'Selepas tidurkan mereka, saya dan isteri turun untuk membantu pekerja mengemas meja dan kerusi. Tak sangka itulah kali terakhir kami dapat tatap dan tidurkan mereka.'- Bapa.
‘Dengar jeritan panggil abah, tapi tak mampu selamatkan.’ Pilu dua anak terkorban dalam kebakaran menjelangnya syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Pedih hati menerima kehilangan anak dalam kebakaran yang berlaku di depan mata. Allahuakbar beratnya ujian!
Dengar Jeritan Panggil Abah
Abah… abah. Itu jeritan terakhir dapat didengar seorang lelaki dalam insiden kebakaran sebuah rumah kedai yang mengorbankan dua anaknya di Bandar Seri Iskandar di sini pada Khamis.
Kejadian sekitar jam 4.30 pagi itu mengorbankan Muhammad Fahmi Mohd Fazlan Nizam, 6, dan adiknya, Nur Fahmia berusia enam bulan selepas terperangkap dalam sebuah bilik di rumah kedai terbabit.
Ketika kejadian, dua beradik terbabit sedang nyenyak tidur di bilik hadapan tingkat 2 bangunan, sementara ibu bapanya sedang bersahur di tingkat bawah.
Menurut bapa mangsa, Mohd Fazlan Nizam Mohamed Hamidi, 37, sebaik menyedari kebakaran berlaku, dia segera naik ke tingkat atas untuk menyelamatkan dua anaknya itu.
Bagaimanapun katanya, usaha itu gagal kerana keadaan asap terlalu tebal memenuhi ruang bangunan itu.
“Waktu saya naik tangga, saya dengar jeritan anak sulung saya memanggil abah abah beberapa kali. Saya menyahut dengan harapan dia dapat bertahan sementara saya cuba membawa mereka
keluar.
“Tetapi tak lama jeritan itu hilang, saya cuba masuk, tetapi tak berdaya kerana sesak nafas, tiga kali saya usaha, namun tidak juga berjaya.
Ads
“Beberapa orang juga cuba membantu memanjat papan tanda dan memecahkan cermin hadapan kedai dengan harapan dapat masuk ke bilik, namun tetap juga gagal.
“Menyebabkan kami pasrah dan hanya mampu menunggu bantuan daripada pihak bomba,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Changkat Melintang, Parit, Perak.
Dia yang mengusahakan restoran masakan tomyam bersama isteri, Mimi Doleng, 28, di tingkat bawah rumah kedai itu telah mendiami bilik berkenaan sejak hampir setahun lalu.
Dua lagi bilik di tingkat sama dijadikan penempatan lima pekerjanya.
“Mereka berdua baru sahaja masuk tidur selepas penat bermain di kawasan kedai ini. Selepas tidurkan mereka, saya dan isteri turun untuk membantu pekerja mengemas meja dan kerusi.
Ads
“Tak sangka itulah kali terakhir kami dapat tatap dan tidurkan mereka,” katanya pilu.
Tambah Mohd Fazlan Nizam, beberapa hari sebelum kejadian, anak sulungnya yang mesra dipanggil ‘Abe’ merengek mengatakan mahu balik, tetapi tidak menyatakan mahu balik ke mana.
“Selepas kejadian ini, barulah saya dapat tahu, erti balik itu mahu balik ke mana. Walaupun sedih kehilangan kedua-dua anak sekali gus, tetapi kami reda dan menerima ujian yang diberikan tuhan,” katanya yang turut memaklumkan persiapan baju raya dua beradik itu telah pun siap.
Jenazah dua beradik berkenaan akan dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Jalan Kampung Bali, Tronoh pada hari ini.
Ads
Kali Terakhir Berjumpa
Manakala jelas datuk mangsa, Mohamed Hamidi Mohd Alias, 60, kali terakhir dapat bertemu dengan dua cucunya itu pada 1 Ramadan lepas.
Dia yang baru pulang mengerjakan ibadah umrah sempat membelikan sepasang jubah dan abaya serta perhiasan gelang untuk dua cucunya itu untuk dipakai pada hari raya pertama.
“Bila ditunjukkan jubah, cucu lelaki saya tu suka sangat dan tak sabar nak pakai, sebab ini kali pertama dia beraya dengan jubah,” katanya.
Dalam kejadian itu, dua beradik berkenaan berjaya dikeluarkan anggota bomba dan pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan kebakaran nyata pada tubuh badan.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika dibawa ke Hospital Changkat Melintang bagi tujuan pemeriksaan lanjut.
Mingguan Wanita : Pemergian anak yang masih kecil tentu saja meninggalkan kesan yang mendalam kepada kedua ibu bapanya. Semoga mak ayah ini terus kuat berdepan dengan ujian berat ini.
Sejak bergelar ibu pada Aqeef Anaqi ini memang nampak terserlah sifat keibuan pelakon drama NUR, Amyra Rosli ini. Terbaru, Amyra berkongsi video pendek dia bersama si comelnya. Tentang rutin wajib yang perlu dipenuhi ibu ini sebelum menidurkan anaknya.
Caption Amyra “Perkara wajib nak tidokan Aqeef Anaqi.” Dalam video itu, Amyra mengajar bayinya kalimah ‘Lailahaillallah’ yang bermaksud tiada tuhan selain Allah dan selawat ke atas nabi Muhammad SAW.
Aqeef yang dilahirkan pada 15 Oktober 2017 ini juga semakin keletah dan sentiasa saja tersenyum. Si kecil ini bukan setakat comel malah gelagatnya yang ‘banyak mulut’ itu buatkan ramai jatuh suka.
Disebabkan ia sudah menjadi rutin makna mudahnya, hari-hari dituturkan maka Aqeef pun seakan sudah boleh menghafal kalimah indah itu di bibirnya. Walaupun sebutannya tidak sempurna, namun ia jelas bunyinya sama seperti apa yang dituturkan ibunya.
Apa yang dikongsikan Amyra ini sebenarnya memberi impak yang besar pada ramai peminatnya. Jelas, walau sesibuk mana pun seorang ibu itu tanggungjawab terhadap anak tak pernah sesekali dilupakan.
Iaitu memberikan pendidikan agama asas sejak dari kecil lagi. Lagipun, bayi yang selalu didedahkan dengan kalimah suci Al Quran ini akan lebih lembut jiwanya. Mereka lebih tenang dan tak banyak ragam. Penerapan asas agama pada anak kecil Amyra dan Amar Baharin ini boleh dilihat sejak mereka mendapat cahaya mata lagi.
Waktu awal kehadiran Aqeef pasangan tidak putus memberikan doa yang baik-baik untuk anaknya. Malah kedua ibu bapa ini walau sesibuk mana pun urusan mereka dengan kerjaya, tanggungjawab memberikan kasih sayang pada anak disempurnakan dengan baik.
Dari rutin memandikan Aqeef sampailah memberi makan pakai dilakukan dengan sepenuhnya oleh ibu muda ini. Sememangnya, pasangan muda ini boleh menjadi contoh yang baik untuk ibu bapa yang lain. Mengapa tidak selepas ini kita ajar anak-anak agar sebelum tidur membaca doa tidur, berselawat dan membaca surah 3 Qul. Dan disarankan agar menepuk-nepuk bantal sebelum melelapkan mata.
Luahan hati ibu ini apabila anaknya disahkan Bengkak Otot Jantung begitu menyayat hati. Ketika ini cuma suaminya saja yang bekerja. Sudah tentu beban kewangan makin dirasai. Keadaan anak keduanya, Adam Syazani yang memerlukan ruang selesa dan selamat membuatkan dia dan suami perlu membina satu bilik khas untuknya malah peralatan khas untuk menyokong hayatnya.
Namun, suami isteri ini masih belum mampu menyediakannya dan memohon jasa baik rakyat Malaysia yang prihatin membantu meringankan beban kewangannya. Ini luahan hati ibu yang diuji anak sakit, Eyda Adep.
Assalamualaikum
Salam malam yang penuh tenang, setenang hati ibu yang meluahkan.
Adam Syazani, anak bertuah ibu ayah dilahirkan pada 01.03.2016. Lahirnya yang sempurna, hensem lagi bijak. Anak kedua dalam keluarga. Bermain seperti anak-anak yang lain. Gelak tawa riuh mulut buatkan rumah kami cukup sempurna dengan kehadiran Adam.
