Faineh Modirim, memegang status ibu tunggal sejak 17 tahun lalu. Pada mulanya dia ini sedih dan tidak dapat menerima kenyataan tersebut. Atas sokongan keluarga dia mampu mengharungi kesedihan dan kekecewaan. Kini Faineh bahagia dengan kehidupan yang dibina sejak keruntuhan rumahtangga.
Ibu tunggal berusia 49 tahun ini bersyukur kerana punya ibu bapa yang banyak menyokong hidupnya serta kawan-kawan yang sentiasa memberi kekuatan kepada dirinya.
“ Saya memang mengharapkan perkahwinan sehingga ke Jannah dan cuba bertahan tapi perceraian juga jalan terbaik supaya saya tidak terus hidup dalam tekanan. Anak-anak adalah kekuatan saya. Saya seorang yang berdikari.
” Sebelum bercerai dengan bekas suami, saya sudah belajar menjadi ketua keluarga kerana boleh dikatakan semua keperluan keluarga saya yang bertanggungjawab kerana sepanjang dalam perkahwinan saya dan suami sering berjauhan kerana tugasan,” luahnya membuka bicara.
Cabaran Ibu Tunggal
Menjadi ibu tunggal bukanlah mudah. Faineh mengakui banyak cabaran yang perlu di lalui setiap hari.
“ Saya menghadapi cabaran dari persekitaran, persepsi masyarakat dan macam-macam lagi cabaran. Syukur Alhamdulillah saya dapat melalui semuanya dengan baik. Saya percaya pada ketentuan Allah. Jika kita ikhlas dengan kehidupan atau dengan apa yang kita lakukan, pasti Allah akan beri jalan.
Ads
” Menjadi ibu tunggal di usia muda bukan alasan untuk mensia-siakan kehidupan. Saya bersemangat teruskan hidup sebagai ibu tunggal hingga kini kerana saya punya cita-cita yang perlu dicapai. Saya ingin memberikan yang terbaik untuk kedua ibu bapa. Sekarang ini sudah tiba masanya saya untuk membahagiakan mereka.”
Jelasnya lagi hidup sebagai ibu tunggal juga membuat dia bebas dalam membuat sebarang keputusan untuk hidupnya dan anak-anak. Peristiwa masa lalu dan trauma membuatkan dirinya bersemangat meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal hingga kini.
“ Saya lebih selesa dengan kehidupan sekarang kerana saya dapat membuat perancangan tanpa melibatkan perasaan orang lain. Hidup saya dan anak-anak lebih teratur dan ada hala tuju selepas bercerai. Sebab itu saya lebih bersemangat meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal sejak 17 tahun lalu hingga kini.
” Alhamdulillah setelah melalui macam-macam kesusahan dan kesulitan dalam kehidupan hidup, saya dan anak-anak kini semakin baik. Saya percaya ini adalah perancangan Allah dan ujian Allah untuk saya. Setiap kesusahan pasti akan diakhiri dengan kesenangan. Cuma perlu tabah dan reda serta sentiasa mendekatkan diri dengan Allah.”
Ads
Anak-anak Berjaya
Anak-anak Faineh semuanya punya segulung ijazah dari universiti tempatan. Anak pertamanya, Fahdillah Hasmizah sudah berumahtangga dan punya perniagaan sendiri. Anak keduanya Farnella Hasselyna bekerja sebagai Pengurus KFL RICH Enterprise dan sering mendapat kepercayaan syarikat dan orang perseorangan untuk membuat design,kad perkahwinan,risalah,poster,bunting,dan sebagainya.
Anak ketiganya Faidzal Hasley bekerja di Jabatan Perangkaan Negara, cawangan Kota Kinabalu. Manakala anak bongsunya Farayna Hessyneda bekerja sebagai jururawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah,Klang, Selangor dan sudah berkahwin.
“ Kejayaan anak-anak dalam pendidikan adalah kegembiraan terbesar saya kerana bagi saya pendidikan mampu mengubah hidup seseorang,” ujarnya bangga.
Kejayaan anak-anak dalam pendidikan kegembiraan terbesar Faineh
Suka Berniaga
Demi mengubah kehidupan juga, Faineh mula berjinak-jinak dengan bisnes sejak tahun 2003 dengan menjual produk usahawan lain.
Ads
“ Saya memang suka berniaga dan mengikuti macam-macam multi level marketing untuk menimba ilmu kerana saya bercita-cita punya produk dan jenama sendiri suatu masa nanti. Tahun 2010 saya join MLM herba penawar Alwhida dan bisnes ini banyak mengubah hidup dan penampilan saya.
