Salah satu perkara yang menjadi idaman pasangan suami-isteri ialah dapat hidup bersama di bawah satu bumbung, bukan hidup berjauhan. Setiap hari dapat bertemu dan apabila sudah ada anak, maka masing-masing dapat melihat anak itu dewasa di depan mata.
Kerja Di Luar Negara
Namun keadaan yang sempurna itu bukan milik semua orang. Teringat situasi seorang rakan lama yang selalu mengeluh nasib terpaksa duduk jauh dengan keluarga. Dia bekerja di ibu pejabat syarikat minyak antarabangsa di Eropah manakala isteri dan anak-anak tinggal di Kuantan.
Walaupun berpendapatan berkali ganda daripada gaji rakan-rakan lain yang bekerja dalam negara tetapi dia tidak merasa itu istimewa. Dia pernah berkata pada saya yang 70% masa hidupnya ialah duduk dalam kapalterbang, bermesyuarat di benua-benua berbeza dan tidur di hotel-hotel lima bintang serata dunia.
Jenguk Anak Isteri Sehari Dua Saja
Bila ada kesempatan selain daripada cuti tahunan, dia akan mencuri masa untuk singgah di KLIA dan balik ke Kuantan untuk bersama keluarga. Biasanya dapatlah dua hari dan selepas itu terpaksa balik ke Eropah. Begitulah rutin hidupnya, daripada anak-anaknya lahir hingga sekarang sudah melepasi usia 20-an.
Sebenarnya ramai pasangan yang begitu. Saya pernah merasai sedikit pangalaman duduk berjauhan selama lebih kurang dua tahun semasa melanjutkan pelajaran suatu masa dahulu. Pada ketika itu teknologi internet baru bermula dan tidak semaju hari ini. Bila bercakap tentang tinggal berjauhan ini pasti perkara-perkara negatif yang banyak diulas.
Ads
Maka apa yang saya mahu kongsikan kali ini adalah sudut positif sekiranya anda dalam status PJJ iaitu ‘Perkahwinan Jarak Jauh’ hari ini.
Sudut Positif Bila Berjauhan
Ada pepatah lama menyatakan ‘biar jauh di mata tetapi dekat di hati’. Ini sangat betul sekiranya kita jujur melihat realiti pasangan yang berkahwin.
Duduk berjauhan tidak bermakna jauh di hati. Ada ramai pasangan yang duduk sebumbung, ke pejabat bersama tiap hari, tetapi hati masing-masing terpisah beribu batu jauhnya. Dalam hal begitu, adakah jarak patut disalahkan?
Faktor seterusnya yang selalu diungkit ialah kebarangkalian tinggi untuk curang yang dikatakan selalu berlaku pada pasangan PJJ. Saya selalu bercakap tentang risiko curang ini.
Ads
Jarak Bukan Penyebabnya…
Sebenarnya curang tidak semesti disalahkan kepada jarak yang memisahkan. Ianya lebih kepada faktor diri sendiri. Suami atau isteri boleh curang apabila masing-masing ada isu dengan pasangan sendiri. Jika mana-mana
pihak mengambil mudah insan yang setiap hari berada di depan mata maka pintu depan dan pintu belakang rumah sentiasa terbuka untuk mereka berlaku curang.
Hari ini anggapan bahawa duduk berjauhan maka susah untuk berkomunikasi memang tidak boleh diterima. Teknologi internet telah menghilangkan fungsi ‘Telegram kertas’ dan kos perbualan telefon jarak jauh yang mahal itu.
Dengan telefon pintar dan isyarat wi-fi yang kuat dan murah maka anda yang duduk di benua lain boleh berbual dengan keluarga seperti duduk di ruang tamu. Dengan suara jelas dan visual yang baik, komunikasi itu boleh dikatakan 80% sudah sempurna.
Ads
Makin Menghargai Pasangan
Kata orang bila duduk berjauhan ini susah kita untuk mengenal pasangan. Saya tanyakan pula soalan ini. Berapa ramai pasangan yang terasa seperti orang asing walaupun tidak pernah duduk berjauhan?
