Jam 9 pagi itu, perkarangan pejabat tingkat 38 bangunan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bertukar suasana. Rasa bahagia-sayu bergabung menjadi satu. Hari inilah pertama kalinya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan memulakan tugasnya.
Memenuhi tanggungjawab sebagai Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga. Yang mana sebelum ini tugasannya dipikul oleh Datuk Seri Rohani Abdul Karim, mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Ketibaan Dr Wan Azizah disambut Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Suriani Ahmad serta Majlis Pengurusan Tertinggi KPWKM dan warga kementerian.
Sebaik merekod kehadiran dan menjengah pejabat, Dr Wan Azizah bergegas pula menghadiri majlis menerima nota serah tugas daripada Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
“Terima kasih Dato Rohani Abdul Karim atas usaha yang telah dilakukan selama ini. Saya akan cuba yang terbaik untuk menjalankan amanah yang telah diberikan.” Ini luah Datuk Seri Dr Wan Azizah dalam instagram miliknya.
Sementara itu, dalam instagram Datuk Seri Rohani Abdul Karim, beliau juga mendoakan akan kejayaan pemegang amanah yang baru di kementerian itu.
“Alhamdullilah selesai majlis serah tugas kepada YAB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Saya doakan semoga kementerian ini akan lebih cemerlang di bawah kepimpinan YAB Dr Wan Azizah.”
“Saya ingin mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kementerian dan agensi di bawahnya atas segala kerjasama, sokongan dan usaha yang diberikan kepada dan bersama saya selama ini
.”“Di sini saya ingin memohon kemaafan atas segala kekhilafan dan kekurangan selama berkhidmat di kementerian ini. Banyak pengalaman ditimba dan kenangan manis dilalui. Semoga ukhwah berpanjangan.”
Selesai majlis nota serah tugasan itu, Dr Wan Azizah bergegas menghadiri sidang media. Dalam temubual itu, beliau berkongsi pula berita gembira untuk suri rumah.
Memetik sumber Astro Awani, Dr Wan Azizah berkata, beliau akan bertemu dengan Ketua pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) minggu depan untuk menyediakan pelan tindakan memberikan carumah KWSP kepada suri rumah.
“Dua peratus daripada pendapatan suami dan bagi yang layak, RM50 daripada kerajaan. Mekanisme ini penting kerana ia membabitkan dana kerajaan,” tutur beliau yang juga memaklumkan akan ada mekanisme untuk menentukan siapa yang layak dan kaedah caruman.
Semoga berita gembira ini akan membuatkan masa depan suri rumah lebih terbela. Memanglah ada suri rumah yang akan kata, dia tak berkira dengan suami dan boleh bertolak ansur. Namun, dengan adanya caruman ini jaminan simpanan masa depan suri rumah akan lebih terjamin.
Semoga para suami tak terlalu berkira untuk memberikan hadiah ‘reward’ bahagia ini untuk isteri. Jadi penat lelah isteri itu terbayar. Bukan saja dihargai suami malah kerajaan juga ambil peduli.
Sumber/Foto : Instagram Dr Wan Azizah, Rohani Abdul Karim