Demi mengharapkan harta berjuta sanggup buat apa sahaja. Walaupun menyalahi undang-undang dan agama. Berkomplot dan mereka cerita plot jenayah malah sanggup mencabut nyawa!
Seorang wanita tergamak bersekongkol dengan adiknya untuk membunuh suaminya bagi mendapatkan harta dianggarkan berjumlah lebih RM2 juta.
Malah, wanita berusia 45 tahun itu sanggup mereka cerita kononnya suaminya yang buta disamun ketika berada di hadapan rumah mereka di Kampung Baru Sungai Chua, di sini, pada 1 Oktober lalu.
Bagaimanapun, helah itu terbongkar selepas mereka ditahan polis pada Sabtu lalu sebelum direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mangsa berusia 59 tahun disahkan meninggal dunia pada 10 Oktober lalu ketika menerima rawatan di Hospital Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan dibuat suspek kononnya suaminya disamun penjenayah yang melarikan rantai leher mangsa di hadapan rumah mereka.
Beliau berkata, mangsa dipukul di kepala dengan menggunakan tukul dan senjata digunakan dalam kejadian itu dirampas polis.
“Dalam kejadian itu, mangsa parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kajang.
“Siasatan awal mendapati suspek merancang membunuh mangsa dengan berkomplot dengan adik lelakinya berusia 42 tahun untuk mendapatkan harta mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, adik beradik itu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang, esok atas kesalahan merancang dan membunuh mangsa untuk mendapatkan harta.
Menurutnya, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 akta sama.
Difahamkan suspek mahu mendapatkan harta suaminya yang juga pengusaha perniagaan lori serta besi buruk membabitkan aliran tunai lebih RM2 juta dan insurans kematian mangsa berjumlah RM800,000.
MW: Setiap kejahatan pasti akan mendapat balasan yang setimpal. Semoga menjadi pengajaran buat kita. Nak kaya, hidup mewah berusahalah bukan mengharapkan harta orang lain dengan jalan pintas.
Sumber: Hmetro