Korbankan masa dan usia remaja. Bukan sesuatu yang mudah bagi seorang remaja. Sudah tentu hati memberontak untuk keal dunia luar, belajar dan bekerja untuk pegang duit sendiri.
Namun, semua hasrat itu dilupakan buat wanita ini. Dia sanggup korbankan masa dan ketepikan keinginannya semata-mata untuk menjaga ibunya yang sakit.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Kakak Berniaga Aiskrim Potong Jaga Makcik OKU Dapat Hadiah Kereta “Alhamdulillah, Sepantas Kilat Sumbangan Sampai”
Jangan Kecewa Anak ‘Tak Pandai’, Mungkin Dialah Menjaga Mak Ayahnya Kelak, Bersangka Baik!
Besarnya ladang pahala buat wanita ini yang sanggup menjaga orang tuanya sakit. Wanita ini tinggal di Kampung Dalam Rhu, Pasir Putih, Kelantann dan terpaksa berkorban masa dan usia menjaga ibu yang menghidap penyakit strok parkinson sejak mengandungkannya.
Nezira Tul Adawiah Long Mahmood, 24 tahun, mengambil alih tanggungjawab itu selepas semua abang dan kakaknya berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.
Bercerita rutin hariannya, Nezira memberitahu, seawal pagi dia akan memandikan ibunya Aminah Deraman, 65 tahun, dan menyuap sarapan sebelum memberi ubat.
Anak bongsu daripada sembilan beradik itu berkongsi cerita kakak dan abangnya sebelum ini bahawa ibu mereka mula mengalami tanda penyakit berkenaan ketika usia kandungan tiga bulan.
“Ketika itu tiada siapa yang tahu ibu mengandungkan saya sehingga dia demam panas dan dibawa berjumpa doktor di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
“Ujian air kencing mengesahkan keadaan ibu yang turut menghidap penyakit darah tinggi,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Menurut Nezira, ibunya dibawa pulang ke rumah dan dijaga oleh abang dan kakak secara bergilir-gilir tetapi dimasukkan ke wad semula kira-kira dua minggu.
“Dalam tempoh itu ibu selamat melahirkan saya tetapi perlu bergantung kepada ubat sepenuhnya supaya dia berada dalam keadaan selesa,” katanya.
Bagaimanapun kata Nezira, ibunya berkeras tidak mahu melakukan rawatan susulan di hospital dan kali terakhir menerima rawatan pada tahun 2007.
Tambah Nezira, mereka membeli ubat di farmasi dengan kos RM200 seminggu bagi mengurangkan beban masalah yang ditanggung ibunya itu.
Bapanya Long Mahmood Long Ismail, 67 tahun, yang bekerja sebagai nelayan terpaksa menyediakan belanja untuk membeli ubat berkenaan.
Ibu Nezira menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 tetapi tidak mencukupi untuk menampung kos ubat yang mahal.
“Namun dalam tempoh dua tahun ini, ibu akan menggelupur dan meraung selepas makan ubat selain air liur dan najisnya bertukar kehitaman.
Justeru, jelas Nezira, badan ibunya penuh parut kerana kerap melukakan diri sendiri ketika meminta ubat atau selepas diberi ubat.
“Jika saya tidak memberinya ubat itu, ibu akan menangis dan menjerit sepanjang masa sehingga membawa ke pagi esoknya,” katanya.
Nezira bersyukur kerana ibunya masih boleh menikmati makanan biasa seperti nasi dan lauk-pauk.
Dia yang hanya bersekolah setakat Darjah Empat mempunyai impian untuk bekerja dan memegang wang hasil titik peluh sendiri.
“Saya terpaksa melupakan hasrat untuk bekerja dan hanya mahu menumpukan perhatian kepada kesihatan ibu. Saya juga mahu ibu sihat seperti orang lain,” katanya.
Orang ramai yang mahu membantu meringankan beban Nezira dan ibunya boleh menghubunginya di talian 01161057840 atau menyumbang melalui Bank Muamalat di nombor 13030015210720.
Mingguan Wanita : Moga Nezira sentiasa dipermudahkan urusan dan ibunya sihat kembali.
Sumber: Sinar Harian
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita