Demi sesuap nasi, ibu tunggal anak 9 derita sakit saraf bersengkang mata jual nasil lemak. Takdir perjalanan hidup setiap hambanya tidak sama. Ada diulit kemewahan dari kecil dan tidak terbiasa dengan kesusahan hidup. Namun ada diuji dengan seribu satu kesusahan termasuk kehilangan orang tersayang.
Perit rasanya kehilangan tulang belakang keluarga, susuk seorang ayah tahun lalu secara mengejut membuatkan sembilan beradik berusia di antara 3-20 tahun berhempas pulas meneruskan kehidupan. Seawal jam 5 pagi mereka sudah bangun. Membantu ibu di dapur menyediakan nasi lemak untuk dijual di Pasar Tani di Saujana Utama Sungai Buloh.
Jika si anak bangun jam 5 pagi, waktu tidur ibu jauh berbeza. Seawal jam 3 pagi dirinya sudah bersengkang mata menyediakan pelbagai lauk pauk bersama nasi lemak air tangannya. Dalam keadaan masalah saraf dihidapinya, si ibu tahu jika dirinya tidak kuat, anak-anak akan rebah.
Penderitaan ibu tunggal anak sembilan, Azian Abd Rahim kami jejaki selepas kisahnya dikongsi di akaun Tik Tok @reezmell. Rasa tersentuh hati melihatnya berjalan perlahan-lahan menggunakan tongkat akibat masalah saraf dihadapinya ketika kami kunjungi gerai jualannya. Tanpa tongkat menyokong, langkahnya pasti rebah kerana kakinya tidak lagi kuat berdiri lama.
Di usianya 43 tahun, ada banyak garis duka di wajahnya. Duka kerana dia sama sekali tidak menyangka suami dikasihi, Amzar pergi secara mengejut di dalam teksi akibat serangan jantung ketika keluar mencari rezeki.
Menyedihkan pada malam suaminya meninggal, Azian dan anak-anak sudah menanti di rumah kerana mahu memberi kejutan kek hari lahir.
“Kami tidak pernah sambut hari jadi selama berpuluh tahun berumahtangga. Entah kenapa tahun lalu saya suruh anak-anak belikan sebiji kek untuk ayah mereka. Konon nak buat kejutan. Arwah suami keluar rumah seawal pagi membuat kerja sambilan membawa bas pelancong di sekitar Kuala Lumpur,”ujarnya.
“Dari pagi membawa ke tengahari. Kemudian senja melabuh tirai hingga langit tiada lagi bintang. Gelap gelita. Saya dan anak-anak terus menantinya di rumah tapi hati saya semakin tak sedap kerana arwah suami tak ada telefon langsung. Bila kami cuba menelefon, baterinya sudah mati. Hati jadi tertanya-tanya kerana jarang suami begini”
“Rupanya kejutan membelikan kek menjadi kejutan besar buat kami sekeluarga bila pihak polis memaklumkan yang suami ditemui meninggal di dalam kereta dan ada di hospital. Masa tu saya bayangkan nasib anak-anak kerana selain anak sulung, suamilah tunjang ekonomi keluarga. Saya buat nasi lemak pun seminggu sekali saja,” katanya sambil mengesat air mata yang mengalir laju.
Dari pasar tani kami menurutnya di rumah. Kali ini bersama team Beras Era (Era Food My) yang turut sama mahu membantu ibu tunggal anak sembilan ini. Kami memahami deritanya kerana air matanya sentiasa tumpah ketika temubual dilakukan.
Di rumah sewa didudukinya, wajah segannya tetap terserlah. Mungkin tidak biasa dengan lensa kamera kerana dunianya banyak di dalam rumah.
Kata Azian, dia mahu teruskan perniagaan nasi lemak ini di sebalik masalah saraf dihadapinya. Kerana inilah satu-satunya punca rezekinya sekeluarga.
Dia tahu, dia harus menjadi wanita besi kerana pada bahunya anak-anak berpaut. Sembilan anak; Muhammad Izzul Irshad, 20, Muhamad Irfan Syafiq, 19, Nur Aisyah Balqis, 17, Siti Nur Amelyna Balqis, 15, Siti Nur Raudhah Balqis, 12, Siti Nur Najwa Balqis, 11, Siti Nur Ain Balqis, 9, Siti Nur Khadijah Balqis, 8 dan Muhammad Iman Rayyan,3 tahun bergantung padanya.
Semua keputusan keluarga terpikul di bahunya. Dialah ibu, ayah dan tunjang ekonomi keluarga sementelah anak sulungnya menjadi kelindan lori. Anak keduanya menjadi penghantar makanan manakala lainnya masih bersekolah menengah dan rendah.
Sudah tertulis rezekinya, saat kedatangan kami itu, kami bawakan bersama peralatan memasak seperti tong gas, bekas nasi, periuk nasi dan lain-lain keperluan sumbangan Beras Era termasuklah juga bekalan beras untuk satu tempoh panjang, bagi pemberi semangat buatnya terus berniaga.
Azian sama sekali menyangka ada pihak baik jiwa dan hati membantunya dan anak-anak. Dan lebih mengharukan selama ini dirinya memang menggunakan Beras Era bagi nasi lemaknya selama bertahun-tahun ini.
“Tak tahu apa nak cakap tapi saya sangat terharu dengan sumbangan dari Beras Era ini. InsyaAllah, saya akan terus berjualan sepanjang Ramadan kerana inilah sajalah rezeki kami,”katanya sambil mengesat air mata kegembiraan.
Mana yang mahu mencuba nasi lemaknya yang sedap, carilah di Pasar Tani Saujana Utama Sg Buloh dan gerainya, Nasi Lemak Anak Ramai. Ada banyak lauk pauk sedap seperti paru masak merah, kerang, ayam masak merah dan banyak lagi. Ya jualannya sentiasa diburu dan setiap kali jualan, habis dua tong besar nasi sekitar 15 kg nasi.
Bagi kita yang mempunyai rezeki lebih bolehlah salurkan sedekah kepada Azian dan anaknya seramai 9 sembilan orang ini baginya meneruskan kelangsungan hidup.
Hari ini hari puan Azian. Dan esok lusa kita tidak tahu siapa yang diuji.
Bagi memberikan keceriaaan buat keluarga-keluarga di luar sana yang diuji kesulitan hidup, bersempena Ramadan mulia ini, Tabung Skuad Sedekah Mingguan Wanita bersama Beras Era menggerakkan usaha membantu bukan sahaja keluarga puan Azian malah juga keluarga asnaf lain agar dapat meraikan hari raya dengan lebih bermakna.
Marilah kita berkongsi rezeki sempena Ramadan ini dengan memberikan sumbangan seikhlas hati, menyalurkan sumbangan melalui Tabung Skuad Sedekah Mingguan Wanita.
Alhamdulillah, pihak Beras Era Food turut akan menggandakan jumlah sumbangan orang ramai bagi menyemarakkan Tabung Skuad Sedekah ini. Hulurkan sumbangan anda melalui akaun bank rasmi Bank Islam Pertubuhan Peduli Insan Malaysia iaitu 0704 3011 0620 93 atau scan QR Code tertera.