Derita di hatinya tiada siapa yang tahu. Segala-galanya disimpan kemas sendirian. Bertahun-tahun wanita ini menyimpan derita kerana memiliki suami penganggur dan panas baran.
Ikuti luahan hatinya dan diberikan pendapat oleh Puan Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis jemputan di dalam Majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/nurul.azwa.509
Lepas Kahwin, Derita Bermula
Assalamualaikum. Saya seorang ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan lima tahun. Saya bertugas sebagai seorang jururawat di sebuah hospital manakala suami pula bekerja swasta. Perkahwinan kami atas dasar cinta setelah setahun berkenalan.
Selepas kahwin, suami mula tunjuk perangai sebenar. Segala perbelanjaan rumah terletak di bahu saya. Walau pun bergaji, dia habiskan untuk hobinya saja iaitu motosikal berkuasa tinggi dan memancing. Bahkan kadangkala minta duit daripada saya pula.
Terbeban Dengan Kewangan Keluarga
Memasuki usia perkahwinan lapan tahun, saya makin terbeban kerana pinjaman perumahan juga atas nama saya dan bayaran secara potong gaji. Malah saya juga terpaksa membayar pinjaman suami yang dibuat atas nama saya. Katanya saya bekerja kerajaan, lagi mudah dapat pinjaman.
Akhirnya, saya yang terbeban kerana perlu bayar itu dan ini. Nasib baik anak hanya dua orang. Segala perbelanjaan anak saya yang tanggung. Jika ada pun, dia akan belikan mainan anak sesekali. Hadiah untuk saya? Seingat saya, dia pernah belikan saya sehelai kain pasang ketika kami baru beberapa bulan berkahwin. Sejak itu, memang tak pernah. Inikan hadiah, duit nafkah bulanan pun tak pernah beri.
Sebagai isteri, lama-kelamaan akan rasa sakit hati juga. Terbit rasa tidak ikhlas dengan pertolongan yang diberikan selama ini. Mengapa saya yang perlu tanggung semua sedangkan dia juga bekerja? Saya tak kisah berapa dia nak bagi tapi sekurang-kurangnya biarlah dia turut menyumbang pada perbelanjaan rumah. Sering kali saya memujuk diri sendiri, sekurangnya dia membenarkan saya bekerja untuk mencari rezeki. Jadi, saya tetap perlu berterima kasih padanya. Saya juga sudah penat membebel dan menasihatinya tapi tidak dipedulikan. Akhirnya saya ambil keputusan untuk redha saja untuk menggelakkan pergaduhan.
Derita Suami Tak Bekerja
Akhir tahun lepas, suami saya berhenti kerja. Katanya dia tidak sekepala dengan bos barunya di tempat kerja. Tapi bila saya risik pada kawan-kawannya, sebenarnya dia diberhentikan kerja kerana asyik ‘hilang’ pada waktu bekerja. Saya hairan, selama ini dia tak pernah pula tidak pergi kerja kecuali memang pada hari dia ambil cuti dan MC. Tapi saya tak berani nak tanya.
Sejak itu, dia hanya makan tidur di rumah. Bila saya perlu bekerja syif malam, anak-anak akan tidur di rumah pengasuh kami kerana katanya dia tak tahu nak jaga anak sedangkan anak-anak kami sudah besar. Bukannya perlu berjaga malam. Memang itu perangainya sejak anak-anak kecil. Apabila dia tidak bekerja, saya minta dia uruskan hal sekolah anak-anak, hantar dan jemput anak dari sekolah. Nasib baik dia sanggup.
Ads
Mula Naik Tangan
Sebenarnya kami kerap bergaduh besar dan setiap kali itu juga pasti ada barang rumah rosak dihempaskan. Dia panas baran orangnya. Dua bulan lepas, dia semakin ganas dan telah memukul saya. Ketika itu kami bergaduh soal duit. Dia meminta duit daripada saya sedangkan ketika itu duit saya hanya tinggal cukup-cukup untuk belanja sebelum tiba hari gaji beberapa hari lagi. Duit itu hendak digunakan membeli umpan pancing.
