Untuk suami menghargai isteri, tak perlu tunggu ada sambutan Hari Wanita Sedunia. Bila-bila masa pun boleh lakukan. Kerana isteri ni, sebenarnya adalah anugerah teragung, yang sangat unik yang Allah berikan untuk suami.
Bak kata Ustaz Khairul Anuar Basri, janganlah suami terlalu mencari kesempurnaan isteri. Nanti diri sendiri yang penat. Cara terbaik, suami sempurnakan apa saja kekurangan isteri. Apabila suami menjadi pelengkap, rumah tangga akan penuh dengan kebahagiaan.
Isteri Ni, Anugerah Teragung Allah Untuk Suami
Isteri kita ni, anugerah teragung Allah yang sangat unik buat kita.
Masa kita bercinta dengan dia dulu, takde cacat celanya. Semua nampak perfect. Maklum sajalah, hati dah suka.
Yang tak berkenan sikit-sikit tu kita halalkan saja. Kalau ada yang tak serupa dengan kita, kita akan usahakan supaya jadi sama seia sekata.
Yang tak sama, kita akan samakan. Yang bukan kegemaran kita, kita akan pura-pura gemar dan suka.
Tiada dunia yang lebih indah daripada dunia ketika bercinta. Pendek kata, kentut dia pun kita kata wangi!
Kalau bercakap, kita akan bercakap lemah lembut manja-manja. Kalau berjalan kita akan berpimpin tangan.
Masa kita dah kahwin, kita duduk bersama. Baru kita tahu banyak perkara rahsia. Banyak juga benda yang kita tak suka.
Itu tak cukup sempurna. Ini tak berkenan di mata. Macam-macam kekurangan yang kita mula rasa.
Nada suara pun dah makin meninggi. Tak kena sikit, terus tengking. Takde dah nak sweet-sweet.
Kalau berjalan bersama tu, 2, 3 tiang ditinggalkan isteri di belakang. Kalau dah ada anak, lagi la. Isteri sibuk dengan anak, kita sibuk hirup udara segar seorang diri.
Ads
Masa tu lah, kita mula rasa kalaulah kita tak tergesa-gesa berkahwin dulu, maybe kita boleh cari orang lain yang lebih bagus.
Tapi, itulah dia. Selagi kita tak kahwin dengan dia, kita tak akan nampak la apa kelemahan dan kekurangan dia.
Dan kalau kita kahwin dengan orang lain sekalipun, benda sama jugak yang kita akan rasa.
Yelah, belum kahwin, memang kita rasa macam orang lain lebih bagus dari isteri kita. Tapi lepas kahwin baru tahu orang lain pun banyak kekurangan.
Jadi bersyukurlah. Itulah jodoh kita yang terbaik ketentuan Allah untuk kita.
Isteri Itu Tidak Sempurna, Suami Pun Sama
Kawan-kawan, tiada manusia yang sempurna.
Sebagaimana kita nampak isteri kita tidak sempurna, kita juga manusia seperti dia. Kita juga tak sempurna.
Sebagaimana kita nampak isteri kita banyak kelemahan, kita juga manusia seperti dia. Kita juga banyak kelemahan.
Nanti, bila isteri kita tiada lagi, kelemahan itu akan jadi suatu kehilangan.
Ads
Kalau isteri kita suka berleter, tunggu bila dia dah tiada. Leteran itu akan jadi suatu kehilangan. Kita akan rindu.
Kalau isteri kita suka bantah kita, tunggu bila dia dah tiada. Bantahan itu akan jadi suatu kehilangan. Kita akan rindu.
Kalau isteri kita suka suruh kita itu ini, tunggu bila dia dah tiada. Suruhan itu akan jadi suatu kehilangan. Kita akan rindu.
Kalau isteri kita suka kemas rumah sampai kita naik rimas, tunggu bila dia dah tiada. Kekemasan itu akan jadi suatu kehilangan. Kita akan rindu.
Kalau isteri kita suka kata kat kita macam-macam, tunggu bila dia dah tiada. Kata-kata dia tu akan jadi suatu kehilangan. Kita akan rindu.
Kalau isteri kita suka bergaduh dengan kita, tunggu bila dia dah tiada. Gaduh-gaduh dia tu akan jadi suatu kehilangan. Kita akan rindu.
Kalau isteri kita tidur berdengkur, tunggu bila dia dah tiada. Dengkuran itu akan jadi suatu kehilangan. Kita akan rindu.
Kalau isteri kita tidur gigi bergesel, tunggu bila dia dah tiada. Geselan itu akan jadi suatu kehilangan. Kita akan rindu.
Ads
Kalau isteri kita kuat mengigau masa tidur, tunggu bila dia dah tiada. Mengigau itu akan jadi suatu kehilangan. Kita akan rindu.
Kalau isteri kita selalu merajuk, tunggu bila dia tiada. Rajukan itu akan jadi suatu kehilangan. Kita akan rindu.
Kalau isteri kita kadang-kadang perangainya menyakitkan hati kita, tunggu bila dia dah tiada. Rasa sakit hati itu akan jadi suatu kehilangan. Kita akan rindu.
Daripada Penat Cari Kesempurnaan..
Allah… masa tu, kita akan minta dengan Allah supaya panjangkan lagi satu detik. Kita nak ucap sayang, cinta dan rindu pada isteri kita.
Kawan-kawan, daripada kita penat mencari kesempurnaan, baik kita jadi sebahagian daripada kesempurnaan pasangan kita.
Perkahwinan itu saling melengkapi.
Yang mana kita lebih, itulah yang akan menyempurnakan isteri kita. Yang mana dia lebih, itulah yang akan menyempurnakan diri kita sebagai suami.
Belajar berlapang dada. Dan Belajar mensyukuri. Belajar cukup dengan apa yang ada.
Waktu yang kita ada tak banyak mana dah. Sama ada kita pergi dulu mengadap Ilahi atau isteri kita yang pergi dulu. Its just a matter of time.
Andai ini kesempatan terakhir yang kita miliki, manfaatkan sebaiknya. Jangan bila dah tiada baru nak bertindak.
Kerana selepas itu jarak antara perpisahan kita di dunia dengan pertemuan semula di syurga nanti adalah jarak yang tidak pasti…
Asas dalam perkahwinan untuk kekal bertahan, adalah penting suami isteri untuk kekalkan semarak rasa cinta dan setia. Namun dugaan dalam perhubungan, adakalanya diuji dengan pasangan yang berlaku curang. Jika sedar tersilap langkah dengan berlaku curang, segeralah perbetulkan kesalahan tersebut. Penting mengaku silap dan kembalikan semula kepercayaan isteri demi memulakan hidup baru.
Memang bukan mudah untuk memujuk dan meraih kembali kepercayaan isteri. Namun jika sayangkan keluarga dan ingin mulakan hidup baru, boleh ikut nasihat yang dikongsikan oleh Kaunselor Puan Normaliza Mahadi ini sebagai rujukan.
Ada kes suami yang ‘tercurang’, mahu kembali kepada keluarga. Sedar kesilapan mereka dan mahu bertaubat. Ramai suami yang macam ni, buat salah dan kembali mahu membetulkan kesilapan.
Setelah kecurangannya diketahui oleh isteri, mereka sedar yang mereka terikut dengan nafsu. Dan nafsu ni tak pernah ada penghujungnya. Melihat isteri sedih menangis dan hampir putus asa dalam perkahwinan, suami sedar yang tempatnya adalah bersama isteri dan anak-anak.
Maka suami ini tekad meninggalkan pihak ketiga. Pihak ketiga kebanyakkannya berundur diri. Pihak ketiga ni manusia juga. Walaupun selalu digambarkan pihak ketiga ni jahat, percayalah saya berjumpa ramai yang baik dan juga tertipu dengan keadaan.
Ok.. apa suami boleh buat untuk kembali kepada isteri dan memulakan hidup baru?
1. Kembalikan Kepercayaan Isteri
Share password phone dengan isteri. Beritahu isteri boleh check phone bila-bila masa. Nothing to hide anymore. Jangan kecik hati jika isteri asyik check. Biarkan. Fasa ini akan berhenti very soon.
2. Layan, Peluk, Minta Maaf
Isteri akan ada point marah, nangis, tanya soalan bertubi-tubi dan ada kalanya isteri akan bercakap banyak perkara yang dia tak maksudkan pun.
Layan. Peluk. Minta maaf lagi. Minta lagi. Lagi dan lagi. Fasa ini macam fasa check phone jugak. Akan berlalu very soon.
3. Maklumkan Pergerakan
Maklumkan kepada isteri pergerakan. Nak pergi mana. Nak jumpa siapa.Bukan sebab tunduk pada isteri tetapi nak isteri tenang.Jika isteri call, jawap sekejap.
Atau terangkan kepada isteri tentang aktiviti dan jika isteri call tak diangkat, suami akan call balik bila sesuai.Terangkan kepada isteri yang suami memang nak berubah. Tolong beri masa pada suami untuk buktikan.
Fasa ini sukar. Bukan semudah yang ditulis. Tetapi berbaloi.Isteri terluka, confuse dan rasa takut ditinggalkan.Suami kena bijak menebus balik kekeliruan ini.
4. Berbual-bual Dengan Isteri, Rasa Disayangi
Selalu beritahu isteri yang dia disayangi dan diperlukan.Berbuallah dengan baik. Luangkan masa. Tinggalkan lah telefon itu sementara.
5. Luangkan Masa Dengan Anak-Anak
Libatkan diri semula dengan pendidikan anak-anak. Dulu waktu berhubung dengan pihak ketiga, anak-anak terabai. Banyak masa terluang di luar rumah. Anak tak berapa nampak ayah mereka.Jadi inilah masa bayar balik masa. Bercakaplah elok-elok dengan anak.
6. Jangan Bandingkan, Ceritakan Perhubungan Dulu
Tak perlu ceritakan kepada isteri apa yang berlaku dalam fasa perhubungan dulu.Beritahu apa yang perlu. Janganlah bingai bagitahu pihak ketiga ini baguslah, lebih pandai layanlah dan bla bla bla lah.Cukuplah sekadar beritahu yang abang ni tergelincir dari jalan yang sepatutnya. Mintak maaf lagi sekali.
Cukup dah cerita setakat itu. Tak payah tambah lagi cerita yang boleh menyebabkan isteri lebih terluka. Jika isteri masih tanya dan tanya, beritahu kepada isteri dengan baik. Cerita abang hanya sampai di sini sahaja.
7. Kembalilah Semula Kepada Jalan Allah
Wanita ni sentiasa ada tarikan. Jumpa yang usia 30an rupanya ada usia 20an yang menarik.Jumpa yang 55kg rupanya ada yang lebih ringan.Jumpa yang manja dan mengasyikkan, rupanya ada yang lebih baik di hadapan.Jumpa yang sopan dan sedap mata memandang, rupanya di sana ada yang lebih menenangkan.
Hanya, jika tuan kekal takutkan Allah Penguasa Sekalian Alam, tuan akan dapat bidadari yang tidak dapat dibayangkan. Pakej yang lengkap yang lebih menguntungkan. Rebutlah yang ini.
Namun, jika tuan mampu adil dalam poligami, Allah izinkan. Poligamilah dengan iman di dada bukan nafsu di mata.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jika sedar kesilapan berlaku curang, segeralah perbetulkan kembali kesalahan tersebut.Penting mengaku silap dan kembalikan semula kepercayaan isteri demi memulakan hidup baru.
Suami isteri bila dalam keadaan marah, cuba lakukan perkara ini, nampak mudah tapi beri impak. Masalah rumah tangga bermacam ragam. Semuanya bermula daripada pergaduhan kecil yang diperbesarkan dan tidak kurang juga perkara remeh yang diangkat menjadi bahan utama dalam pergaduhan sedangkan hakikatnya ia boleh diselesaikan dengan mudah.
Suami Isteri Bila Dalam Keadaan Marah
Mesej tidak berbalas, lambat angkat telefon atau terlupa buang sampah misalnya menjadi sebahagian kisah remeh rumah tangga yang tidak perlu diperbesarkan. Remeh namun apabila acap kali diulang perbuatan yang sama, ianya mampu memberi impak dalam hubungan.
Bagaimana tip yang seharusnya anda lakukan apabila melalui saat-saat ini? Berfikiran matang dan rasional antara yang seharusnya dilakukan oleh anda.
Usah terlalu ikutkan perasaan dan emosi yang datang menerpa. Ingat bahawa setiap tindakan anda, syaitan juga sentiasa menghasutnya. Fikirkan.
Cuba Lakukan Perkara Ini, Nampak Mudah Tapi Beri Impak
Ubah Posisi
Kalau sudah marah semua benda jadi tidak menentu. Itulah kisahnya dengan sekeping hati. Marah itu datangnya daripada syaitan. Apa kata ambil masa untuk diri sendiri dengan beristigfar sambil menenangkan diri. Jika perlu, beralihlah daripada tempat duduk dan ubah posisi kedudukan atau pilihlah untuk berdiri atau melakukan kerja-kerja lain.
Pandang Sudut Positif
Bergaduh itu perlu supaya pasangan lebih saling memahami akan kehendak masing-masing. Lama kelamaan, pasangan akan mula memahami rentak pasangan masing-masing.
Lebih baik daripada hanya mendiamkan diri dan akhirnya menyalahkan pasangan. Berbalahlah namun biar berpada. Ambil masa untuk kembali ceria semula dalam tempoh sesegera mungkin.
Bezakan Remeh Dan Tidak
Masalah remeh-temeh yang tidak sepatutnya anda ambil pusing sebaiknya janganlah diberikan perhatian lebih. Anda patut lebih tahu apa perkara remeh dalam kehidupan anda.
Soal tuala tidak tersidai, baju tidak digantung atau baju kotor tidak dimasukkan ke dalam bakul tidak perlulah diperbesarkan dan diungkit ketika berbalah. Fikir lebih rasional.
Mudahkan Fikiran
Fikir sahaja bahawa setiap pergaduhan kecil lagi remeh akan hanya menyesakkan fikiran anda. Buang jauh ketepi dan bertindaklah seperti biasa.
Anda bukan lagi pasangan tidak matang dan gemar melayan perkara remeh temeh. Banyak lagi perkara lebih berat yang perlu difikirkan.
Tegur Cara Baik
Ketika pergaduhan kecil lagi remeh ini, tegurlah pasangan secara baik lagi berkhemah. Menegur itu perlu agar dia tahu perbuatannya kurang disenangi anda. Namun cubalah ayat sehabis baik untuknya. Buat kelakar atau sindiran berbentuk gurauan adalah teguran paling sesuai untuk menegur.
Jangan Panjangkan
Jangan biarkan hal-hal remeh ini berlarutan lama sehingga dua atau tiga hari. Banyak lagi perkara lain yang perlu anda selesaikan. Ruginya apabila anda melepaskan masa bersama. Cuba fikir kebaikannya selama ini kepada anda.
Ambil Masa
Ketika emosi sedang ‘hangat’, ada baiknya anda redakan seketika hati dengan berdiam diri terlebih dahulu sambil mengimbau detik manis. Ambil masa anda sebaiknya dan pulihlah segera. Jangan mengambil masa terlalu lama untuk reda.
Berdiam diri, jangan membalas, elakkan meninggikan suara, bercakap dengan baik serta bersifat memaafkan adalah laluan yang dapat menyelesaikan masalah pergaduhan kecil ini. Abaikan hasutan lain yang merosakkan rumahtangga anda. Kebahagiaan di tangan anda!
“Tudung is my hair. Kalau tak ada tudung, rasa macam botak. Masak pun pakai tudung, tidur pun dengan tudung…inilah perkongsian dari artis legenda, Bonda Noor Kumalasari.
Dalam pertemuan Mingguan Wanita bersamanya, bintang kesayangan ramai ini turut sebak dan mengalirkan air mata tatkala bercerita tentang hijrah 30 tahun lalu mengenai pemakaian tudung yang dilakukannya seterusnya memilih untuk tidak lagi bergelar anak seni walau menerima banyak tawaran.
Mengimbau kenangan lalu, kata Bonda Noor, dahulu balik dari Makkah, dirinya masih tidak menutup aurat dengan sempurna biar ada dinasihati oleh suaminya kerana mati itu akan berlaku tanpa kita tahu.
“Ketika itu Kak Noor cakap, Kak Noor nak pakai ikut kata hati. Kak Noor minta pada Allah dan itulah yang berlaku hingga ke hari ini. Tak pernah tanggal langsung dah. Dah macam rambut.
Lagi satu bila kita memilih bertudung, kena tanya pada hati kita. Kita pakai untuk siapa? Pakai untuk diri sendiri? Untuk suami? Atau kerana Allah? The best thing pakailah kerana Allah kerana itu adalah syariat dan tuntutan menutup aurat bagi wanita. Ya itulah kita kena lakukan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Seorang suami itu memang terkenal dengan sifat egonya. Kecil atau besar, ia tetap ada. Katakan isteri tak faham akan ego suaminya sendiri, konfliklah yang lebih kerap berlaku. Hakikatnya, tak adalah sukar sangat nak kenal ego suami. Untungnya bila isteri dah kenal ego suami, mudah untuk isteri bertoleransi dengan pasangannya itu.
