Seorang yang cukup disenangi dan mudah memberikan kerjasama, Datuk Mas Ermieyati Samsudin,Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan juga merupakan seorang tokoh politik wanita yang berkarisma dan berkredibiliti. Seperti wanita lain, Datuk Mas Ermieyati juga tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu walau sibuk dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya. Apatah lagi, beliau merupakan seorang yang suka memasak dan akan menyediakan juadah istimewa tatkala punya masa luang untuk keluarga yang tersayang.
Sebagai ibu kepada lima cahaya mata dan suri hati kepada Hj. Mohd Helmy Abd Taib, Datuk Mas Ermieyati mengakui rutin kerjayanya memang agak padat. Sesekali ada waktu terluang, memasak dan makan semeja bersama keluarga menjadi waktu yang begitu berharga.
“Saya akan pastikan sebelum saya keluar bekerja, kami akan bersarapan bersama di rumah. Anak sulung saya sekolah berasrama penuh, dan yang kedua pula bersekolah di Putrajaya. Bila mereka berdua balik bercuti atau balik hujung minggu, suasana di meja makan lebih meriah dan sangat membahagiakan. Masa inilah mereka hendak merasa makanan di rumah.
“Lauk yang saya masak hari ini pun lauk ‘favorite’ anak-anak. Mereka suka lauk yang tak pedas macam masak lemak putih suhun dan bawal masam manis. Dalam seminggu, saya pastikan ada sekali yang saya masak sendiri di rumah, biar anak-anak dan suami dapat merasa air tangan saya.
“Makanan memang mengerat kasih sayang dalam keluarga. Alhamdulillah, suami saya tidak cerewet bab makanan. Apa sahaja yang dimasak, semuanya dimakan,” ujarnya sambil tergelak kecil.
Empat anak lelaki mereka masing-masing berusia 15, 14 ,9 dan 7 tahun, dan yang bongsu satu-satunya perempuan baru mencecah tiga tahun. Puteri tunggal bernama Eiman Misha sungguh bijak dan lasak tingkah lakunya. Tepat jam 3.00 petang, Eiman Misha bertambah ceria apabila abangnya Muhammad Hafiy pulang dari sekolah. Kelihatannya Hafiy begitu berselera dan ceria menikmati juadah tengah hari yang disediakan oleh ibu mereka. Benarlah, lauk lemak putih dan bawal goreng itu memang kesukaan anak-anak comel ini.
“Anak nombor dua saya, Muhammad Hakim, 14 tahun, ada resipinya yang tersendiri. Jika dia teringin nak makan lauk kesukaan, dia akan menyebut nama lauk dan menunjukkan resipi. Dia dan adiknya Hafiy minat ke dapur dan menawarkan diri untuk membantu di dapur,” ceritanya mengenai gelagat anak-anak lelakinya.
Bagaimana pun, pada hujung minggu atau cuti, beliau dan suami gemar juga membawa anak-anak makan di luar apabila teringin berubah selera kepada makanan barat yang turut menjadi kesukaan anak-anak.
Aktif Perjuangkan Suara & Kebajikan Wanita
Datuk Mas Ermieyati yang juga pernah bertugas sebagai peguam ini adalah wanita pertama dari Melaka yang terpilih sebagai ahli parlimen dari kalangan wanita.
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Melaka dan juga Ketua Puteri UMNO Malaysia ini juga aktif memperjuangkan suara dan kebajikan wanita. Tetapi apabila di rumah Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan ini tetap ibu yang meletakkan kebajikan anak dan keluarga sebagai keutamaan.
“Sibuk berkerjaya atau berpolitik bukan bermakna wanita tiada waktu hendak ke dapur. Paling penting adalah mengurus waktu dengan bijak. Bagi yang tiada pembantu rumah, pastikan semua ramuan masak sudah awal disediakan dan diletakkan dalam peti sejuk. Pembantu rumah saya menyiapkan bawang dan perencahnya semua dikisar dan saya pastikan stok sentiasa ada di dalam peti air. Jadi bila tiba hari memasak ia mempercepatkan tugas saya,” katanya memberi tip kepada wanita berkerjaya.
Ibu Didik Agar Belajar Memasak
Anak kedua daripada enam beradik ini, dahulunya agresif dalam sukan dan pelajaran. Bekas graduan undang-undang ini juga sangat aktif dalam kegiatan sukarelawan dan gerakan belia. Namun di sebalik kesibukan bergelar pelajar ketika itu, beliau masih punya masa untuk belajar memasak daripada ibunya. Bagi beliau, sibuk bukannya alasan untuk wanita langsung tidak ke dapur kerana ini adalah kemahiran hidup yang perlu dikuasai oleh wanita mahupun lelaki.
Menurut Datuk Mas Ermieyati, menjadi kepantangan dalam keluarganya memasak menggunakan bahan perasa atau MSG. Ini adalah pesanan dari abah sejak beliau mula memasak di zaman sekolah rendah lagi.
Ibunya memang mendidik anak agar belajar memasak. Walaupun berasal dari Melaka tetapi diisebabkan kampung beliau terletak berdekatan dengan Rembau, Negeri Sembilan, lauk lemak cili padi adalah antara lauk terawal yang dipelajarinya di samping lauk asam pedas Melaka.
“Lauk pauk tradisional adalah identiti penting sebuah negeri atau negara itu yang boleh menarik pelancong. Malaysia memang kaya dengan pelbagai lauk pauk dan kuih tradisional yang berkait dengan negeri seperti lauk ikan patin, segala macam sambal, pekasam , kuih kaswi, ketayap, kuih deram dan pelbagai jenis kerepek yang tak terdapat di negara luar. Buah-buahan tempatan juga adalah satu promosi makanan terbaik untuk menggamit pelancong ke Malaysia,” tegas Datuk Mas Ermieyati.
Kempen #sayang Malaysia melalui Tourism Malaysia
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui tanggungjawab yang digalas sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan giat menjalankan pelbagai kempen dan inisiatif bagi mempromosi makanan.
“Kami menjalankan kempen melalui media sosial bagi mempromosi pelancongan makanan. Kempen #sayang malaysia melalui Tourism Malaysia telah melakukan pelbagai inisiatif bersama pengusaha industri makanan bagi menggalakkan promosi makanan tradisi.
“Bukan hanya di peringkat domestik tetapi juga turut ditonjolkan ke peringkat antarabangsa dengan menganjurkan pameran dan ekspo di luar negara. Usaha memperkasa ilmu pelancongan makanan juga sentiasa dijalankan bersama penggiat industri bagi membangunkan pakej-pakej makanan yang menarik. Ini mampu merancakkan scenario makanan di sesuatu destinasi. Alhamdulillah, hasilnya baru-baru ini CNN Travel telah menyenaraikan Pulau Pinang dan menu asam laksa sebagai 10 destinasi makanan terbaik dunia,” akhiri beliau yang cukup peramah.
RALAT:
Merujuk kepada artikel di ruangan Gaya Hidup VIP isu April 2018 Vol 1, ayat yang dimaksudkan adalah abah dan bukan arwah abah. Kami memohon maaf di atas kesilapan yang tak disengajakan itu.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI