Derita Tak Berpenghujung, Suami Penganggur Dan Panas Baran!

Share

Derita di hatinya tiada siapa yang tahu. Segala-galanya disimpan kemas sendirian. Bertahun-tahun wanita ini menyimpan derita kerana memiliki suami penganggur dan panas baran.

Ikuti luahan hatinya dan diberikan pendapat oleh Puan Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis jemputan di dalam Majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/nurul.azwa.509

Lepas Kahwin, Derita Bermula

Assalamualaikum. Saya seorang ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan lima tahun. Saya bertugas sebagai seorang jururawat di sebuah hospital manakala suami pula bekerja swasta. Perkahwinan kami atas dasar cinta setelah setahun berkenalan.

Selepas kahwin, suami mula tunjuk perangai sebenar. Segala perbelanjaan rumah terletak di bahu saya. Walau pun bergaji, dia habiskan untuk hobinya saja iaitu motosikal berkuasa tinggi dan memancing. Bahkan kadangkala minta duit daripada saya pula.

Terbeban Dengan Kewangan Keluarga

Memasuki usia perkahwinan lapan tahun, saya makin terbeban kerana pinjaman perumahan juga atas nama saya dan bayaran secara potong gaji. Malah saya juga terpaksa membayar pinjaman suami yang dibuat atas nama saya. Katanya saya bekerja kerajaan, lagi mudah dapat pinjaman.

Akhirnya, saya yang terbeban kerana perlu bayar itu dan ini. Nasib baik anak hanya dua orang. Segala perbelanjaan anak saya yang tanggung. Jika ada pun, dia akan belikan mainan anak sesekali. Hadiah untuk saya? Seingat saya, dia pernah belikan saya sehelai kain pasang ketika kami baru beberapa bulan berkahwin. Sejak itu, memang tak pernah. Inikan hadiah, duit nafkah bulanan pun tak pernah beri.

Sebagai isteri, lama-kelamaan akan rasa sakit hati juga. Terbit rasa tidak ikhlas dengan pertolongan yang diberikan selama ini. Mengapa saya yang perlu tanggung semua sedangkan dia juga bekerja? Saya tak kisah berapa dia nak bagi tapi sekurang-kurangnya biarlah dia turut menyumbang pada perbelanjaan rumah. Sering kali saya memujuk diri sendiri, sekurangnya dia membenarkan saya bekerja untuk mencari rezeki. Jadi, saya tetap perlu berterima kasih padanya. Saya juga sudah penat membebel dan menasihatinya tapi tidak dipedulikan. Akhirnya saya ambil keputusan untuk redha saja untuk menggelakkan pergaduhan.

Derita Suami Tak Bekerja

Akhir tahun lepas, suami saya berhenti kerja. Katanya dia tidak sekepala dengan bos barunya di tempat kerja. Tapi bila saya risik pada kawan-kawannya, sebenarnya dia diberhentikan kerja kerana asyik ‘hilang’ pada waktu bekerja. Saya hairan, selama ini dia tak pernah pula tidak pergi kerja kecuali memang pada hari dia ambil cuti dan MC. Tapi saya tak berani nak tanya.

Sejak itu, dia hanya makan tidur di rumah. Bila saya perlu bekerja syif malam, anak-anak akan tidur di rumah pengasuh kami kerana katanya dia tak tahu nak jaga anak sedangkan anak-anak kami sudah besar. Bukannya perlu berjaga malam. Memang itu perangainya sejak anak-anak kecil. Apabila dia tidak bekerja, saya minta dia uruskan hal sekolah anak-anak, hantar dan jemput anak dari sekolah. Nasib baik dia sanggup.

Mula Naik Tangan

Sebenarnya kami kerap bergaduh besar dan setiap kali itu juga pasti ada barang rumah rosak dihempaskan. Dia panas baran orangnya. Dua bulan lepas, dia semakin ganas dan telah memukul saya. Ketika itu kami bergaduh soal duit. Dia meminta duit daripada saya sedangkan ketika itu duit saya hanya tinggal cukup-cukup untuk belanja sebelum tiba hari gaji beberapa hari lagi. Duit itu hendak digunakan membeli umpan pancing.

Bila saya ungkit mengapa dia tidak bekerja, dia naik angin, saya ditampar dan dipukulnya. Walau pun tidaklah sampai berdarah dan patah, tapi cukup menyakitkan diri saya. Terpaksa saya berikan dan keesokan hari saya tebalkan muka meminjam duit daripada rakan kerana saya langsung tiada duit.

Turutkan Saja Kerana Tak Nak Lebih Derita

Sejak itu, saya serik dan akan turuti segala kehendaknya kerana takut dipukul lagi. Saya tak dapat bayangkan kalau dia memukul saya dengan teruk kerana tubuhnya jauh lebih besar daripada saya. Jika tidak ada duit, saya rela meminjam daripada rakan. Mujur ada beberapa orang rakan rapat yang tahu kisah saya selama ini dan akan membantu saya.

Puan, apa yang patut saya lakukan? Kesabaran saya makin menipis. Walau pun baru sekali dia ‘naik tangan’ tapi saya risau kalau dia akan mengulanginya lagi. Setakat ini saya masih boleh mengikut kehendaknya untuk menggelakkan dia bertindak ganas. Tapi sampai bila? Rasa sayang saya juga semakin menghilang. Saya takut untuk terus hidup dengannya dan kehidupan saya makin tersepit kerana dia enggan bekerja. Saya sudah tidak berani hendak menyuruhnya bekerja kerana takut dipukul lagi. Keluarga kami tidak tahu akan perihal ini dan saya malu hendak memberitahu mereka.