Apabila duduk berjauhan maka masa bersama itu menjadi sangat berharga. Manusia ini sifatnya menghargai apa yang susah untuk mereka dapat. Apabila jarang bertemu maka anda akan lebih bersedia untuk benar-benar mengenali pasangan dalam masa-masa emas itu.
Anggap Pasangan Sebagai Kekasih
Yang terakhir saya mahu kongsikan dalam bentuk soalan. Kenapa waktu bercinta kita rasa semuanya indah belaka? Ya, kerana ketika itu kita masih ada halangan hukum agama untuk intim bersama orang yang kita cintai. Apabila sudah berkahwin, semua itu menjadi halal dan boleh dilakukan tanpa halangan. Secara tanpa sedar perlahan-lahan muncul rasa tidak berpuas hati, bosan dan sebagainya.
Tambahan pula selepas bertahun-tahun semuanya berlaku mengikut S.O.P yang sama. Benar hukum sudah menghalalkan tetapi jarak dan masa tetap memberi cabaran. Itulah yang menjadikan setiap kali pertemuan seolah-olah seperti pasangan bercinta yang boleh berbuat apa sahaja. Anda boleh mencubanya jika anda tidak percaya. Cubalah!
** Artikel ini telah dikongsikan oleh Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation, juga penulis tetap ruangan Nota Untuk Isteri di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kisah pergolakan antara menantu dan ibu mentua sangat sulit untuk diselesaikan. Isu ibu mentua dengan menantu perempuan lagi-lagi yang bukan pilihan memang tidak akan habis sampai bila-bila pun. Jika tidak ditangani secara bijak maka akan rosaklah rumah tangga yang dibina.
Hubungan ibu mentua dan menantu perempuan terlalu rumit. Sikap sesetengah ibu mentua yang suka mempertikaikan perkara remeh menjadikan hubungan keduanya sentiasa panas. Pendek kata ada sahaja yang tidak kena.
Menantu pula jenis tidak sabar jadi bila sama-sama ‘keras’ maka makin buruklah jadinya. Namun semua itu harus ditangani dengan baik, ibarat menarik rambut dari dalam tepung, rambut jangan putus, tepung pula tidak berselerak.
Aku cintakan kamu, kamu cintakan aku. Hari ini, kita bergelar suami isteri. Kita akan bersatu dan hidup bahagia hingga ke akhirnya.
Ringkas dan mudah bukan? Ini perkara yang berada di dalam kepala pasangan yang baru sahaja bernikah.
Tapi ianya sering tidak semudah itu. Kerana ada anasir luar (baca : dalam) yang mempengaruhi kehidupan suami isteri. Anasir luar yang dimaksudkan ialah ibu-bapa mentua. Ibu dan bapa pasangan itu sendiri.
Apabila anak sudah meningkat dewasa dan bersedia untuk berkahwin, sudah pastinya anak itu sudah cukup matang untuk membuat keputusan. Betul, ibu dan bapa mempunyai pendapat dan boleh memberi pendapat tentang pilihan hati anak. Ini dipanggil menjadi ibu-bapa. Pastinya ibu dan bapa mahukan yang terbaik untuk anaknya.
Menantu Bukan Pilihan Jadi ‘Mangsa’ Ibu Mentua
Tidak salah sebenarnya, kadang-kala kerana cinta, mata yang celik pun boleh menjadi buta. Ada yang jatuh cinta dengan penagih yang tidak berniat untuk berhenti. Ada juga yang jatuh cinta dengan wanita liar yang tidak mahu berubah. Di sini, ibu-bapa memang patut memainkan peranan membawa kembali pandangan mata anak kepada realiti dan akibatnya nanti.
Masalah tiba apabila bila ibu-bapa pula yang terlebih melindungi anak hanya kerana hatinya tidak berkenan dengan bakal menantunya. Di sini bermulalah segala jenis masalah yang dikaitkan dengan menantu bukan pilihan.
“Kalau kau aku tak suka, dengan keturunan kau pun aku tak suka”. Ya, memang ada yang sampai ke tahap itu. Benci, menyampah, buruk, huduh, tak layak, murahan dan macam-macam lagi perasaan yang bermain di minda mentua apabila anaknya berkahwin dengan yang bukan pilihan hatinya.
Bermacam alasan diberi, pilihan anak itu tak cantik, belajar tak pandai, kerja tak bagus atau tidak bekerja, keturunan tak kaya dan tak sama taraf. Kadang-kala sehingga kehabisan sebab, tetapi masih lagi tidak boleh terima. Di carinya lagi sebab lain yang boleh teruskan kebencian di hati.
Biasa dengar mentua yang tak suka negeri itu ini?
“Jangan kahwin dengan orang Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur”
Habis semua negeri tak boleh kahwin, itu tak boleh, ini tak boleh.
Masakan menantu sentiasa tidak kena dengan selera. Asam pedas tak cukup masam, kari tak cukup pekat, masak lemak tak cukup pedas, ikan goreng tak garing, nasi lembik, sambal belacan tak pedas, rendang tak sedap, ayam goreng tak garing, masakan terlalu manis, masin, pahit, tawar sampai air kosong pun tak cukup sejuk.
Hidangan pula tak menarik, pinggan tak tersusun rapi, mangkuk tak guna yang sama tema, sumbing sikit tak boleh, pinggan basah pun kena lap bagi sempurna semua.
Pakaian menantu bukan pilihan sentiasa tidak kena. Terlalu singkat, terlalu labuh, tidak menarik, tak cantik, warna kelam, tudung senget dan macam-macam lagi.
Alasan untuk tidak menyukai dah habis. Walapun menantu dah ikut semuanya tetapi sangat susah mulut untuk memuji apa yang menantu buat. Seperti satu kesalahan yang besar jika mentua memuji menantu yang tidak disukainya itu.
JADI BAHAN UMPATAN
Menantu bukan pilihan juga sering jadi mangsa umpatan mentua dengan orang lain. Sama ada dengan ipar atau orang terdekat. Kadang-kala dengan sengaja membiarkan menantu itu dengar.
Antara yang menyakitkan hati, mentua sentiasa berkias-kias apabila bercakap dengan menantu bukan pilihannya. “Kedutnya baju anak aku, kenapa la tak bergosok?”, “Makin kurus anak aku ni sejak kahwin, tak cukup makan la tu”, “cucu aku semua putih, yang ini sahaja hitam legam”.
Menantu bukan pilihan juga akan sentiasa dipantau. Paling mentua tak suka apabila anaknya melebihkan isteri sendiri. Memang tak senang duduk dia. Sentiasa ingatkan anak yang Ibu lebih penting dari isteri. Tengok isteri berpakaian baru, diperli-perlinya, tengok isteri ada cincin baru, cepat sungguh kena tegur, membazir la, tak cantik la.
Ada juga yang membanding-bandingkan menantu. Yang disukai sentiasa disebut-sebut, diangkat tinggi, dipuji selalu. Menantu yang itu kerjanya bagus, bukan suri rumah. Menantu yang ini belajar sampai PhD, bukan takat SPM je. “Bodoh tu nanti berjangkit kat anak” katanya.
Bila ada menantu yang selalu beri duit, dicanangnya satu kampung. Saudara mara yang datang pun habis dicerita semua. Menantu ini bagi gelang, menantu itu bagi duit, menantu yang ini tak pernah bagi apa pun. Setakat bagi tudung, apalah sangat. Tak penting pun untuk diceritakan.
Yang menyedihkan, anak kepada menantu bukan pilihan menjadi mangsa diskriminasi. Cucu yang itu la yang selalu dimarahi. Cucu yang itu la yang tidak dilayan berbanding cucu menantu yang disukainya.
Tidak cukup dengan itu, anak akan dihasut dengan pelbagai perkara yang tak elok. Kadang-kala sehingga mereka-reka cerita, diburuk-burukkan dan difitnah. Tujuannya supaya anaknya itu membenci isteri sendiri.
Seperti tidak masuk akal juga apabila perkara yang di luar kawalan dan kemampuan disentuh. Menantu yang masih tidak mempunyai anak akan sering diperli dan diperlekehkan kononnya itu semua salah menantu.
Yang pastinya, menantu bukan pilihan ini jika mahu mengambil hati, perlulah patuh dan mengikut 100% seperti apa yang dimahukan, barulah hatinya puas.
Itulah serba sedikit apa yang dilalui menantu bukan pilihan dan perangai ibu mentua yang merosakkan. Memang sangat menyedihkan.
Kadang-kala orang tua ini memang tidak boleh berubah. Anak perlulah memainkan peranan yang teramat penting untuk seimbangkan kembali situasi yang sentiasa tegang ini.
DENGAR RAYUAN DAN ADUAN PASANGAN
Anak perlu sedar mengenai perangai ibu atau bapanya sendiri. Dengarlah rayuan dan aduan pasangan. Jika perlu bertegas, bertegaslah. Pasangan andalah yang akan bersama dengan anda, membesarkan anak anda dan melayan anda hingga ke akhirnya. Hati mereka amat penting untuk dijaga.
Janganlah menjadi anak emak yang membutakan mata serta memekakkan telinga apabila ada ketidakadilan berlaku dari ibu-bapa sendiri terhadap pasangan. Pasangan perlu dibela, pasangan perlu dipujuk. Mereka amat tertekan. Nak marah tak boleh, nak menangis pun tidak dilayan. Jadilah suami atau isteri yang bertanggungjawab. Jangan biarkan anasir luar mempengaruhi kegembiraan hidup berkeluarga.
Hargai pasangan anda, itu pilihan hati anda. Jangan biarkan mereka menghadapi semua ini seorang diri. Berdiri di hadapan mereka. Bela mereka bila diperlukan, jangan biarkan pasangan dilukai sewenang-wenangnya.
Ini adalah situasi yang benar. Terlalu ramai menantu bukan pilihan yang sedang menderita. Bukalah mata dan lihat serta dengar sendiri. Jangan abaikan masalah ini.
Kepada mentua, insaflah. Berhenti merosakkan keluarga anak anda sendiri. Buang ego itu ke tepi, pilihan anak perlu dihormati selagi ianya tidak memudharatkan. Berhenti cuba mengawal semua benda. Janganlah memaksa anak dan menantu menjadi seperti yang anda mahukan dan menjadi keluarga yang sama seperti keluarga anda. Setiap manusia itu unik dan ada keperluan dan minat masing-masing. Biarlah anak dan pasangan mereka menentukan arah tuju keluarga mereka. Itu hak mereka sendiri, bukan anda.
Kepada menantu bukan pilihan, bersabarlah. Jangan berhenti berkongsi masalah ini dengan pasangan. Mereka patut tahu apa yang ibu atau bapa mereka sendiri sedang buat. Teruskan tabah, dan buatlah sebaik mungkin. Fokus kepada keluarga sendiiri, jangan biarkan orang yang tidak menyukai kita menentukan kebahagiaan rumah tangga kita.
Anak perempuan meningkat remaja. Nana Mahzan akui agak risau. Namun punya cara tersendiri didik anak. Paling penting kata Nana perlu banyak berbicara dengan anak perempuan. Berkongsi cerita sangat penting dan pastikan anak menghormati dan mendengar kata ibu ayah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami isteri saling melengkapi.Namun adakalanya perkara yang dianggap simple bagi isteri, tak semudah difahami oleh suami.Selalu terjadi dalam rumahtangga bila isteri nak minta tolong suami untuk melakukan sesuatu, namun tak menepati apa yang isteri harapkan.
Perkara yang perlu diambil berat adalah cara berfikir suami tak sama dengan pemahaman isteri. Setiap arahan atau nak minta tolong pada suami perlulah lengkap dan spesifik, jelas satu persatu barulah maksudnya sampai.
Kadang-kadang orang perempuan ni selalu suruh kita faham dia, tapi depa selalu juga tak faham kami yang lelaki ni. Mari saya kongsikan kisah yang berlaku semalam, antara saya dan isteri.