” Pada tahun 2015 saya berjinak-jinak dengan perawatan bekam. Saya sering dipanggil untuk membekam. Malah dalam tahun itu juga saya menghasilkan pati jamu Kak Fai. Sebelum mengeluarkan produk ini saya terlebih dahulu mencubnya kerana saya selalu tidak sihat dan ada masalah kesihatan.
” Oleh sebab itu ilmu perubatan herba yang saya pelajari telah saya aplikasikan pada diri dan hasilnya sungguh baik. Ada perubahan pada saya selepas mengamalkan jamu yang saya buat dan proses sendiri. Pada mulanya saya hanya berkongsi dengan kawan-kawan dan keluarga. Lama-lama permintaan semakin banyak dan lahirlah Pati Jamu Kak Fai.”
Ikon Wanita Cemerlang
Sambutan yang diterima sungguh memberangsangkan. Testimoni daripada pelanggan juga banyak. Tanpa berfikir Panjang Faineh telah menjadikan jamu sebagai permulaan kepada bisnes sendiri. Pada tahun 2016, dia telah menambah produk baru iaitu Avasee Beauty Soap dan Avasee DD Cream Foundation.
Seterusnya pada tahun 2018, dia telah menambah produk Avasee Foot Spray anti bakteria dan Avasee Fragrance dengan 4 wangian. Awal tahun 2019, Pati Jamu Kak Fai telah ditukar nama kepada Jamu Avasee Kak Fai.
“ Syukur kini saya telah mempunyai banyak agen. Di selurug daerah Sabah ada agen Avasee. Mereka banyak memperkenalkan lagi produk keluaran syarikat saya. Bukan senang untuk menjadi senang. Terlalu banyak cabaran juga untuk mereliasasikan impian ini. Tapi saya percaya selagi ada kemahuan pasti Allah akan bagi jalan selagi kita berusaha,” ujar penerima anugerah Ikon Wanita Cemerlang sempena Hari Wanita anjuran IKSNITA Sabah ini lagi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tak ramai isteri mampu memberikan layanan kelas A taraf VVIP kepada suaminya. Tapi wanita hebat ini telah buktikan isteri sibuk pun boleh menjalankan amanahnya dengan baik. Bacalah apa yang membuatkan Cikgu Hussayn doakan syurga untuk isterinya yang digelar Ainul Mardiah.
Isteri Yang Baik, Bijak Meraih Hati Suami
Saya jarang menceritakan hal berkaitan rumahtangga di FB kerana pada saya biarlah ia rahsia walau manis atau pahit sekali pun.
Banyak kisah yang saya coretkan berkaitan anak-anak & anak murid sahaja. Memandangkan topik dakwah itu luas maka saya ingin berkongsi apa yang berlaku pada saya. Semoga menjadi iktibar serta inspirasi bagi insan yang bergelar isteri di luar sana.
Baru-baru ini isteri tercinta saya yang saya gelarkan sebagai (‘Ainul Mardiah) ada maklumkan yang dia perlu ke JB sebagai urusetia mesyuarat KPI yang dianjurkan jabatannya.
Bermula 9hb (selasa) hingga 12hb (jumaat) Januari 2018. Empat hari tu satu masa yang agak lama sebenarnya pada saya. Kerana kebiasaan, isteri sayalah yang uruskan pakaia, hantar anak-anak ke sekolah dan pengasuh.
Saya menunggang motorsikal sahaja ke sekolah.
Cabarannya bila isteri tiada. Terpaksa uruskan 4 orang puteri. Awal pagi dah kejutkan mereka, siapkan urus diri si kecil, sediakan pakaian dan peralatan anak-anak, hantar dua anak ke sekolah rendah, kemudian hantar pula anak kecil (3 tahun) pada pengasuh.
Selepas itu ke tadika di presint 9 untuk hantar anak ketiga (5 tahun) yang baru bersekolah di sana.
Mencabar sebab banyak perkara saya kena buat dalam satu masa disamping pastikan hadir ke sekolah awal memandangkan minggu kumpulan saya bertugas.
Apa Yang Isteri Lakukan Buat Saya Terharu
Cuba lihat gambar dan baca perbualan whatsapp saya dengannya. Allahu.. Rupanya semua pakaian saya dan anak-anak dah tersedia malah diseterika mengikut hari.
Pinggan mangkuk juga sudah siap dibasuhnya. Tidak cukup dengan itu, nampak yang dia begitu risau hingga bermula pukul 5.30 pagi tadi hp sy akan berbunyi & tiap 20 minit akan berbunyi lagi.
Sampailah saya betul-betul keluar dari rumah. Tidak cukup dengan itu, isteri saya taip lagi nota ingatkan apa yang perlu dilakukan.
