‘Dengar Jeritan Panggil Abah, Tapi Tak Mampu Selamatkan.’ Pilu Dua Anak Terkorban Dalam Kebakaran

Share

‘Dengar jeritan panggil abah, tapi tak mampu selamatkan.’ Pilu dua anak terkorban dalam kebakaran menjelangnya syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Pedih hati menerima kehilangan anak dalam kebakaran yang berlaku di depan mata. Allahuakbar beratnya ujian!

Dengar Jeritan Panggil Abah

Abah… abah. Itu jeritan terakhir dapat didengar seorang lelaki dalam insiden kebakaran sebuah rumah kedai yang mengorbankan dua anaknya di Bandar Seri Iskandar di sini pada Khamis.

Kejadian sekitar jam 4.30 pagi itu mengorbankan Muhammad Fahmi Mohd Fazlan Nizam, 6, dan adiknya, Nur Fahmia berusia enam bulan selepas terperangkap dalam sebuah bilik di rumah kedai terbabit.

Ketika kejadian, dua beradik terbabit sedang nyenyak tidur di bilik hadapan tingkat 2 bangunan, sementara ibu bapanya sedang bersahur di tingkat bawah.

Baca Di Sini : “Ibu Ingin Selamatkan Anak-Anak.” Akhirnya Kesemua DiTemui Meninggal Berpelukan Terhidu Asap Kebakaran

Tapi Tak Mampu Selamatkan

Menurut bapa mangsa, Mohd Fazlan Nizam Mohamed Hamidi, 37, sebaik menyedari kebakaran berlaku, dia segera naik ke tingkat atas untuk menyelamatkan dua anaknya itu.

Bagaimanapun katanya, usaha itu gagal kerana keadaan asap terlalu tebal memenuhi ruang bangunan itu.

“Waktu saya naik tangga, saya dengar jeritan anak sulung saya memanggil abah abah beberapa kali. Saya menyahut dengan harapan dia dapat bertahan sementara saya cuba membawa mereka
keluar.

“Tetapi tak lama jeritan itu hilang, saya cuba masuk, tetapi tak berdaya kerana sesak nafas, tiga kali saya usaha, namun tidak juga berjaya.

“Beberapa orang juga cuba membantu memanjat papan tanda dan memecahkan cermin hadapan kedai dengan harapan dapat masuk ke bilik, namun tetap juga gagal.

“Menyebabkan kami pasrah dan hanya mampu menunggu bantuan daripada pihak bomba,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Changkat Melintang, Parit, Perak.

Baca Juga Di Sini: Tak Mahal Pun, Beli & Simpan Pemadam Api Dalam Kereta Elak Kebakaran

Pilu Dua Anak

Dia yang mengusahakan restoran masakan tomyam bersama isteri, Mimi Doleng, 28, di tingkat bawah rumah kedai itu telah mendiami bilik berkenaan sejak hampir setahun lalu.

Dua lagi bilik di tingkat sama dijadikan penempatan lima pekerjanya.

“Mereka berdua baru sahaja masuk tidur selepas penat bermain di kawasan kedai ini. Selepas tidurkan mereka, saya dan isteri turun untuk membantu pekerja mengemas meja dan kerusi.

“Tak sangka itulah kali terakhir kami dapat tatap dan tidurkan mereka,” katanya pilu.

Artikel Berkaitan: Pengorbanan Seorang Suami, Nekad Menahan Bahang Kebakaran Demi Selamatkan Isteri

Terkorban Dalam Kebakaran


Tambah Mohd Fazlan Nizam, beberapa hari sebelum kejadian, anak sulungnya yang mesra dipanggil ‘Abe’ merengek mengatakan mahu balik, tetapi tidak menyatakan mahu balik ke mana.

“Selepas kejadian ini, barulah saya dapat tahu, erti balik itu mahu balik ke mana. Walaupun sedih kehilangan kedua-dua anak sekali gus, tetapi kami reda dan menerima ujian yang diberikan tuhan,” katanya yang turut memaklumkan persiapan baju raya dua beradik itu telah pun siap.

Jenazah dua beradik berkenaan akan dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Jalan Kampung Bali, Tronoh pada hari ini.

Kali Terakhir Berjumpa

Manakala jelas datuk mangsa, Mohamed Hamidi Mohd Alias, 60, kali terakhir dapat bertemu dengan dua cucunya itu pada 1 Ramadan lepas.

Dia yang baru pulang mengerjakan ibadah umrah sempat membelikan sepasang jubah dan abaya serta perhiasan gelang untuk dua cucunya itu untuk dipakai pada hari raya pertama.

“Bila ditunjukkan jubah, cucu lelaki saya tu suka sangat dan tak sabar nak pakai, sebab ini kali pertama dia beraya dengan jubah,” katanya.

Dalam kejadian itu, dua beradik berkenaan berjaya dikeluarkan anggota bomba dan pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan kebakaran nyata pada tubuh badan.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika dibawa ke Hospital Changkat Melintang bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

Mingguan Wanita : Pemergian anak yang masih kecil tentu saja meninggalkan kesan yang mendalam kepada kedua ibu bapanya. Semoga mak ayah ini terus kuat berdepan dengan ujian berat ini.

Sumber : Sinar Harian

Follow kami di :

Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita

Published by
Nur Syazwani Mehat