Penyanyi lagenda tanahair, Datuk Jamal Abdillah berkongsi berita gembira tentang dirinya yang bakal menyambut kelahiran anak keempatnya hari ini.
Artikel berkaitan: “Anak Meragam Diam, Setiap Kali Jamal Abdillah Nyanyikan Lagu Azura”
Datuk Jamal Abdillah Namakan Anak El Issac Yamani
Bernikah dengan Zai Izzati pada 1 April 2017, pasangan ini menimang cahaya mata perempuan bernamaAzura (Nur Azura Yamani) dan Datuk Jamal juga memiliki dua anak hasil perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13.
Difahamkan isterinya akan melahirkan anak secara pembedahan pada sebelah petang ini di sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak.
“InsyaAllah El Issac Yamani atau saya panggil Zack akan lahir ke dunia. Mohon doa dari semua.
“Jam 12 malam ini (semalam), isteri saya, Datin Zai Izzati akan masuk ke hospital. Saya terpaksa bergegas balik ke Ipoh dari Kuala Lumpur selepas selesai show nanti (semalam),” katanya seperti mana yang dipetik menerusi Harian Metro semalam.
Isteri Sudah Buat Ujian Covid-19
“Dia sudah buat ujian Covid-19 dan akan masuk wad malam ini. Saya pula tak dapat menemaninya kerana terbabit dengan Konsert Lazada di Bukit Jalil, malam ini (semalam). Isteri akan pandu kereta sendiri untuk ke hospital bagi mendaftar masuk wad. Walaupun saya ada adik-beradik yang boleh membantunya, dia enggan menyusahkan mereka.
Lagipun dengan prosedur operasi standard (SOP) di hospital yang ketat akibat Covid-19 buatkan isteri saya mengambil keputusan ini,” sambungnya.
Datuk Jamal Abdillah Pilih Tarikh Istimewa, Azura Lahir 10.10
Datuk Jamal juga turut menerangkan dia dan isteri memilih melakukan pembedahan hari ini kerana tarikhnya amat istimewa.
“Kami ambil tarikh 11.11.2020 kerana mudah nak ingat tarikh lahir Zack nanti. Dulu, kakaknya Azura atau nama sebenarnya Nur Azura Yamani lahir pada 10.10.2019. Tapi, ketika itu ia hanya kebetulan. Kandungan Zai Izzati pun dah sarat sangat. Saya pilih Ipoh kerana saya selalu uruskan projek ikan hiasan arowana di Bukit Merah,” luah Datuk Jamal yang turut berulang-alik balik ke Kuala Lumpur bagi menjayakan persembahan pentas.
Datuk Jamal juga menerangkan selepas isteri selamat bersalin, mereka sekeluarga akan tinggal di Ipoh sehinggalah kerja di Bukit Merah selesai.
MW:Tahniah diucapkan buat Datuk Jamal dan isteri yang bakal menimang cahaya lagi hari ini. Semoga proses melahirkan anak buat Datin Zai Izzati dipermudahkan dan selamat semuanya.
Sumber Foto: Instagram Dato’Jamal Abdillah & Instagram Zai Izzati
Bagi mendapatkan lebih banyak kisah menarik sila ke Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita/