Faineh Modirim, memegang status ibu tunggal sejak 17 tahun lalu. Pada mulanya dia ini sedih dan tidak dapat menerima kenyataan tersebut. Atas sokongan keluarga dia mampu mengharungi kesedihan dan kekecewaan. Kini Faineh bahagia dengan kehidupan yang dibina sejak keruntuhan rumahtangga.
Ibu tunggal berusia 49 tahun ini bersyukur kerana punya ibu bapa yang banyak menyokong hidupnya serta kawan-kawan yang sentiasa memberi kekuatan kepada dirinya.
“ Saya memang mengharapkan perkahwinan sehingga ke Jannah dan cuba bertahan tapi perceraian juga jalan terbaik supaya saya tidak terus hidup dalam tekanan. Anak-anak adalah kekuatan saya. Saya seorang yang berdikari.
” Sebelum bercerai dengan bekas suami, saya sudah belajar menjadi ketua keluarga kerana boleh dikatakan semua keperluan keluarga saya yang bertanggungjawab kerana sepanjang dalam perkahwinan saya dan suami sering berjauhan kerana tugasan,” luahnya membuka bicara.
Menjadi ibu tunggal bukanlah mudah. Faineh mengakui banyak cabaran yang perlu di lalui setiap hari.
“ Saya menghadapi cabaran dari persekitaran, persepsi masyarakat dan macam-macam lagi cabaran. Syukur Alhamdulillah saya dapat melalui semuanya dengan baik. Saya percaya pada ketentuan Allah. Jika kita ikhlas dengan kehidupan atau dengan apa yang kita lakukan, pasti Allah akan beri jalan.
” Menjadi ibu tunggal di usia muda bukan alasan untuk mensia-siakan kehidupan. Saya bersemangat teruskan hidup sebagai ibu tunggal hingga kini kerana saya punya cita-cita yang perlu dicapai. Saya ingin memberikan yang terbaik untuk kedua ibu bapa. Sekarang ini sudah tiba masanya saya untuk membahagiakan mereka.”
Jelasnya lagi hidup sebagai ibu tunggal juga membuat dia bebas dalam membuat sebarang keputusan untuk hidupnya dan anak-anak. Peristiwa masa lalu dan trauma membuatkan dirinya bersemangat meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal hingga kini.
“ Saya lebih selesa dengan kehidupan sekarang kerana saya dapat membuat perancangan tanpa melibatkan perasaan orang lain. Hidup saya dan anak-anak lebih teratur dan ada hala tuju selepas bercerai. Sebab itu saya lebih bersemangat meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal sejak 17 tahun lalu hingga kini.
” Alhamdulillah setelah melalui macam-macam kesusahan dan kesulitan dalam kehidupan hidup, saya dan anak-anak kini semakin baik. Saya percaya ini adalah perancangan Allah dan ujian Allah untuk saya. Setiap kesusahan pasti akan diakhiri dengan kesenangan. Cuma perlu tabah dan reda serta sentiasa mendekatkan diri dengan Allah.”
Anak-anak Faineh semuanya punya segulung ijazah dari universiti tempatan. Anak pertamanya, Fahdillah Hasmizah sudah berumahtangga dan punya perniagaan sendiri. Anak keduanya Farnella Hasselyna bekerja sebagai Pengurus KFL RICH Enterprise dan sering mendapat kepercayaan syarikat dan orang perseorangan untuk membuat design,kad perkahwinan,risalah,poster,bunting,dan sebagainya.
Anak ketiganya Faidzal Hasley bekerja di Jabatan Perangkaan Negara, cawangan Kota Kinabalu. Manakala anak bongsunya Farayna Hessyneda bekerja sebagai jururawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah,Klang, Selangor dan sudah berkahwin.
“ Kejayaan anak-anak dalam pendidikan adalah kegembiraan terbesar saya kerana bagi saya pendidikan mampu mengubah hidup seseorang,” ujarnya bangga.
Demi mengubah kehidupan juga, Faineh mula berjinak-jinak dengan bisnes sejak tahun 2003 dengan menjual produk usahawan lain.
“ Saya memang suka berniaga dan mengikuti macam-macam multi level marketing untuk menimba ilmu kerana saya bercita-cita punya produk dan jenama sendiri suatu masa nanti. Tahun 2010 saya join MLM herba penawar Alwhida dan bisnes ini banyak mengubah hidup dan penampilan saya.
” Pada tahun 2015 saya berjinak-jinak dengan perawatan bekam. Saya sering dipanggil untuk membekam. Malah dalam tahun itu juga saya menghasilkan pati jamu Kak Fai. Sebelum mengeluarkan produk ini saya terlebih dahulu mencubnya kerana saya selalu tidak sihat dan ada masalah kesihatan.
” Oleh sebab itu ilmu perubatan herba yang saya pelajari telah saya aplikasikan pada diri dan hasilnya sungguh baik. Ada perubahan pada saya selepas mengamalkan jamu yang saya buat dan proses sendiri. Pada mulanya saya hanya berkongsi dengan kawan-kawan dan keluarga. Lama-lama permintaan semakin banyak dan lahirlah Pati Jamu Kak Fai.”
Sambutan yang diterima sungguh memberangsangkan. Testimoni daripada pelanggan juga banyak. Tanpa berfikir Panjang Faineh telah menjadikan jamu sebagai permulaan kepada bisnes sendiri. Pada tahun 2016, dia telah menambah produk baru iaitu Avasee Beauty Soap dan Avasee DD Cream Foundation.
Seterusnya pada tahun 2018, dia telah menambah produk Avasee Foot Spray anti bakteria dan Avasee Fragrance dengan 4 wangian. Awal tahun 2019, Pati Jamu Kak Fai telah ditukar nama kepada Jamu Avasee Kak Fai.
“ Syukur kini saya telah mempunyai banyak agen. Di selurug daerah Sabah ada agen Avasee. Mereka banyak memperkenalkan lagi produk keluaran syarikat saya. Bukan senang untuk menjadi senang. Terlalu banyak cabaran juga untuk mereliasasikan impian ini. Tapi saya percaya selagi ada kemahuan pasti Allah akan bagi jalan selagi kita berusaha,” ujar penerima anugerah Ikon Wanita Cemerlang sempena Hari Wanita anjuran IKSNITA Sabah ini lagi.