Sebelum isteri saya keluar rumah, beliau pesan, “abang tengok-tengokkan daging kat dalam kuali tu ya. Bila air tu dah kering, tutup api ok.” Aku tak faham sebenarnya kenapa nak kena rebus daging, goreng jelah terus. Rupa-rupanya, beliau nak bagi daging tu lembut dulu.
Dipendekkan cerita, beliau pun balik dan terus ke dapur. “Abang, ni kenapa daging belah bawah ni sampai hangit? Awat tak kacau daging tu?”
Aku terus jawab, “lah, tadi sayang kata suruh tengok je. Tak cakap pun suruh kacau. Manalah abang tahu. Abang perati air kering atau tak jelah.”
Jangan Ingat Fikiran Lelaki Sama
Ya puan-puan, jangan ingat fikiran lelaki sama macam awak ya. Apatah lagi patern lelaki tipikal macam saya ni, jenis tak pandai bab memasak.
Nak bagi arahan, tolong spesifikkan. Sebut satu-satu. Jangan skip stepnya. Jangan anggap takkanlah tak tahu, takkanlah tak boleh fikir, takkanlah tak tahu apa-apa pun.
Ya, kami memang tak tahu. Kami perlukan bimbingan dan panduan dari isteri. Bersabarlah dengan kerenah kami ya.
Macam nak suruh beli barang. Jangan bagi arahan sekaligus. Sebut sekali 5 jenis barang nak kena beli. Kalau sekadar cakap, tak jalan. Kami akan ingat yang awal-awal je. Kena tulis ok.
Kalau nak suruh beli bawang besar, kena cakap berapa biji. Jangan sebut random je. Menggagau kami kat kedai fikir nak beli berapa banyak. Kami lelaki, bukan perempuan. Ia terpakai pada semua jenis barang. Spesifikkan okey!
Bila minta suami bantu masak kat dapur, jangan hanya cakap masukkan garam, gula bagai. Bagi tahu spesifik berapa banyak sukatan yang kami kena bubuh dalam masakan.
Kalau area rumah ada tanah boleh bercucuk tanam, jangan hanya kata abang pi ambil serai. Tolong cakap berapa banyak serai nak diambil. Kami perlu tahu semua tu. Dan ia juga terpakai jika suruh kami ambil bunga kantan, daun kari dan lain-lain.
Jika puan-puan nak ajar suami masak, jangan expect sekali ajar dia akan pandai. Sekejap je ingat, 2 3 hari akan lupalah. Jangan pula marah, dok kata kan haritu dah ajar. Percayalah cakap saya, kami bukan sengaja tau, tapi memang betul-betul dah tak ingat.
Jadi, lepas ni tak adalah isteri akan anggap suami ni selalu je goyang kaki kat rumah. Kami bukan tak mahu tolong, tapi kami tak tahu nak tolong apa dan bagaimana nak lakukannya. Lagipun dalam kepala otak kami ni akan buang info yang dirasakan tak penting. Haha
Oleh sebab itulah, kami akan bantu puan-puan dengan menjaga anak di ruang tamu, mandikan depa, basuh baju, kemas apa yang patut, bantu promote kuih raya yang isteri jual (ya, isteri saya jual kuih raya. Nyempat selit. Haha), dan bila dah selesai semua kami akan tidur.
Dan itulah cara paling epik kami berehat. Kahkah
Akhi Fairuz Al-Jengkawi,
Tips ini tidak terpakai kepada suami yang power bab masak. Suami isteri saling melengkapi. Ajar anak lelaki mulai sekarang.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan dijadikan panduan buat wanita yang bergelar isteri. Jadi ingat iya, bila nak bagi arahan kat suami tu, kena sebut secara spesifik, terangkan lengkap dan jelas barulah maksudnya sampai.
Biasanya bila anak masuk umur 2-4 tahun, semakin susah anak nak tidur sendiri setiap malam. Kasihan kalau mak ayah jenis bekerja, agak penat nak melayan anak yang tengah aktif bermain. Lagi kasihan, sampai jam 2-3 pagi pun anak masih terbeliak biji matanya.
