Zainab atau mesra panggilan Dea adalah antara wanita yang kurang bernasib baik apabila bergelar ibu tunggal dalam usia yang muda. Biar pun bukan mudah, Dea menganggap segala yang berlaku pasti ada hikmahnya. Bukan mudah membesarkan anak-anak tanpa suami di sisi. Lebih-lebih lagi sempena kedatangan syawal yang kurang dua minggu lagi. Terus-terang ibu muda ini belum lakukan sebarang persiapan untuk raya, baik untuk dirinya atau pun anak-anak. Paling penting makan, pakai anak-anak terjaga dan ada rumah untuk berteduh.
Setiap pasangan mengidamkan perkahwinan yang didasari cinta berkekalan hingga ke Jannah. Kita hanya merancang, selebihnya Allah yang menentukan. Jodoh, takdir dan pertemuan telah tertulis sejak azali lagi. Jika tiba masanya perpisahan berlaku, maka terjadilah dengan kehendak-Nya. Sebagai manusia biasa kita perlu redha dengan setiap ujiannya biar pedih menikam hati.
Zainab Abdul Razak atau panggilan Dea berusia 34 tahun, merupakan salah seorang wanita di luar sana yang terparangkap dengan gelaran ibu tunggal. Ternyata biar pun berat ujian yang diberikan, Dea terus kuat melangkah demi amanah yang dikurniakan padanya iaitu anak kembarnya. Kehidupannya dahulu sedikit sebanyak berubah apabila dirinya mulai positif menerima segala ketentuan Ilahi.
“Saya di kurniakan sepasang kembar yang di lahirkan pada 29 Mac 2014 dan kini berusia 4 tahun. Nama mereka ialah Ali Huraira dan Alya Humaira. Saya telah di tinggalkan bekas suami seawal empat bulan perkahwinan dan proses perceraian tidak dapat dilakukan kerana saya mengandung ketika itu. Dalam erti kata lain saya telah menjadi ibu tunggal semenjak awal kandungan sehingga kini yang telah memasuki tahun ke empat.
“Saya mengenali bekas suami melalui seorang kawan. Tidak lama setelah perkenalan kami memutuskan untuk bernikah. Pernikahan kami agak sederhana, dan seperti pasangan lain kami juga merancang untuk mempunyai anak, namun bekas suami tidak dapat serius dalam berumah tangga dan tidak dapat meninggalkan tabiat buruknya yang menjejaskan hubungan kami suami, isteri.
“Saya amat kecewa setelah banyak kali beri peluang dan dia janji untuk berubah. Saya dapat rasakan saya dan dia perlu berpisah. Akhirnya ketika saya sedang mengandung, kami tidak tinggal serumah lagi,” ungkap Dea yang kini bekerja sebagai Pembantu Pengurus di Elzar Trading Sdn Bhd.
Lalui Pengalaman Mengandung Seorang Diri
Ternyata bukan mudah untuk bergelar ibu tunggal. Sekiranya insan lain ditemani sang suami saat-saat kehamilan dan teruja berkongsi momen indah menunggu detik kelahiran, berbeza sekali dengan Dea. Ketika dirinya berpisah, kandungannya baru mencecah usia dua bulan. Seluruh perjalanan mengandung dan melahirkan anak di laluinya sendirian.
Begitu juga setelah melahirkan anak, berpeluh keringatnya mengusung anak kembarnya yang dilahirkan pramatang berulang alik ke hospital untuk melalui rawatan susulan dan pemeriksaan rutin. Segala-galanya dirinya lakukan sendiri. Akhirnya setelah usia anak hampir setahun, Dea dan bekas suami sah bercerai.
Anak kembarnya adalah harta dunia dan akhirat buat Dea. Dialah ibu dan dialah bapa buat anak-anaknya. Malahan anaknya tidak pernah mengenali siapa bapa mereka kerana sejak dilahirkan hanya Dea di depan mata mereka. Oleh itu anak-anaknya tidak pernah merasa kehilangan sesuatu kerana tidak pernah sekali pun merasai kasih sayang dari seorang ayah.
Menurut Dea, dirinya tidak mengambil masa terlalu lama untuk bangun daripada kesedihan. Malahan seoalah-olah kepahitan yang dilaluinya langsung tidak terkesan di hati kerana dirinya terlampau sibuk mengurus sepasang kembar dari sebesar dua jari dan kini makin membesar.
Tambahnya, barangkali tempoh perkahwinan yang singkat membuatkan dirinya tidak begitu ambil pusing, lebih-lebih lagi anak kembarnya memerlukan perhatian 200% darinya.
Utamakan Keperluan Anak
Setiap wanita yang bergelar ibu akan berubah secara total setelah memiliki anak. Menurut Dea, perkara yang sangat berbeza berbanding zaman bujang, kini dirinya tidak lagi berbelanja untuk diri sendiri melainkan untuk makanan.
“Setiap kali selepas gaji, saya akan menolak terus mana yang perlu di bayar seperti sewa rumah, ansuran kereta, sekolah anak dan juga bayaran pengasuh. Di situ gaji saya hanya berbaki kurang RM 300 dan duit itulah saya akan guna untuk sebulan. Oleh itu, perkara pertama yang saya harus lupakan adalah keperluan diri saya sendiri. Makanan anak, dan susu adalah keutamaan saya.
“Alhamdulillah, ramai sahabat dari media sosial yang banyak membantu saya. Saya adalah seorang yang sebatang kara, iaitu tidak mempunyai keluarga, saya hidup seorang diri di sini. Setelah mempunyai anak, banyak perkara yang saya tidak tahu. Tetapi, saya amat bersyukur, ramai sahabat yang berpengalaman banyak membantu saya dan memberi khidmat nasihat. Ada juga antara mereka yang memberikan bantuan seperti pakaian bayi dan barangan terpakai untuk anak-anak saya. ” ceritanya panjang lebar.
Di samping itu, kadang-kadang setiap cabaran yang dilaluinya Dea membuatkan diri semakin kuat menghadapi lumrah kehidupan. Cabaran yang paling ketara setiap kali dirinya perlu mengangkut anaknya seorang diri secara serentak.
Maklumlah tinggal di rumah flat yang tiada lif, memang perkara ini menyukarkan dirinya yang tinggal sebatang kara. Di tambah pula dengan masalah urat saraf yang dialaminya selepas melahirkan anak, membuatkan Dea pitam beberapa kali tatkala turun dan naik tangga sambil mendukong anaknya. Namun kini setelah dikenang ianya menjadi kenangan terindah.
Sayangilah Diri Anak Sepenuhnya
“Tidak banyak yang dapat saya nasihatkan kerana saya juga masih belum sempurna, yang paling utama saya ingin mengingatkan pada ibu-ibu tunggal di luar sana agar sayangilah diri anak dahulu sebelum menyayangi diri sendiri dan sebelum menyayangi orang lain.
“Sebagai seorang ibu tunggal, kita adalah segalanya untuk anak kita, maka jadikanlah mereka segalanya untuk diri kita. Jangan sesekali mengabaikan anak-anak demi mencari pasangan hidup. Anak adalah keutamaan. Saya amat kesal apabila banyak kes yang melibatkan teman lelaki kepada ibu tunggal yang mendera anak dan yang lebih malangnya, para ibu tunggal itu memilih untuk mendiamkan diri dan menyokong perbuatan teman lelaki. Kes seperti ini adalah amat menyedihkan dan saya berdoa setiap masa moga di jauhkan sifat seperti ini dari saya dan anda semua,” luahnya tegas.
Biar pun dirinya kerap dihujani bebanan, tenyata masih ada masanya dirinya mengecap nikmat bahagia. Sudan tentu menjadi pengalaman manis buatnya apabila orang sekeliling memuji anak-anaknya, Dea merasakan ianya satu pencapaian yang cukup besar buatnya. Setiap pujian dan perkembangan anak kembarnya adalah satu pencapaian baru yang harus Dea banggakan.
Manakala pengalaman yang cukup pahit apabila setahun yang lalu, keluarga kecil ini dihalau keluar dari rumah sewa kerana tidak dapat menjelaskan bayaran sewa akibat kehilangan kerja.
Ditanya tentang sambutan hari raya kali ini, Dea jelaskan “Hari raya sebagai ibu tunggal hanya kami bertiga biasanya duduk di rumah sahaja tidak kemana melainkan ada jemputan. Pada tahun lepas, saya dapat bantuan sedikit dari seoang sahabat untuk membeli baju raya anak-anak.
“Namun pada tahun ini, saya terpaksa mengumpul duit untuk membayar cukai jalan yang perlu dperbaharui selepas hari raya, maka saya tiada sebarang persiapan baru untuk tahun ini. Saya akan mencari baju baju yang masih elok dalam simpanan untuk anak-anak pakai pada hari raya pertama, insyaallah.”