Demi rasa rindu, seorang ayah yang berasal dari Kuala Terengganu sanggup mengambil keputusan untuk berjalan kaki dari Johor semata-mata ingin bertemu anak dan keluarga tercinta. Benarlah kasihnya seorang hingga dia menutup mata. Betapa besarnya kasih sayang seorang ayah sanggup memerah tenaga dan kudrat demi insan tersayang.
Namun hasratnya tidak kesampaian dan Allah lebih menyayanginya apabila dia ditemui meninggal di tepi jalan di Muadzam Shah. Walaupun sedih keluarga arwah yang tidak mampu menanggung kos pengebumian redha dengan pemergian arwah.
Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di tepi jalan di Muadzam Shah, dipercayai berjalan dari Segamat, Johor menuju ke kampung halamannya di Kuala Terengganu, kelmarin.
Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia, Rafie Zainal, berkata mangsa yang berusia 30 tahun itu disahkan positif COVID-19 selepas ujian saringan ketika bedah siasat dijalankan terhadap jenazahnya yang dibawa dari Hospital Muadzam Shah, ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Pahang, semalam.
"Arwah dikatakan terlalu rindukan anaknya di kampung menyebabkan dia berkeras untuk pulang dengan berjalan kaki, selepas sekian lama terpisah dengan keluarga sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula.
"Ada sumber memaklumkan kepada kami, arwah ada melintasi sekatan jalan raya (SJR) dan anggota bertugas melihatnya dalam keadaan lemah serta tidak bermaya.
"Atas ihsan mereka, arwah diberikan makanan dan dinasihatkan untuk tidak meneruskan perjalanannya. Namun, dia berkeras untuk berjalan pulang sejak Jumaat lalu," katanya ketika dihubungi.
Keluarga Mencari Arwah
Rafie berkata, waris lelaki itu ada meminta pihak berkuasa mengesan kedudukan arwah selepas gagal dihubungi kerana bimbang terhadap keselamatan dirinya.
"Menurut kakak arwah yang menghubungi kami, arwah adiknya itu sangat bertanggungjawab pada keluarganya. Walaupun terkejut dengan khabar berita kematian adiknya itu, dia dan keluarganya tetap reda dengan apa yang berlaku,"
katanya.Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan oleh pihak hospital mengenai waris arwah tidak mampu untuk menanggung kos pengebumian sebanyak RM1,500.
Menurutnya, sebaik menerima maklumat itu, mereka membantu urusan pengebumian arwah, termasuk membeli keranda serta menempah kubur dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi pengendalian jenazah pesakit COVID-19.
Katanya, ia termasuk kaedah tayamum untuk solat jenazah dengan jenazah dibalut dua lapisan plastik, tiga lapisan kain dan dua kali proses sanitasi dilakukan sepanjang urusan pengebumiannya di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan, Pahang, hari ini.
Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia
"Sepanjang tiga jam urusan pengebumian itu, kami perlu memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE) bagi mengelak jangkitan Covid-19.
"Cuaca agak panas ketika proses pengebumian itu dan kami perlu mengambus tanah secara bergilir-gilir selepas jenazah dimasukkan ke liang lahad.
Kematian ke-110
Dalam sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, kematian ke-110 (kes ke-6,743) lelaki warganegara Malaysia berusia 30 tahun yang ditemui mati di Rompin.
Katanya, ujian sampel COVID-19 diambil semasa bedah siasat didapati positif pada 12 Mei 2020 dan kes di bawah siasatan pihak polis dan Pejabat Kesihatan Rompin, manakala punca jangkitan belum dikenal pasti serta masih dalam siasatan.
Sumber: Berita Harian
MW: MW mengucapkan takziah kepada keluarga arwah. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan menempatkannya di kalangan para solihin. Semoga perkongsian ini dapat memberi iktibar dan menjadikan setiap dari kita untuk lebih menghargai seorang ayah yang sanggup mengorbankan jiwa dan raga demi orang tersayang.