Isteri Ketakutan, Melaka.

SARANAN KAUNSELOR

Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Wanita yang bergelar isteri kepada seorang lelaki dan ibu kepada seorang atau beberapa anak punya peranan dan tanggungjawab yang cukup besar.

Ia menuntut kepada pengorbanan dan kesabaran untuk membina keluarga seperti yang diharapkan. Wanita yang bergelar isteri dan ibu juga berperanan dalam mendidik keluarga, bukan sahaja untuk anak-anak, malah mendidik diri sendiri, mendidik suami, juga mendidik seluruh ahli keluarga dalam kemampuan yang ada bagi menjamin agar setiap ahli keluarga tahu tentang peranan dan tanggungjawabnya. Tugas dan tanggungjawab isteri seperti yang telah kita sedia maklum.

Jika isteri itu bekerja, maka dia membantu menampung belanja dalam pengurusan keluarga. Tanggungjawab menyedia keperluan makanan, pakaian dan rumah adalah tanggungjawab suami. Isteri membantu sahaja, bukan mengambil alih atau menyediakan semua keperluan keluarga, Apa tah lagi memenuhkan duit poket suami.

Jangan Ambil Alih Tanggungjawab Suami

Jika puan sebagai isteri mengambil alih semua tanggungjawab itu di mana tanggung jawab dia sebagai suami? Suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri dan keluarga adalah lelaki yang tidak matang. Justeru, siapakah yang perlu memainkan peranan untuk “mematangkan” suami? Nak harapkan keluarganya? atau nak harapkan rakannya?

jawapannya puan sendiri tahukan…bahawa bukan mereka….tetapi puanlah yang perlu memainkan peranan utama dalam mendidik suami untuk menjadi matang dan bertanggungjawab. Sebelum mendidik dan cuba mengubah suami, puan perlu mengubah minda dan tindakan puan terlebih dahulu apabila berhadapan dengan suami. Sedarkah puan cara puan ini memberi satu “peneguhan” tingkah laku suami yang negatif?

Didik Diri Lebih Tegas

Dalam hal ini, puan perlu belajar dan mendidik diri puan agar bertegas dengan suami jika dia tidak memberi nafkah, tidak bekerja, apatah lagi jika meminta wang daripada puan. Jangan takut pada baran suami. Tahukah puan, kerana takutlah maka dia menjadi semakin berani untuk tidak bekerja, meminta wang dan bertindak kasar terhadap puan. Puan perlu ada ketegasan dan jangan malu tidak bertempat.

Beritahu suami jika dia bertindak kasar puan tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada pejabat agama dan laporan polis. Beritahu keluarga agar dia tidak keterlaluan terhadap puan. Sekali lagi saya nyatakan, sebagai isteri, ada hak perlindungan. Jangan biarkan diri diperalatkan dan diseksa emosi dan fizikal oleh suami. Puan perlu belajar bagaimana urus diri puan untuk berhadapan dengan sikapnya.

Jangan sesekali beri wang bila diminta. Kalau dia tidak mahu bekerja, maka makannya tunggu sehingga dia membeli beras dan ikan. Puan perlu berani, kerana jika puan takut maka selagi itulah dia akan jadi semakin berani memperalatkan puan untuk memenuhi kehendaknya.

Tak Nak Derita Jangan Tunjuk Lemah!

Saya ada mengendalikan beberapa kes suami baran ini yang mendatangkan derita buat isteri. Tidak baran sebanyak mana pun jika isteri tahu dan bijak mengendalikan suami, sama ada ada secara lembut tetapi tegas atau cara lain yang difikirkan sesuai untuk mengubah tingkah lakunya. Orang yang baran ini akan menang jika dia tahu orang yang dia berdepan itu lemah.

Maka puan jangan tunjukkan kelemahan seperti takut, mengalah tidak bertempat. Selagi mana puan mengikut kemahuannya, bermakna puan tidak berusaha mendidik dirinya agar berubah. Untuk berubah bukan perkara yang mudah. Puan perlu dapatkan panduan mengendalikan orang yang baran dan malas tidak mahu bekerja ini. Dia juga sukar berubah jika kehendaknya puan sering turuti.

Minta Bantuan Orang Terdekat

Selain daripada itu, gunakan orang ketiga yang suami agak hormati jika puan tidak mampu mengendalikannya secara berseorangan. Campur tangan keluarga adalah perlu, tetapi kepada yang boleh diperoleh pandangan dan nasihat, bukan mengapi-apikan lagi keadaan.

Jika puan bijak mengurus, permulaannya mungkin sukar, namun jika sekali buat berani memberi amaran kepada suami agar jangan jatuh tangan atau meminta wang daripada puan, maka suami akan lebih berhati-hati. Jika dia bertindak kasar, jangan takut untuk ke pejabat agama. Atau jika lebih serius, jangan takut untuk fail kes ke mahkamah.

Setiap insan ada hak dan perlindungan yang perlu dipertahankan. Banyakkan solat malam, zikir dan mohon agar Allah beri petunjuk kepada suami dan kekuatan kepada puan berhadapan dengan sikapnya itu. Wallahualam.

https://www.mingguanwanita.my/kongsi-akaun-bersama-bukti-kepercayaan-suami-isteri-tapi-ada-baik-buruknya-1/

https://www.mingguanwanita.my/poligami-manis-bagi-suami-pahit-bagi-isteri-bila-suami-acah-acah-mampu/

Published by
webadmin