Dedah wanita tak dikenali hantar sihir pemisah, Bella & Aliff sedaya upaya selamatkan rumah tangga. Pantang melihat rumah tangga orang lain bahagia, ada saja cubaan yang hendak meruntuhkan mahligai bahagia.
Begitulah lumrah hidup berumah tangga bila kita bahagia ada saja yang tak puas hati.
Terbaru pelakon dan penyanyi Bella Astillah mendedahkan dia dan keluarga sekali lagi berhadapan dengan gangguan sihir.
Rupanya sudah lebih sebulan kehidupan Bella sekeluarga agak kacau bilau dek kerana gangguan sihir yang dihantar oleh seorang wanita tidak dikenali.
Bella dan pasangannya Aliff telah mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 namun pernah bercerai pada 16 Mei 2019. Kemudiannya mereka rujuk kembali ketika dalam tempoh edah. Hasil perkongsian hidup itu, mereka juga dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.
Seperti mana dikongsi menerusi Harian Metro, Bella menyatakan ada yang mahu dia dan suami berpisah.
“Ada yang menghantar sihir pemisah rumah tangga. Kalau kata kami nak berpisah, kenapa tak berpisah dari dulu saja masa banyak kes yang terjadi antara saya dan Alif.
“Apa yang kami lalui selama lebih sebulan ini tak ok. Tapi saya bersyukur apabila Aliff tidak pernah menolak setiap kali saya ajak pergi berubat sebab dia sendiri pun dapat rasakan perubahan terhadap dirinya. Begitu juga dengan saya,” kongsi Bella yang bersyukur Aliff sentiasa berada disampingnya dan tidak menolak untuk menjalani rawatan alternatif.
Bella juga menyatakan perkara tersebut menyebabkan dia dan Aliff tidak dapat menjalankan kerja seharian seperti biasa dan banyak kerjanya yang tertangguh.
“Gangguan ini berlaku secara keseluruhan. Saya sangat takut dengan apa yang berlaku sekarang ini. Terlalu berat untuk saya kongsikan.
“Tapi Alhamdulillah kami semakin pulih sebab Aliff nak pergi berubat. Mungkin sesetengah pasangan, dia tidak mahu atau tak percaya, tapi dia sama-sama nak cari jalan sebab dapat rasakan sesuatu pelik terjadi kepada kami,” kongsinya.
Wanita kental ini juga memberitahu dia dan Aliff sedaya upaya akan menyelamatkan rumah tangga mereka.
“Alhamdulillah kami sudah cukup matang sekarang. Jadi, kami anggap apa yang berlaku ini sebagai ujian dan teguran untuk saya.
“Jadi sekarang ini saya perlu lebih berhati-hati dalam membuat perkongsian di media sosial. Mungkin sebelum ini saya terlalu kerap berkongsi hingga buat orang tak selesa.
“Aliff sekarang sedang berehat dan dia selalu beri saya sokongan moral. Dia juga selalu ingatkan saya supaya tidak mengalah dan minta saya untuk berjuang menyelamatkan perkahwinan ini.
“Rumah tangga kami nak masuk tahun ketujuh bersama anak-anak. Jadi saya nak ambil kesempatan ini untuk memohon maaf atas apa yang saya lakukan. Tapi, selepas ini InsyaAllah saya akan lebih berhati-hati dalam berkongsi apa saja di media sosial,” sambungnya.
BACA DI SINI : Bella Mimpi Anak Pegang Ular Besar, Dedah Seperti ‘Diganggu’ Terpaksa Minta Bantuan Ustaz & Ustazah
Bertuahnya Bella Astillah, Ibu Mentua Titipkan Doa “Semoga Sentiasa Dalam Kasih Sayang”
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Sumber / Sumber Foto : Intagram Bella Astillah Instagram Aliff Aziz