Bila saya ungkit mengapa dia tidak bekerja, dia naik angin, saya ditampar dan dipukulnya. Walau pun tidaklah sampai berdarah dan patah, tapi cukup menyakitkan diri saya. Terpaksa saya berikan dan keesokan hari saya tebalkan muka meminjam duit daripada rakan kerana saya langsung tiada duit.
Turutkan Saja Kerana Tak Nak Lebih Derita
Sejak itu, saya serik dan akan turuti segala kehendaknya kerana takut dipukul lagi. Saya tak dapat bayangkan kalau dia memukul saya dengan teruk kerana tubuhnya jauh lebih besar daripada saya. Jika tidak ada duit, saya rela meminjam daripada rakan. Mujur ada beberapa orang rakan rapat yang tahu kisah saya selama ini dan akan membantu saya.
Puan, apa yang patut saya lakukan? Kesabaran saya makin menipis. Walau pun baru sekali dia ‘naik tangan’ tapi saya risau kalau dia akan mengulanginya lagi. Setakat ini saya masih boleh mengikut kehendaknya untuk menggelakkan dia bertindak ganas. Tapi sampai bila? Rasa sayang saya juga semakin menghilang. Saya takut untuk terus hidup dengannya dan kehidupan saya makin tersepit kerana dia enggan bekerja. Saya sudah tidak berani hendak menyuruhnya bekerja kerana takut dipukul lagi. Keluarga kami tidak tahu akan perihal ini dan saya malu hendak memberitahu mereka.
Isteri Ketakutan, Melaka.
SARANAN KAUNSELOR
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Wanita yang bergelar isteri kepada seorang lelaki dan ibu kepada seorang atau beberapa anak punya peranan dan tanggungjawab yang cukup besar.
Ads
Ia menuntut kepada pengorbanan dan kesabaran untuk membina keluarga seperti yang diharapkan. Wanita yang bergelar isteri dan ibu juga berperanan dalam mendidik keluarga, bukan sahaja untuk anak-anak, malah mendidik diri sendiri, mendidik suami, juga mendidik seluruh ahli keluarga dalam kemampuan yang ada bagi menjamin agar setiap ahli keluarga tahu tentang peranan dan tanggungjawabnya. Tugas dan tanggungjawab isteri seperti yang telah kita sedia maklum.
Jika isteri itu bekerja, maka dia membantu menampung belanja dalam pengurusan keluarga. Tanggungjawab menyedia keperluan makanan, pakaian dan rumah adalah tanggungjawab suami. Isteri membantu sahaja, bukan mengambil alih atau menyediakan semua keperluan keluarga, Apa tah lagi memenuhkan duit poket suami.
Jangan Ambil Alih Tanggungjawab Suami
Jika puan sebagai isteri mengambil alih semua tanggungjawab itu di mana tanggung jawab dia sebagai suami? Suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri dan keluarga adalah lelaki yang tidak matang. Justeru, siapakah yang perlu memainkan peranan untuk “mematangkan” suami? Nak harapkan keluarganya? atau nak harapkan rakannya?
jawapannya puan sendiri tahukan…bahawa bukan mereka….tetapi puanlah yang perlu memainkan peranan utama dalam mendidik suami untuk menjadi matang dan bertanggungjawab. Sebelum mendidik dan cuba mengubah suami, puan perlu mengubah minda dan tindakan puan terlebih dahulu apabila berhadapan dengan suami. Sedarkah puan cara puan ini memberi satu “peneguhan” tingkah laku suami yang negatif?
Didik Diri Lebih Tegas
Dalam hal ini, puan perlu belajar dan mendidik diri puan agar bertegas dengan suami jika dia tidak memberi nafkah, tidak bekerja, apatah lagi jika meminta wang daripada puan. Jangan takut pada baran suami. Tahukah puan, kerana takutlah maka dia menjadi semakin berani untuk tidak bekerja, meminta wang dan bertindak kasar terhadap puan. Puan perlu ada ketegasan dan jangan malu tidak bertempat.
