Peperangan mengakibatkan kemusnahan, bencana dan ramai rakyat yang menderita kehilangan nyawa, tempat tinggal dan segala-galanya. Sesungguhnya pengorbanan ayah juga tiada tandingannya sanggup bergadai nyawa demi anak-anak agar hidup selesa, tak mati kelaparan mahupun kesejukan.
Demi kelangsungan hidup, seorang bapa di Syria sanggup berkorban apabila bersedia menjual buah pinggangnya.Jamal Baroud mengambil tindakan itu selepas buntu bagi mendapatkan khemah di kem pelarian utara negara itu.Ia semata-mata dilakukan untuk menempatkan keluarganya termasuk lapan anaknya.
Memetik portal Zaman Al Wasl, lelaki berkenaan mengiklankan diri di tepi jalan sambil memegang plakad dia mahu menjual buah pinggang.Dia juga mendakwa keluarganya sudah hilang tempat tinggal selama 27 hari akibat perang saudara yang tidak berkesudahan di negara itu.
Lebih memilukan, lapan anaknya mempunyai pelbagai masalah kesihatan termasuk masalah buah pinggang, sawan dan tumbesaran terbantut.Akibat kedaifannya, Jamal tidak mampu menghantar anaknya untuk mendapatkan rawatan.
Laporan sama menyebut Jamal sebelum ini bekerja sebagai tukang jahit.Bagaimanapun, dia kemudian ditahan kerana pembabitannya dalam menyokong revolusi.Dia diseksa hingga lehernya patah yang membuatkan dia tidak mampu lagi bekerja.
Menurut Jamal, dia pernah terfikir untuk membunuh diri dengan anaknya kerana tidak sanggup melihat mereka mati kelaparan dan kesejukan.
“Sudah lebih dua tahun anak saya tidak bersekolah. Selepas menjadi gelandangan, saya merayu kepada pelbagai organisasi, namun sia-sia.
“Saya juga pernah terfikir membunuh diri supaya kami semua boleh ‘berehat’,” katanya.
Perang saudara berlarutan di negara itu sejak 2011 antara tentera Syria yang disokong Russia dan kumpulan pemberontak yang didukung oleh kuasa asing termasuk Turki, Iran, Qatar, Arab Saudi dan Amerika Syarikat.
BBC melaporkan sehingga kini, kira-kira 367,000 orang maut, 192,000 lagi hilang, manakala hampir separuh rakyat negara itu hilang tempat tinggal.
MW: Kasihannya.Semoga keluarga ini diberi kekuatan, kesabaran dan mendapat bantuan sewajarnya. Ternyata peperangan tiada kebaikannya. Mengakibatkan kemusnahan, bencana dan ramai rakyat yang menderita.
Sumber:Hmetro