Sebelum ini merekalah yang membesarkan anak-anak, kini tiba masanya untuk anak membalasnya semula. Besarnya pengorbanan anak ini rela korbankan apa saja demi menguruskan mak, ayah yang terlantar sakit.
Demi kasih pada ibu dan ayah, wanita ini sanggup berjauhan dengan suami serta dua anaknya demi melunaskan tanggungjawabnya sebagai anak. Che Rohani telah tiga bulan menguruskan mak, ayahnya memandangkan lima adik-beradiknya tinggal di luar Kelantan.
Tanpa rasa geli dan mual, Siti Fairuz Hassan, 31, membersih dan menukar balutan kedua tapak kaki ibunya, Che Rohani Che Hassan, 59, yang dibuang akibat jangkitan kuman disebabkan kencing manis, setiap hari.
Dia perlu berbuat demikian bagi mengelakkan luka kesan pembedahan di kedua-dua bahagian tumit ibunya itu dijangkiti kuman.
Menurutnya, kesan pembedahan pada November tahun lalu menyebabkan kaki ibunya kini menampakkan isi dan tulang, oleh itu penjagaan rapi perlu dibuat.
Bukan sahaja ibunya, Siti Fairuz turut menjaga bapanya, Hassan Yusof, 62, yang kini turut terlantar di rumah sejak dia bulan lalu.
“Sebelum ini Ma (panggilan kepada ibunya) masih mampu bergerak dengan cara mengengsot namun sejak kebelakangan ini terutama selepas menjalani pembedahan dia terus terlantar.
“Ayah pula sudah dua bulan terlantar dan tidak lalu makan malah hanya bergantung kepada susu untuk meneruskan hidup,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tujoh, Tumpat, Kelantan.
Baca Juga Di sini:
Besarnya Pengorbanan, Biarkan Anak Ambil Dahulu, Lauk Yang Tertinggal Itulah Rezeki Ayah
Ayah Meninggal Kerana Covid-19, Pengantin Ambil Keputusan Nikah Tepi Van Jenazah
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
Siti Fairuz berkata, setiap hari dia akan memasak, memberi makan, mengelap tubuh dan menguruskan kedua orang tuanya.
Menurutnya, sesekali tugasnya itu turut dibantu adiknya, Nor Izaira, 25, yang dalam masa yang sama perlu mengasuh dua anak yang masih kecil.
“Ma dan ayah perlu di lap badan mereka manakala untuk buang air pula mereka akan membuangnya di besen yang kami tadah kerana tidak larat ke tandas.
“Ma tidak dipakaikan lampin pakai buang kerana bahagian belakang dan punggungnya melecet disebabkan agak lama terlantar menyebabkan kami perlu menyapu ubat ke bahagian itu,” katanya sambil memberitahu lima beradiknya yang lain menetap di luar Kelantan dan tidak dapat pulang ke kampung disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Siti Fairus, sejak tiga bulan lalu lagi dia menetap bersama kedua ibu bapanya dan terpaksa ‘meninggalkan’ suami serta dua anaknya di rumah kira-kira satu kilometer dari situ demi menjalankan tanggungjawab sebagai anak.
Terdahulu, mereka menerima kunjungan kumpulan aktivis masyarakat Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Che Norhayati Mohamed yang tampil menyerahkan kerusi tandas boleh laras kepada Che Rohani.
Che Norhayati berkata, pihaknya juga sudah menyerahkan katil boleh laras untuk wakaf bagi kegunaan Che Rohani yang dibeli hasil sumbangan orang ramai.
“Kita juga menyerahkan susu khas serta lampin pakai buang untuk kegunaan suami isteri itu dan akan diagihkan secara berkala,” katanya.
MW: Semoga dikurniakan kemudahan buat Siti Fairus menguruskan ibu dan ayahnya. Alhamdullilah Siti Fairus memiliki suami dan anak-anak yang memahami.
Sumber: myMetro