Tanggal September 2016, Adam mula tidak sihat. Keadaan kesihatannya semakin merosot. Awal September 2016, detik pertama Adam jatuh sakit. Dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan. Keadaan paru-paru yang sangat kronik akibat jangkitan kuman (pnemonea). Dengan bantuan pakar, doktor, jururawat, Adam dirawat selama 2 bulan (Sept-Nov) berkampung di sana.
Segala perubatan dan rawatan yang terbaik diberikan untuk Adam. Sehingga 1 masa, pakar dapat kesan bahagian otot jantung Adam mula membengkak. Adam ditempatkan di HDW, HSI untuk rawatan rapi. Sejak dari itu, kesihatan Adam semakin merosot. Kes dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah berjumpa dengan pakar jantung. Selepas menjalani ujian echo, didapati otot jantung Adam memang besar dikatakan tidak normal.
Awal Januari 2017, bermulalah episod duka buat Adam. Berkampung di HSA dari Januari sehingga kini (Julai). Adam tidak stabil, turun naik dari ward pediatrik ke P.I.C.U. Bagaikan rumah kedua kami. Sebut saja nama Adam, majoriti kenal anak bertuah ini. Adam di dignose Dilated Cardiomyopathy (bengkak otot jantung) yang melibatkan gangguan pernafasan kronik. Semakin hari keadaan jantungnya menjadi lemah. Untuk jantung yang normal dipam dengan baik, tetapi jantung Adam sekadar memberi getaran (vibrate). Kadar fungsi jantung cuma 25% sahaja.
Pada Ramadhan lalu, tiba-tiba jantung Adam terhenti berdegup. Keadaan jadi lebih panik bila doktor maklumkan jantungnya terhenti selama 25 minit. Dengan bantuan pakar, Adam dapat diselamatkan melalui CPR. Syukur alhamdulillah… seperti biasa, Adam di intubate untuk direhatkan. Bila dia terjaga dari tidur, matanya tidak jelas lagi untuk melihat. Boleh dikatakan buta akibat oksigen tidak sampai ke otak. 25 minit jantung terhenti memang terlalu lama. Sangat tidak normal untuk bayi sepertinya. Allahuakhbar!
Matanya kembali pulih mengambil masa lebih kurang seminggu. Jelas dia melihat ibu ayah di sisinya. Syukur Ya Allah…
Kini, doktor berjumpa ibu ayah untuk berbincang sesuatu untuk kebaikan Adam. Pakar memberitahu sesuatu yang ibu ayah sendiri tidak boleh buat keputusan. Mereka maklumkan tidak dapat meneruskan bantuan untuk panjangkan hayat Adam, cukup sekadar sekali bantuan CPR, tidak boleh intubate lagi. Melainkan batuan mesin oksigen biasa atau nasalprong. Pergerakan Adam turut terganggu. Ya, ibu ayah redha dengan semuanya.
Adam segera didaftarkan di bawah “PALLIATIVE CARE” (kanak-kanak yang menghidap penyakit yang mengancam nyawa/penyakit mengakibatkan hayat terhad).
Dan kini, Adam dibenarkan pulang atas nasihat doktor kerana tiada lagi bantuan rawatan khusus untuknya. Berehatlah kamu di rumah dengan tenang anakku, ibu ayah sedaya upaya berikan yang terbaik untuk kamu. Bangga kerana sehingga kini kamu masih kuat bertahan. Ibu ayah di sisimu sehingga kamu di jemput ke SYURGA YANG ABADI.
Mohon Bantu Keluarga Adam
Kepada sesiapa yang ingin menyumbang ikhlas, bagi meringankan beban ibu ayah memandangkan ayah seorang yang bekerja. Jujur,ibu ayah mengalami saat sukar waktu ini. ALLAH lebih mengetahui.
Boleh menghubungi ibu ayah Adam No telefon: 01128669908 Whatssapp 0127646290 No. Akaun CIMB BANK : 01150084661526 (Azaida Binti Aladip) IBU
Info Tambahan
Antara yang diperlukan oleh keluarga ini ialah mengubahsuai ruang bilik mereka agar bersesuian dengan keadaan kesihatan Adam Syazani.
