Untuk rekod, Nilam merupakan anak M.Nasir bersama isterinya, Allahyarham Junainah Johari yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur 8 Ogos 1998 akibat penyakit lelah dihidapinya. Allahyarhamah masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak bongsunya, Nur Nilam Sari, yang ketika ibunya meninggal dunia, baru berusia dua bulan.
Selain Nur Nilam Sari yang juga satu-satunya cahaya mata perempuan Nana (panggilan untuk arwah) dan Nasir, mereka turut mempunyai empat anak lelaki – Ilham, Yasin, Mohd Hidayat dam Shafie – yang ketika itu berusia dalam lingkungan 3 hingga 13 tahun ketika itu.
Nilam melangsungkan perkahwinan dengan Mohd Hafidzurrahman Sahard’din yang juga merupakan kakitangan di Luncai Emas Sdn Bhd milik Nasir serta pengurus kumpulan Pitahati yang dianggotai abang Nilam dan merupakan seorang penulis skrip.
Rata-ratanya netizen mengucapkan tahniah dan menggambarkan itu adalah majlis perkahwinan terbaik dan ada juga yang memuji wajah Nur Nilam Sari, diwarisi daripada kejelitaan ibunya. Malah ramai memuji kejelitaan Nilam serta gaya anggun tetapi sopan yang digayakan untuk majlis akad nikah serta majlis persandingannya.


Antara tetamu yang turut hadir memeriahkan majlis persandingan Nur Nilam Sari termasuklah Dato Ramli Sarip dan beberapa selebriti rapat dengan Dato M. Nasir.


Lagu Nur Nilam Sari dicipta Nasir untuk album Search – Bikin Wilayah pada 1998 yang menampilkan Awie sebagai penyanyi. Liriknya ditulis penulis lirik legenda, Allahyarham Loloq. Nasir juga merakamkan semula lagu ini pada 1999 menerusi album Srikandi Cintaku.