Kadang kalau anak dah banyak tidur siang hari pun boleh jadi punca anak payah tidur malam. Jadi apa peranan mak ayah untuk handle masalah anak susah tidur malam ini?
Mungkin tip yang dikongsikan Doktor Ezairy M.Sallih ini boleh tidurkan anak lebih mudah, nah jemput baca tipnya.
Bagaimana merangsang bayi untuk tidur sendiri?
Persoalan seperti ini sudah tentunya jarang terfikir oleh fikiran kita, betul? Namun percayakah anda bahawa apabila kena pada cara dan langkahnya, anak kita mampu dididik untuk tertidur dengan mudah.
Cuba lihat beberapa perkara ini:
Bawa anak ke bilik tidur lebih awal
Perkara pertama ini penting. Ia amat penting untuk membiasakan anak dan bayi kita bahawa ini adalah masa untuk mereka tidur. Anda akan merangsang anak anda sedari kecil lagi untuk tidur lebih awal. Rangsangan ini amat berharga kerana persediaan sebelum tidur amat diperlukan oleh anak kecil sebelum mereka mampu untuk tidur.
Rutin tidur yang teratur
Ini juga antara perkara paling penting. Langkah yang paling baik ialah mendidik masa untuk anak anda tidur semenjak usia bayi lagi. Ya, bayi memerlukan jangka masa tidur yang lebih lama berbanding dewasa. Tidak sama seperti kita. Cuba latih untuk mereka tidur pada waktu yang sama pada setiap hari, supaya jadual ini akan terus berlaku sehingga mereka meningkat usia.
‘Bedtime routine’ yang konsisten
Ini juga penting. Bagi anda yang mempunyai anak pada usia kanak-kanak, cuba lakukan aktiviti sebelum tidur yang tenang, damai dan mampu merangsang anak-anak untuk tidur. Ini termasuk bercerita, menyanyi, alunan zikir dan sebagainya mengikut kesesuaian. Ia penting untuk mendidik anak-anak bahawa ketika itu adalah masa untuk mereka mulai tidur.
Letak anak anda di atas katil atau tilam ketika mereka mengantuk
Ada ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka untuk terus bermain walaupun mereka sudah kelihatan sangat letih dan mengantuk. Cuba lazimkan dengan meletakkan anak anda di bilik dalam suasana yang sunyi dan tenang sebaik sahaja melihat mereka letih. Secara tidak langsung, kita sedang melatih dan merangsang mereka untuk belajar tidur dengan sendirinya tanpa pengaruh kita.
Cuba kurangkan tabiat menyusukan anak sampai tertidur
Ya, ini merupakan antara langkah yang sering kita lihat dan lakukan sendiri. Ianya tidak salah. Cuma, apabila terlalu kerap anda melakukan cara begini, anda tidak akan langsung memberi peluang kepada anak untuk belajar tertidur tanpa pengaruh luar. Sesekali cuba lepaskan susuan apabila melihat anak sudah sangat letih, biarkan mereka tertidur sendiri.
Ibu bapa sekalian, belajar untuk menenangkan diri sendiri dan seterusnya mudah tidur bagi anak-anak ini sememangnya memerlukan masa, kesabaran, ruang dan tenaga, sama ada bagi ibu, ayah dan bayi itu sendiri. Ada anak yang memerlukan masa yang lebih lama daripada yang lain untuk mempelajarinya. Setiap anak tidak sama.
Bersabar dan teruskan dengan langkah yang anda lakukan sekarang. Lakukanlah dengan cara yang paling tenang, mudah dan penuh kasih-sayang. Sentiasa percaya bahawa suatu hari nanti ianya pasti akan mudah buat anak-anak kita.
Jangan baca saja ya, moga mak ayah boleh amalkan tip ini pada anak-anak kecil yang susah nak tidur malam. Semoga bermnafaat!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Gula-gula gummy bebas dijual di pasaran, jelly berisiko tercekik bagi kanak-kanak. Kejadian tragis melibatkan adik Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, seorang kanak-kanak berusia 10...