Datuk Shafinaz & Ernie Zakri Ikon Seni Dua Generasi

Share

Oktober datang lagi, sempena kedatangan bulan kanser payudara kali ini, Mingguan Wanita mengambil kesempatan untuk menyatukan dua nama besar dalam industri seni suara iaitu Datuk Shafinaz Selamat dan Ernie Zakri. Selain berkongsi pencapaian masing-masing dalam industri, dua nama besar ini juga turut sama mengajak wanita di luar sana untuk sentiasa memastikan kesihatan yang baik dengan cara mengamalkan gaya hidup sihat.

Masih Seperti Dahulu

Menerima pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada awal tahun lalu tidak pernah mengubah kehidupan figura ini. Kehidupannya masih berjalan seperti biasa. Datuk Shafinaz yang popular menerusi lagu Ingin Bersamamu tetap menjalankan tugas rutinnya sebagai pensyarah vokal di Jabatan Muzik Fakulti Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Dalam masa yang sama beliau turut memegang jawatan pensyarah di Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA) serta vokal “master” untuk Koir Kebangsaan Malaysia. Terbaru dirinya turut terlibat dalam rancangan realiti, Mentor di TV3.

Menyentuh pendapat beliau tentang gadis pelantun suara yang semakin dikenali, Ernie, beliau berbangga dengan kejayaan yang dimiliki oleh gadis itu.

“Kami mempunyai hubungan yang baik, dia seorang pelajar yang bagus. Kini dia juga sudah mula mengajar, perkara ini membuatkan saya berbangga dengan pencapaiannya. Telah menjadi tugas seorang guru untuk mendidik anak muridnya mencapai sesuatu kejayaan. Pada saya, Ernie telah mencapai satu tahap pencapaian yang sangat baik.

“Seperti mana orang lain, saya turut mengharungi beberapa kejayaan untuk sampai ke tahap ini. Sebagai wanita susah untuk mengubah persepsi masyarakat yang sering kali meletakkan had umur tertentu untuk mencapai sesuatu lazimnya untuk berumah tangga dan beranak. Tetapi bagi saya ini pilihan saya untuk sangat fokus kepada kerjaya saya.

“Jadi cabaran untuk diri saya adalah mencari masa untuk keluarga saya dan diri sendiri. Saya amat workholic. Jika saya miliki lebih daripada 24 jam untuk bekerja mungkin saya akan bekerja dengan lebih kuat lagi. Manakala cabaran ketika bersama pelajar adalah bertemu pelajar yang macam-macam ragam dari yang kecil sehinggalah yang dewasa.

“Setiap pelajar miliki perbezaan apatah lagi yang berbeza ideologi bahawa nyanyian adalah sekadar hobi. Saya pula meletakkan nyanyian sebagai kerjaya. Jadi sukar untuk meletakkan expectation kepada mereka,” ungkapnya satu-persatu.

Lakukan Pemeriksaan Kerap

Biar pun beliau tidak pernah melalui situasi atau berhadapan dengan pesakit kanser secara dekat, namun beliau sering kali berkongsi maklumat dan cerita dengan orang sekelilingnya tentang kanser payudara. Apatah lagi di media, terdapat banyak kempen kesedaran dalam menggalakkan wanita di luar sana menjalani pemeriksaan payudara bagi menjamin kesihatan masing-masing.

“Sebenarnya kehidupan adalah lebih penting daripada segala-galanya. Sekiranya kita dapat cegah awal, semuanya akan bertambah baik. Sebaiknya janganlah kita terlalu takut untuk kehilangan payudara daripada kehilangan nyawa.

“Seperti orang lain, disebabkan kurang masa untuk bersenam, saya cuba untuk mengawal pemakanan tetapi saya sukar untuk meninggalkan tabiat mengambil makanan manis selepas menjamah makanan. Arwah bapa saya seorang pesakit diabetis, jadi saya perlu berjaga-jaga,” sebelum ini dirinya turut terlibat dalam beberapa NGO dalam kempen kesedaran kanser payudara.