Pelajar-pelajar di sekolah tahfiz kebiasaannya hanya mendalami ilmu-ilmu agama seperti menghafaz alquran, hadis nabi dan sebagainya. Namun sebaliknya, istimewa bagi pelajar-pelajar di Madrasah Tahfiz Taufiqillah turut menjadikan bidang keusahawanan, mengusahakan madu kelulut sebagai salah satu modul pendidikan yang turut boleh menjana pendapatan yang lumayan.
Projek madu kelulut yang diusahakan secara suka-suka pada awalnya di Kampung Lembah Arang, Wang Tepus, di sini, tiga tahun kini menjadi sumber pendapatan kepada Madrasah Tahfiz Taufiqillah.
120 Sarang Madu Kelulut
Hasil madu kelulut dari 120 sarang yang diusahakan madrasah itu sangat memberangsangkan dan ia dijual pada harga RM30 bagi setiap 120 gram sehingga membolehkan pengusahanya memperolehi pendapatan sekitar RM14,000 sebulan. Malah pada musim bunga, hasil madu amat menggalakkan sehingga mampu dituai mencecah 100 kilogram (kg), dengan hasil jualan RM24,000.
Pengetua Madrasah Tahfiz Taufiqillah, Auzaid Ismail, 44, berkata wang hasil jualan madu digunakan untuk membayar bil elektrik madrasah kira-kira RM1,500 setiap bulan.
“Ia dapatlah menampung sedikit perbelanjaan madrasah yang mencecah RM20,000 sebulan.
“Tujuh puluh peratus pelajar di sini adalah anak yatim, orang miskin serta mualaf. Mereka tidak dikenakan yuran, manakala bagi keluarga yang berkemampuan, yuran hanya RM180 sebulan,” katanya.
Projek Madu Sejak 2015
Auzaid yang mengasaskan madrasah terbabit sejak 2013 berkata, beliau memulakan projek madu kelulut itu pada awal 2015, dengan hanya dua sarang untuk kegunaannya sekeluarga. Namun, semakin pelajar menunjukkan minat dengan projek itu dan hasilnya, beliau menambah bilangan sarang sehingga mencecah 120 sarang ketika ini.
Pada peringkat awal, Auzaid berkata, beliau tidak mempunyai ilmu mengenai kelulut menyebabkan lebah itu meninggalkan sarangnya.Beliau kemudian bertemu dengan seorang pensyarah dari Politeknik Sultan Abdul Halim (POLIMAS) di sini, yang mengajarnya secara praktikal teknik penjagaan kelulut.
Pusat Agro-Pelancongan Islamik
Sarang kelulut diletakkan di bawah pokok serta lereng bukit dan ia kini menjadi seperti sebuah taman yang dinamakan Taufiqillah Stingless Bee Farm. Beliau kini sedang membina sebuah galeri untuk menyimpan dan menjual madu, yang dijangka siap pada awal tahun depan.
“Seiring dengan keindahan taman kelulut di lereng bukit serta pelbagai pokok bunga yang ditanam, pastinya ladang kelulut ini boleh dijadikan pusat agro-pelancongan Islamik tidak lama lagi,” katanya.
Pelajar, Mohd Syarhan Mohd Tahir, 16, berkata beliau bersyukur dapat belajar di madrasah itu, yang turut mendedahkannya pada ilmu keusahawanan. Beliau diberi kepercayaan untuk menjaga sarang kelulut dan menyedut madu pada sebelah petang sebelum diisi ke dalam botol.
“Sekarang, saya juga diajar cara membuat sabun mandian dan pencuci muka berasaskan madu. Ia pengalaman yang mungkin jarang diperoleh di madrasah lain.
“Ladang kelulut di sini sudah sebati dengan kami sebagai pelajar, malah suasana berbukit di sini juga dapat mengubat kerinduan saya kepada keluarga,” katanya yang berasal dari Ranau, Sabah.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah atas inisiatif yang diusahakan oleh pengetua madrasah ini.Bukan apa, ia sekurang-kurangnya membantu memulihkan imej institusi sekolah tahfiz sering diperlekehkan ramai pihak sebelum ini. Stigma pelajar tahfiz perlu meminta sedekah, mengharap ihsan orang ramai serta menjual pelbagai barangan demi kelansungan hidup pusat tahfiz boleh diubah dengan memiliki pendapatan sendiri begini. Malah ia juga menghidupkan sunnah, melahirkan jiwa usahawan.