Mungkin nampak kecil di mata org lain tetapi hebat dan besar di mata saya. Terasa diri diambil berat dan disayangi.
Bila situasi begini.. teringat saya sebuah wawancara di TV suatu ketika dahulu. Seorang pemanggil bertanya apakah dia berdosa sekiranya tidak mengikut wasiat isterinya yang mahu dia berkahwin lagi.
Selepas ketiadaan isteri yang meninggal disebabkan kompilasi semasa melahirkan anak bongsu. Perbualan mereka disaksikan ibu mertuanya ketika itu dan dia terpaksa mengatakan ‘ya.. insyaAllah’ kerana mahu menjaga hati isterinya memandangkan isterinya terlalu bersungguh-sungguh ketika itu.
Sampai usia anaknya enam tahun dia masih menduda. Para panel bertanya, apakah alasan dia tidak mahu berkahwin lagi dan menolak wasiat isterinya.
Katanya.. “Saya rasa tiada wanita lain yang boleh menggantikan tempat isteri saya dan saya takkan jumpa wanita sepertinya. Biarlah seperti sekarang kerana saya bahagia bersama anak-anak dan kenangan bersamanya.”
Abang Redha Akan Dirimu
Allahu.. kata-kata yang terus menusuk disanubari. Ia membuatkan ahli panel dan saya yang menonton terharu hingga menitiskan airmata.
Beruntunglah isteri yang mampu memikat hati suami dengan cara yang tersendiri, walau anda tiada lagi di dunia bayangan kalian masih tersemat di hati seorang suami. Semoga pasangan ini akan bertemu semula di Syurga Firdausi.
Nukilan khas ini adalah buat isteriku ‘Ainul Mardiah @ Rosnita. Ketahuilah yang dirimu sudah mencapai tahap seperti isteri pemanggil tadi. Abang bahagia dan redha akan dirimu sayang.
Pilihlah mana-mana pintu Syurga yang dikehendaki. Cuma abang doakan biarlah abang pergi dahulu bertemu Ilahi sebelum dirimu.
Abang tidak sanggup kita berpisah di dunia ini. Jaga dan didiklah anak-anak kita sebaiknya. Salam sayang buatmu wahai Bidadariku ‘Ainul Mardiah.
“Apabila seorang wanita (isteri) itu sudah melakukan 4 perkara ini; solat fardhu 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatan diri dan mentaati perintah suami, maka dia bebas masuk ke Syurga melalui mana-mana pintu yang dipilihnya.”
[HR. Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani]
Damai je hati anak mahupun menantu, bila mana mak ayah puji masakan anak dan menantu yang dihidang depan mata. Lagi-lagi pujian yang disertakan dengan kata-kata yang baik.
Biarpun masakan anak dan menantu itu biasa-biasa saja, tetaplah dihargai penat lelahnya menyediakan juadah untuk keluarga.
Begitulah indahnya pelajaran kehidupan yang kedua ibu bapa ‘Azizah Mohamed ini tunjukkan. Tidak sesekali memperkecilkan usaha masakan anak mahupun menantu.
Ada pengajaran yang boleh mak ayah ambil tahu. Semoga Ramadan ini, jika lebih menjaga kata-kata.
Hilang Sakit Pinggang, Bila Ayah Puji Masakan Anak
Beberapa hari lepas. Saya hidang mee goreng untuk mak ayah.
Mak rasa sesuap.
“Sedap, Zah. Secukup rasa.”
Giliran ayah pula makan. Habis sepinggan ayah bersuara,
“Sedap betul mee Zah. Boleh buka warung depan rumah ni. Hantar Asma’ pergi sekolah, lepas tu start masak. Fuh!”
Ada sekali tu saya hidang ayam masak merah. Mak kata sedap.
Nak tahu ayah komen apa?
“Sedapnya. Macam ni gaya boleh jual dah. Cukup rasa. Eh serius ni. Jual lah. Ayah boleh jadi runner. Oven kat dapur muat berapa ekor ayam? Kalau jadi bisnes kita tukar oven besar.”
Pecah ketawa tukang masak dengar. Padahal ayam masak merah tak guna oven pun
Terhibur sungguh.
Hilang sakit pinggang berdiri lama di dapur. Walhal saya tahu masakan saya sangat sederhana. Namun terasa dihargai sebaiknya.
Alhamdulillah.
Ayah Puji Apa Jua Air Tangan Mak
Hakikatnya, itulah pemandangan di meja makan sejak kecil. Ayah akan puji apa jua air tangan mak. Di hadapan kami.
“Alhamdulillah. This is the best dinner for today!”
Ayat legend ayah. Riuh kami gelak ketawa di meja. Sebab dinner memang sekali sehari kan.
Bila kami dah besar ayah puji masakan anak dan menantu. Jarang ayah komen sepatah. Mesti ada extra feedback yang selalu buat kami ketawa terhibur.
Dan mak pula akan berterima kasih untuk setiap masakan yang terhidang. Sedangkan apalah sangat nak dibandingkan dengan air tangan mak sepanjang membesarkan kami.
Ini bukan post bercerita kesedapan masakan sendiri. Tidak sama sekali.
Namun melalui mak ayah,
Kami belajar betapa mudahnya menggembirakan orang dengan kata-kata yang baik.
Perkataan yang baik akan pergi jauh. Meresap masuk ke dalam hati pendengar. Lantas memberatkan neraca amal soleh kita.
Insya-Allah.
Perkataan yang buruk juga akan pergi jauh.
Menyakitkan hati pendengar. Lalu menjadi pemberat dosa. Melambatkan urusan kita memasuki syurga.
Nauzubillah.
Maka, selagi bernyawa, hati-hati memilih perkataan kita. Moga setiap patah kata menjadi penyelamat di akhirat sana. Di saat mulut ini tidak lagi boleh bersuara mempertahankan kita.
Syurgalah buat kalian yang mendidik anak-anak dengan akhlak yang baik. Moga Allah izinkan kita semua berkumpul di sebaik-baik tempat di Syurga.
Yang padanya ‘mereka tak akan mendengar percakapan yang sia-sia dan yang menimbulkan dosa’. (Al-Waqiah:25)
Aamiin ya Mujib.
Mingguan Wanita : Menggembirakan hati orang lain dengan kata-kata yang baik juga memberi kebahagiaan kepada orang di sekeliling. Jagalah tutur kata, jika tiada perkataan baik mahu disebut, maka lebihlah baik berdiam diri.
Sumber/Foto : Anak yang menyerap pelbagai kisah, ‘Azizah Mohamed.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Biasalah, setiap orang ada kehidupan sendiri bila sudah berumah tangga. Kalau pun belum berkahwin, dia tetap ada hak untuk membuat segala keputusan sendiri. Nak-nak lagi yang melibatkan urusan peribadi yang berkait tak kahwin lagi, belum tambah anak, soal kerja dan macam-macam lah.
Nak bagi luas sikit pandangan orang kita, cuba renungkan pandangan saudara Firdaus Shakirin ni. Mungkin anda akan sedar mana yang patut dipersoalkan atau patut berdiam diri.
Hormati Keputusan Orang Dan Fokus Kehidupan Sendiri
Takkan semua nak kena beritahu..
Lawak dengan orang kita ni, suka tanya. Then bila dah jawab, dia tanya lagi…
“Pointer tinggi, kenapa tak sambung belajar…?”
Saya cakap la, kalau saya sambung, nanti teruk abah saya nak cari duit, sebab adik pun akan sambung belajar.
Dia tanya plak, ” Ptptn kan ada…” Ptptn memang ada, cuma ditolak dengan yuran pengajian, buku-buku then tinggal berapa? Nak makan lagi, nak kena fotostat asignment lagi… duit minyak motor lagi. Nak tak nak, kena juga minta abah tolong tambah, setel bab tu, dah start keje, dia tanya pula.
“Keje kilang ke, kenapa tak keje gomen…?”
Dah mintak, SPA tu dah isi lepas habis SPM smpai la Diploma. Tiap-tiap tahun update, tiap-tiap tahun dipanggil interview. Juruteknik komputer, penolong pegawai kastam/imigresen, penolong pegawai penguatkuasa, penolong jurutera dan macam-macam lagi. Tiap-tiap tahun percuma bukan rezeki kat situ.
“Kerja gomen ada pencen, keje kilang tak ada pencen”
Kerja kilang memang tak ada pencen, tapi kerja kilang ni, buat duit cara lain. Nak duit lebih, buat overtime, nak gaji naik, buat projek atau lompat kilang. Lagi banyak experience, dan kita pulak ada “value”, kilang bayar tinggi untuk nak kita bekerja di kilang tu. Kita dapat offer tempat lain, kilang boleh counter lagi, bagi lagi tinggi untuk kita terus stay situ dan duit-duit tu la guna untuk hari-hari akan datang. Lagi banyak bulanan, lagi banyak la simpanan dalam KWSP.
Nak tanya lagi? Boleh…
Tapi izinkan saya membalasnya dengan mencarut…
Itulah orang kita, suka sangat nak mempersoalkan setiap keputusan yang kita buat walhal tak berkaitan dengan diorang pun dan tak juga memberi kesan kepada kehidupan diorang.
Hmmm, fokus kepada kehidupan masing-masing sebab takkan semua benda nak kena beritahu?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...