Harapan Datuk Shafinaz, biar pun telah berada di tahap ini, dirinya masih belum berpuas hati dengan apa yang dicapai selama ini. Sebaliknya beliau sentiasa berusaha untuk pergi lebih jauh, menambah pencapaian diri dan mencabar diri untuk lakukan perkara-perkara yang baru. Setiap hari dia berusaha untuk bertanding dengan diri sendiri untuk menjadi yang terbaik.

Idola & Mentor Buat Selamanya

Selaku bekas pelajar Datuk Shafinaz, sudah tentu penyanyi dan guru vokal ini amat mengagumi idolanya. Selain menjadi seorang guru yang disanjungi, Datuk Shafinaz juga banyak memberi inspirasi padanya untuk mengajar orang lain dari segi vokal.

Bermula dengan peringkat ijazah, Ernie telah pun bersua dengan Datuk Shafinaz. Setelah tamat belajar dan terlibat dalam bidang industri sekali pun, Ernie tetap mendapatkan khidmat idolanya. Termasuklah ketika menyertai Anugerah Juara Lagu yang lalu. Dirinya sentiasa mengharapkan hubungan dengan gurunya akan berlangsung sampai bila-bila.

“Datuk Shafinaz bukan hanya mengajar saya dari segi vokal sebaliknya dalam masa yang sama berkongsi pengalamannya tentang industri. Dia memang tidak lokek dalam berkongsi ilmu. Oleh hal yang demikian, kini tiba masanya dia pula berkongsi dengan orang lain,’ jelas Ernie.

Ernie Pernah Jalani Pembedahan Buang Ketulan Payudara

Dalam masa yang sama, Ernie turut berkongsi pengalamannya yang pernah menjalani pembedahan untuk membuang ketulan di payudara pada usia 23 tahun. Mujurlah ia hanya ketulan kecil dan bukanlah sel kanser.

Ernie sendiri mengetahui tentang masalah yang dihadapi agak lambat kerana sering kali mengabaikan kepentingan membuat pemeriksaan kesihatan. Padahal sejak di sekolah lagi adanya pendedahan untuk kita memeriksa sendiri payudara agar kita menyedarinya lebih awal.

Setelah melalui fasa ini barulah Ernie mengakui dirinya kerap kali meluangkan masa untuk memeriksa mahkotanya setiap kali selepas mandi. Biar pun ia hanyalah ketulan, tetapi ia memberi efek kepada emosinya. Biar pun keluarga kita bebas daripada sejarah mengalami kanser payudara, namun apa salahnya untuk sentiasa buat pemeriksaan kerana tidak semua daripada kita bernasib baik.

“Buat wanita di luar sana yang tengah bertarung melawan kanser atau baru sahaja mengetahui dirinya mengalami kanser seharusnya mendoakan agar mereka kuat. Saya tahu situasi ini bukanlah mudah bagi kita. Jadi orang sekeliling perlulah memberi sokongan agar pesakit kanser menjadi lebih positif.

“Sejak saya membuang ketulan pada payudara, saya amalkan gaya hidup lebih positif. Saya titik beratkan pengambilan makanan yang sihat, kurangkan pengambilan ayam dan daging untuk perkara sama berulang kembali kepada diri saya.

***

Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh Datuk Shafinaz Selamat dan Ernie Zakri.Ikuti sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu Oktober, Volume 2 ini.

Jadi jangan lupa dapatkan dipasaran!

Penyelaras & Teks: Nur Syazwani Mehat
Foto: Ahmad Shahir Ahmad
Penata Gaya: Musnida
Solekan: Sahir Sabri (Ernie Zakri) & Mohd Hizam (Datuk Shafinaz Selamat)
Tajaan Pakaian: Amaze Inspire, Ken Rimba Legian, Shah Alam ( Ernie Zakri) & Shanell Harun, Shah Alam (Datuk Shafinaz Selamat)
Aksesori: Habib Jewels
Tajaan Lokasi: Wallmaster Design Sdn Bhd, No 19, Jalan Sepadu 25/123A, Seksyen 25, Shah Alam (Terima kasih Noor Reymy Salikin, Sales & Marketing)

Published by
Suhaidah Abd Wahab