa di Eropah manakala isteri dan anak-anak tinggal di Kuantan.
Walaupun berpendapatan berkali ganda daripada gaji rakan-rakan lain yang bekerja dalam negara tetapi dia tidak merasa itu istimewa. Dia pernah berkata pada saya yang 70% masa hidupnya ialah duduk dalam kapalterbang, bermesyuarat di benua-benua berbeza dan tidur di hotel-hotel lima bintang serata dunia.
Bila ada kesempatan selain daripada cuti tahunan, dia akan mencuri masa untuk singgah di KLIA dan balik ke Kuantan untuk bersama keluarga. Biasanya dapatlah dua hari dan selepas itu terpaksa balik ke Eropah. Begitulah rutin hidupnya, daripada anak-anaknya lahir hingga sekarang sudah melepasi usia 20-an.
Sebenarnya ramai pasangan yang begitu. Saya pernah merasai sedikit pangalaman duduk berjauhan selama lebih kurang dua tahun semasa melanjutkan pelajaran suatu masa dahulu. Pada ketika itu teknologi internet baru bermula dan tidak semaju hari ini. Bila bercakap tentang tinggal berjauhan ini pasti perkara-perkara negatif yang banyak diulas.
Maka apa yang saya mahu kongsikan kali ini adalah sudut positif sekiranya anda dalam status PJJ iaitu ‘Perkahwinan Jarak Jauh’ hari ini.
Ada pepatah lama menyatakan ‘biar jauh di mata tetapi dekat di hati’. Ini sangat betul sekiranya kita jujur melihat realiti pasangan yang berkahwin.
Duduk berjauhan tidak bermakna jauh di hati. Ada ramai pasangan yang duduk sebumbung, ke pejabat bersama tiap hari, tetapi hati masing-masing terpisah beribu batu jauhnya. Dalam hal begitu, adakah jarak patut disalahkan?
Faktor seterusnya yang selalu diungkit ialah kebarangkalian tinggi untuk curang yang dikatakan selalu berlaku pada pasangan PJJ. Saya selalu bercakap tentang risiko curang ini.
Sebenarnya curang tidak semesti disalahkan kepada jarak yang memisahkan. Ianya lebih kepada faktor diri sendiri. Suami atau isteri boleh curang apabila masing-masing ada isu dengan pasangan sendiri. Jika mana-mana
pihak mengambil mudah insan yang setiap hari berada di depan mata maka pintu depan dan pintu belakang rumah sentiasa terbuka untuk mereka berlaku curang.
Hari ini anggapan bahawa duduk berjauhan maka susah untuk berkomunikasi memang tidak boleh diterima. Teknologi internet telah menghilangkan fungsi ‘Telegram kertas’ dan kos perbualan telefon jarak jauh yang mahal itu.
Dengan telefon pintar dan isyarat wi-fi yang kuat dan murah maka anda yang duduk di benua lain boleh berbual dengan keluarga seperti duduk di ruang tamu. Dengan suara jelas dan visual yang baik, komunikasi itu boleh dikatakan 80% sudah sempurna.
Kata orang bila duduk berjauhan ini susah kita untuk mengenal pasangan. Saya tanyakan pula soalan ini. Berapa ramai pasangan yang terasa seperti orang asing walaupun tidak pernah duduk berjauhan?
Apabila duduk berjauhan maka masa bersama itu menjadi sangat berharga. Manusia ini sifatnya menghargai apa yang susah untuk mereka dapat. Apabila jarang bertemu maka anda akan lebih bersedia untuk benar-benar mengenali pasangan dalam masa-masa emas itu.
Yang terakhir saya mahu kongsikan dalam bentuk soalan. Kenapa waktu bercinta kita rasa semuanya indah belaka? Ya, kerana ketika itu kita masih ada halangan hukum agama untuk intim bersama orang yang kita cintai. Apabila sudah berkahwin, semua itu menjadi halal dan boleh dilakukan tanpa halangan. Secara tanpa sedar perlahan-lahan muncul rasa tidak berpuas hati, bosan dan sebagainya.
Tambahan pula selepas bertahun-tahun semuanya berlaku mengikut S.O.P yang sama. Benar hukum sudah menghalalkan tetapi jarak dan masa tetap memberi cabaran. Itulah yang menjadikan setiap kali pertemuan seolah-olah seperti pasangan bercinta yang boleh berbuat apa sahaja. Anda boleh mencubanya jika anda tidak percaya. Cubalah!
** Artikel ini telah dikongsikan oleh Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation, juga penulis tetap ruangan Nota Untuk Isteri di dalam majalah Mingguan Wanita.