Ads
Beritahu suami jika dia bertindak kasar puan tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada pejabat agama dan laporan polis. Beritahu keluarga agar dia tidak keterlaluan terhadap puan. Sekali lagi saya nyatakan, sebagai isteri, ada hak perlindungan. Jangan biarkan diri diperalatkan dan diseksa emosi dan fizikal oleh suami. Puan perlu belajar bagaimana urus diri puan untuk berhadapan dengan sikapnya.
Jangan sesekali beri wang bila diminta. Kalau dia tidak mahu bekerja, maka makannya tunggu sehingga dia membeli beras dan ikan. Puan perlu berani, kerana jika puan takut maka selagi itulah dia akan jadi semakin berani memperalatkan puan untuk memenuhi kehendaknya.
Tak Nak Derita Jangan Tunjuk Lemah!
Saya ada mengendalikan beberapa kes suami baran ini yang mendatangkan derita buat isteri. Tidak baran sebanyak mana pun jika isteri tahu dan bijak mengendalikan suami, sama ada ada secara lembut tetapi tegas atau cara lain yang difikirkan sesuai untuk mengubah tingkah lakunya. Orang yang baran ini akan menang jika dia tahu orang yang dia berdepan itu lemah.
Maka puan jangan tunjukkan kelemahan seperti takut, mengalah tidak bertempat. Selagi mana puan mengikut kemahuannya, bermakna puan tidak berusaha mendidik dirinya agar berubah. Untuk berubah bukan perkara yang mudah. Puan perlu dapatkan panduan mengendalikan orang yang baran dan malas tidak mahu bekerja ini. Dia juga sukar berubah jika kehendaknya puan sering turuti.
Minta Bantuan Orang Terdekat
Selain daripada itu, gunakan orang ketiga yang suami agak hormati jika puan tidak mampu mengendalikannya secara berseorangan. Campur tangan keluarga adalah perlu, tetapi kepada yang boleh diperoleh pandangan dan nasihat, bukan mengapi-apikan lagi keadaan.
Jika puan bijak mengurus, permulaannya mungkin sukar, namun jika sekali buat berani memberi amaran kepada suami agar jangan jatuh tangan atau meminta wang daripada puan, maka suami akan lebih berhati-hati. Jika dia bertindak kasar, jangan takut untuk ke pejabat agama. Atau jika lebih serius, jangan takut untuk fail kes ke mahkamah.
Setiap insan ada hak dan perlindungan yang perlu dipertahankan. Banyakkan solat malam, zikir dan mohon agar Allah beri petunjuk kepada suami dan kekuatan kepada puan berhadapan dengan sikapnya itu. Wallahualam.
Tak salah niat nak tambah zuriat tetapi sebaiknya janganlah sampai anda pentingkan diri sendiri sampai bebankan mak ayah di kampung.
Bukan hanya suruh mak ayah jaga anak, ada yang lagi sedih balik kampung semata-mata nak pinjam duit. Allahu… kasihanilah mak ayah yang dah tua nak teruskan hidup. Mungkin dia berduit tetapi belajarlah berdikari tanpa membebankan orang tua kita.
Nah, untuk betulkan sikap yang dah lama membiak dalam diri kita itu, jemput baca perkongsian Puan Intan Dzulkefli ini.
Tanda Anda Belum Layak Tambah Zuriat
Antara tanda sesetengah suami isteri itu belum mampu (baca : belum layak) untuk menambah zuriat dalam masa terdekat;
1) Anak yang sedia ada pun BUKAN kita yang menafkahi keperluan mereka.
(+) Ada banyak terjadi, duduk menumpang di rumah ibubapa, lebih menghibakan bukan sahaja tidak menghulur duit kepada ibubapa, bahkan urusan perbelanjaan anak-anak A-Z dibebankan pula ke bahu atuk dan nenek.
(+) Ada pula selepas bersalin terus menyerahkan urusan anak-anak kepada ibubapa (atuk nenek). Bukan sahaja tidak diberikan upah menjadi babysitter, bahkan merekalah yang bersusah payah mengeluarkan bajet membeli susu, pampers, duit mainan, pendidikan si cucu.
(+) Jika tidak duduk bersama pun, tapi setiap kali balik kampung, asyik meminjam (tak pernah ganti) duit ibubapa, untuk beri makan minum anak-anak.
(+) Ataupun diserahkan urusan nafkah, makan, minum, pendidikan semuanya di bahu isteri 24/7. Gaji dan keringat si isterilah yang menanggung segala-galanya. Sedangkan tanggungjawab menafkahi anak-anak adalah sepenuhnya tanggungjawab suami/bapa.
2) Anak yang sedia ada, mempunyai ibubapa lain yang sentiasa di sisi mereka, iaitu GAJET. Tak kisahlah atas alasan apapun, namun jika anak-anak bawah 5 tahun lebih 5 jam kita biarkan memegang telefon pintar tanpa pantauan, maka, pintarkah kita sebagai ibubapa? Hingga kadang menjebakkan anak-anak ini kepada pornografi dan ketagih online games walau umur baru 4-5 tahun!
3) Kita sebagai ibubapa lebih banyak lihat muka buku (facebook) dari lihat muka anak-anak yang sedia ada. Banyak lihat skrin gajet dari melayani keletah anak-anak.
Anak ajak bermain dijerkah. Anak ajak bergurau dimarah-marah. Ibubapa leka dengan telefon/games semata. Astaghfirullah.
4) Ya, kita melahirkan anak-anak. Ya, anak-anak dibin/dibintikan nama kita di hujung nama mereka yang indah. Namun sayangnya, bukan kita orangnya yang pertama mengajarkan mereka tentang solat, mengaji al-Quran.
Mungkin atas alasan kita suami isteri sendiri pun tak pernah solat berjemaah bersama, mahupun bertadarus al-Quran bersama. Astaghfirullah. Kemudian kita serahkan sepenuhnya urusan mengenalkan anak kepada Allah, al-Quran dan Nabi kepada ustaz, ustazah. Allahu.
5) Dengan anak-anak yang sedia ada pun kita selalu menengking, marah, hilang sabar. Kadang ada hingga tahap memukul dan mendera mereka. Astaghfirullah.
Hal ini boleh terjadi atas pelbagai faktor;
(+) hubungan suami isteri yang bermasalah
(+) lemahnya ilmu parenting, komunikasi suami isteri serta pengurusan emosi
(+) masalah kesihatan mental seperti meroyan/depresi/dan lain-lain.
Hal ini cukuplah menandakan bahawa kita secara emosi belum cukup layak untuk menambah komitmen baru.
Apabila kita berniat untuk menambah zuriat, itu bukan sahaja bermakna kita menjemput nikmat dan rahmat bahkan juga amanah yang amat berat. Kita kena sedar, segalanya akan dipertanggungjawabkan kelak di akhirat.
Bayi dan anak kecil memang comel, tetapi ia datang dengan pakej amanah dan tanggungjawab yang menuntut kesediaan mental, fizikal dan emosi kedua belah pihak.
Sebagai mana tinta Imam Hassan al-Banna, bebanan rumahtangga ini harus dipikul berdua. Motif bekeluarga adalah menuju syurga.
Wahai lelaki, ingat peringatan Tuhan kepada para suami/bapa dalam surah at-Tahrim, “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya ; manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya);..”
Hal pendidikan anak-anak adalah urusan bersama suami isteri. Ya, ibu adalah madrasah anak-anak, tetapi bapa adalah MUDIR madrasah itu.
Parenthood is a lifetime commitment.
Perjanjian menanggung amanah seumur hidup walau setelah anak-anak bernikah sekalipun masih memerlukan doa, pandangan dan nasihat kita, sebagai ibubapa.
Ibu-ibu, ayah-ayah… sentiasa doakan anak-anak kita agar menjadi zuriat yang soleh dan solehah.
Sentiasa juga minta semoga Allah pimpin kita dalam mendidik amanah ini. Serta lazimi solat taubat atas khilafnya kita dalam mendidik anak-anak pinjaman Tuhan.
Astaghfirullah. Allahumma islih dzuriyyati…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami cukuplah seorang isteri kalau tak mampu adil, tak perlu kahwin sampai empat. Apabila menyebut soal poligami tentulah kaum lelaki yang paling suka. Sebaliknya bagi seorang isteri, cukup pantang bila sebut ‘madu’.
Suami Cukuplah Seorang Isteri Kalau Tak Mampu Adil, Tak Perlu Kahwin Sampai Empat
Tidak dapat dinafikan kaum lelaki cukup suka bab-bab bercakap tentang ‘madu’. Mungkin ada suami yang hanya sekadar bergurau manja dengan isteri. Tapi tak kurang juga yang beria-ia dan pasang angan-angan untuk ada dua tiga orang isteri.
Itu bagi yang rasa mampu tidak perlu persoalkan, cuma isterilah yang kena redha. Sedangkan kalau suami tak mampu adil, jangan mimipulah untuk pasangan dua atau tiga.
Sedihnya, ada yang sanggup kahwin senyap-senyap tanpa pengetahuan isteri pertama. Tak kurang juga isteri pertama terima dengan hati terbuka.
Janji-janji manis sebelum berpoligami, selepas itu timbul masalah lain. Tak mampu adil dan peritnya, isteri pertama yang menjadi mangsa.
Bagi yang tak mampu adil, kes-kes ini boleh dipertikaikan di mahkamah dan ada cara yang betul untuk isteri mendapatkan haknya. Inilah antara ulasan yang diberikan oleh Peguam Syarie: Amalina Adam tentang isu poligami dan tidak mampu berlaku adil.
“Kalau takut tidak berlaku adil dan menzalimi, maka hanya seorang isteri sahajalah ya!”
Betul. Tidak dinafikan bahawa menyekat poligami itu sebenarnya tidak membawa ke mana-mana pun sebab pada akhirnya suami dan wanita itu akan berkahwin juga di sempadan ataupun melalui pernikahan secara tertutup dengan berwalikan bapa wanita itu sendiri di mana-mana negeri.
Yang kesalnya apabila kita menyemak alasan-alasan mereka, rata-rata menyatakan alasan “berkemampuan” dan “nak elak maksiat serta takut berlaku zina”. Bila diteliti semula, apa fikiran bakal pasangan ini hanya berfikir tentang zina semata-mata sahajakah?!
Apabila siasatan dijalankan lagi, didapati pula suami itu masih bertanggungan dengan rekod tuntutan nafkah anak yang tertunggak bagi 4 orang anaknya dan saman penghutang penghakima (SPP) akan dilaksanakan selepas ini oleh bekas isterinya yang terdahulu sebelum suami itu berkahwin kali kedua. Permohonan poligami kali ini adalah bagi perkahwinan yang ketiganya.
Jadi dimanakah kemampuan yang sebenarnya yang suami sebut-sebutkan dan tercari-cari itu?? Kemampuan yang bagaimana pula? Elak maksiat dan takut berlaku zina bagi suami yang sudah berkahwin??!
Kalaulah sudah berpoligami tetapi wujud kezaliman yang berterusan, maka isteri itu boleh mengangkat dan mengadu kesnya bagi tuntutan Fasakh di Mahkamah Syariah.
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Keluarga desak bercerai sedangkan pasangan tersebut tidak terlintas pun nak bercerai! Bukan sedikit rumah tangga yang punah dan hancur akibat campur tangan daripada pihak keluarga si isteri atau si suami.
Wanita ini misalnya, telah menghantar e-mel untuk meminta pandangan dan nasihat daripada puan Hajah Maimunah Hj Mohamad, Kaunselor dan juga penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita, berkenaan masalah yang sedang dihadapinya. Ikuti luahan hatinya.
Saya seorang isteri muda, berusia 27 tahun. Terus terang, saya seorang gadis yang agak liar ketika remaja. Mungkin kerana saya terlalu dimanjakan oleh mama dan papa. Maklumlah, saya anak perempuan tunggal dalam keluarga dan saya memiliki tiga orang abang.
Langkah saya makin panjang bila masuk ke IPT. Tinggal berjauhan daripada keluarga membuatkan saya makin bebas. Cuma sejahat saya, tak pernah minum arak dan ambil dadah.
Terlanjur
Ketika di tahun tiga, saya mula serius dengan seorang jejaka satu universiti, S. Orangnya memang tampan dan saya rasa bertuah kerana dapat takluki hatinya. Saya sanggup menyerahkan kehormatan saya padanya. Timbul penyesalan selepas itu namun S pandai memujuk dan berjanji akan mengahwini saya kelak.
Tuhan masih sayangkan saya dan tidak mahu saya terjebak dengan lebih teruk dalam dalam lembah maksiat. Saya mengandung dan ia satu tamparan sangat hebat bagi diri saya. Yang buat saya makin hilang arah tujuan, bila S tiba-tiba menghilangkan diri dan rupanya dia menyambung pelajaran ke luar negara. Saya tahu itu cara dia nak lepaskan diri.
Saya sangat terpukul bila dibuang begitu saja oleh S. Nak tak nak, saya terpaksa berterus terang dengan keluarga kerana saya sangat buntu. Papa hampir bunuh saya malam itu namun sempat ditenangkan oleh abang-abang saya dan mama.
Abang Angkat
Dalam masa yang sama, saya ada seorang abang angkat, M, yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan. M abang angkat saya sejak di sekolah menengah lagi. Fb menemukan kami kembali dan sejak itu sering juga kami berhubung.
Dengannya saya boleh bercerita apa saja dan dia tak pernah pandang rendah pada saya walau pun saya liar. Bahkan sentiasa cuba menasihati saya dengan lemah lembut.
Pak Sanggup
Bila saya ceritakan keadaan diri pada M, dia rela memperisterikan saya demi menjaga maruah saya. Puan, saya sangat terkejut dan tak bersetuju. Tapi dia sanggup datang berjumpa keluarga dan melamar saya. Akhirnya saya menerima M apabila didesak keluarga yang ingin tutup malu.
Majlis diteruskan walau pun seminggu sebelum pernikahan, saya keguguran. Ketika itu, keluarga saya minta saya batalkan pernikahan itu tapi saya berkeras untuk teruskan kerana saya tak sanggup memalukan lelaki sebaik M dan keluarganya.
Bahagia
Ternyata, saya sangat bahagia selepas berkahwin dengan M walau pun saya rasa diri saya tak layak untuk lelaki sebaiknya. Sebab itu saya tekad untuk berubah menjadi wanita dan isteri terbaik untuk dirinya. Dia juga membimbing saya untuk dekatkan diri dengan Allah.
Namun yang menyedihkan, keluarga saya tak habis-habis minta saya minta cerai daripada M. Katanya saya akan dapat lelaki yang lebih kaya, apatah lagi saya kini berjawatan tinggi daripada M.
Saya sedih dan marah dengan keluarga yang tak mengenang budi dan bersyukur. Mereka lupa, M yang ‘kutip’ saya dan sanggup terima keburukan saya. Apa yang patut saya lakukan puan?
Saya benar-benar sayangkan M. Dia terlalu baik untuk saya Saya tak tahu sampai bila saya mampu bertahan. Saya juga sedang hamil anak pertama kami selepas tiga tahun berkahwin. Lebih sedih keluarga minta saya gugurkan kandungan ini kerana mereka tak nak saya terus terikat dengan M!
Zee, Setiawangsa
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Alhamdulillah, syukur pada Allah. Dalam keadaan puan yang ditimpa musibah dek kerana lelaki dan juga kesilapan yang puan lakukan, masih ada insan bernama lelaki yang sudi menjadi “pak sanggup” untuk puan dan masa depan yang puan akan lalui.
Tidak ramai orang yang bernasib baik kerana kebanyakan lelaki banyak pilihan untuk mencari jodoh yang terbaik buat mereka. Namun puan dikurniakan lelaki yang sanggup menerima puan dalam keadaan yang kritikal yang juga boleh menjejaskan imejnya juga sebagai lelaki. Tetapi dia tetap menerima puan. Alangkah bertuahnya nasib puan…
Taat Dan Setia Pada Suami
Apabila seorang wanita itu berkahwin, maka semua ketaatan dan kesetiaannya hanyalah kepada suami, selagi suaminya menjalankan tanggungjawabnya terhadap Allah, Rasul dan ahli keluarganya.
Malah jika suami tidak mengizinkan berjumpa dengan ahli keluarga isteripun, si isteri perlu mentaatinya. Begitu tingginya penghormatan terhadap suami. Berbalik kepada suami puan, kalau suami sebaik yang puan katakan itu tidak ditaati, adakah wajar puan menjadi isterinya?
Adalah keterlaluan sehingga ahli keluarga menyuruh gugurkan kandungan. Puan harus punya prinsip hidup tersendiri. Cuba beri kesedaran kepada mereka, adakah apa yang mereka suruh itu dilarang oleh agama? Pastinya berdosa bukan? Tidak mentaati suami, tanpa sebab yang kuat untuk tidak taat, berdosa kan?
Campur Tangan Keluarga
Tahukah puan, hampir 25% (mungkin lebih) masalah keruntuhan rumah tangga adalah berpunca daripada campur tangan ahli keluarga. Semasa saya menjalani praktikum selama 26 tahun yang lalu di sebuah pejabat agama, hampir 60 % masalah suami isteri diperkuatkan dengan campur tangan ahli keluarga yang menyebabkan mereka sukar untuk berbaik semula.
Justeru, puan perlu ada pendirian sendiri untuk tidak mengizinkan keluarga mencampuri hal puan suami isteri. Apatah lagi sehingga ke tahap mohon cerai daripada suami hanya kerana pendapatan yang rendah daripada puan.
Puan perlu bertegas bahawa keluarga tidak boleh mencampuri urusan puan dan suami. Dengan kata lain puan perlu ada pendirian bahawa puan ada kehidupan sendiri yang keluarga tidak boleh mencampurinya.
Nyatakan Pendirian Pada Keluarga
Kebergantungan puan kepada keluarga sendiri perlu dikurangkan dan puan sendiri perlu nyatakan bahawa puan telah ada kehidupan sendiri dan puan bahagia dengan kehidupan puan bersama suami.
Minta kepada keluarga agar jangan sekali-kali mencampuri urusan puan dan suami. Puan perlu bertegas, dan jika mereka masih mendesak, puan boleh beri beberapa syarat seperti puan tidak mahu pulang ke rumah keluarga jika mereka mengeluarkan lagi kenyataan suruh memohon cerai.
Jangan Takut Pada Keluarga
Jangan takut kehilangan ibu bapa hanya kerana desakan mereka untuk memohon cerai daripada suami. Mungkin puan boleh renggangkan hubungan buat semetara waktu dengan ahli keluarga jika mereka kerap mendesak puan untuk mohon cerai. Ketaatan puan kepada ibu bapa perlu ada selagi mana mereka taat kepada perintah Allah dan Rasul.
Puan perlu nyatakan secara berhikmah dan melayani keluarga dengan cara yang baik. Paparkan tingkahlaku dan akhlak puan yang sudah berubah sejak puan berkahwin dengan suami. Cara pakaian, adab, dan lain-lain yang ada perubahan pada diri puan perlu menunjukkan ke arah yang positif. Akhir sekali banyakkan berdoa agar ibu bapa puan lembut hatinya dan menerima puan suami isteri.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Wah enaknya, Ayam Rendang Terangkat, Rasa Melekat. Beberapa hari saja umat Islam akan menyambut Syawal. Istimewa hari ini, Mak Empal Masak Apa Hari Ini?...