Inilah bukti perkongsian hasil temubual Mingguan Wanita dengan Puan Diyana Tahir, penulis, coach dan pengasas program e-Hati. Kata beliau, “Jika tak ditangani dengan baik, konflik pasangan berpanjangan dan mengundang masalah perhubungan.”
Ini kerana manusia secara psikologinya mempunyai tiga butang emosi yang dipanggil ego. Sifat ego ini bukanlah sesuatu yang buruk. Jika diri tidak menyedarinya, ia jadi memudaratkan.
Apabila sedar kewujudan ego, bertindaklah penuh kesedaran agar ia menjadi alat pemangkin tindakan yang tepat.
Sama ada lelaki mahupun wanita mereka memiliki tiga butang emosi. Pasanganlah yang menentukan, ego siapakah lebih dominan. Apabila sudah mengenali ego pasangan, usah diberikan mereka tekanan. Berilah mengikut kemahuan yang dimahukan.
Paling penting, betulkan niat perkahwinan itu sendiri. Berkahwin itu untuk apa? Ramai yang dilanda derita kerana merasakan perkahwinan itu satu peluang untuk membuktikan kasih sayang ataupun kemampuan dirinya.
Sebab itulah perlunya kesedaran, perkahwinan itu bukan sekadar mahu mendapatkan sesuatu tetapi juga perlunya memberi. Ada give and take. Jangan pula asyik menerima saja, atau memberi saja.
Kena seimbangkan. Tapi sebelum mahu memberi pada pasangan, baik isteri mahupun suami kenalah kenal dulu ‘butang’ emosi pasangan sendiri.
Kenali Ego Suami Mahupun Isteri
Ada Pasangan Yang Ego Mahu Berkuasa
Bukan saja suami, isteri pun ada ego masing-masing. Jenis ego ini, mereka ada keegoan untuk berkuasa. Nak mengatur semua perkara termasuklah berkuasa ke atas pasangannya. Mereka kerap kali marah. Barangkali apa yang mahu diatur tidak dapat dikuasainya.
Seandainya pasangan anda jenis begini, penting untuk anda tanyakan pada pasangan. Kenali dia dari hati ke hati. Konflik berpunca daripada sesuatu yang samar, tidak kenali pasangan. Jika ada pencerahan dan memahami mereka, pasangan mudah untuk berdamai.
Berdasarkan pengalaman Diyana dalam program yang dikendalikan, seorang wanita menemuinya dengan penuh kelukaan hati. Suami yang sama-sama susah dengannya mahu berkahwin lain.
Sejak berbisnes baru, suami tak lagi berkuasa. Dia rasa tidak berfungsi, jadi dia mencari orang lain untuk berkuasa. Ini kerana suaminya suka mengatur.
Selepas sedar akan hal itu, isteri tadi menyerahkan restoran barunya kepada suami. Beberapa bulan selepas itu, suami kembali sibuk dan seronok. Akhirnya suami tadi kembali kepadanya kerana merasakan pasangan keduanya itu pula tidak memahaminya.
Suami Malah Isteri Yang Ego Mahu Disukai
Ada pasangan suka dipuji dan disukai. Jika isteri atau suami membangkang ideanya, dia mula rasa tak diambil tahu. Pasangan begini selalu bersedih dan kerap merajuk.
Penting untuk menyukainya, memuji dan luahkan perasaan sayang padanya. Contoh pasangan begini adalah dari kalangan mereka yang suka keluar bersama rakan-rakan berlainan jantina.
Ini kerana mereka sukakan perhatian. Mereka amat memerlukan suami atau isteri yang fokus padanya, sedari kelebihannya. Jadi selalulah hargai mereka. Berikan kata-kata pujian atau hadiah. Tapi perlulah berpada-pada, jangan sampai berlebihan.
Jenis Pasangan Ego Mahu Selamat
Pasangan jenis ini asyik risau, bimbang takut malah tidak yakin dengan banyak perkara. Begitu berhati-hati dan menjaga kesihatan dan keselamatan dalam rumah tangga.
Misalnya sebelum keluar rumah dia akan pastikan rumah sudah dikunci. Dia juga menyediakan simpanan untuk anak-anak. Usah dicabar keegoannya bimbang dia akan lari daripada perkahwinan atau menjadi pasangan yang tiada perasaan. Justeru, yakinkan diri, beri ruang dan tanggungjawab itu padanya.
Carilah suami atau isteri anda bagaimana egonya. Setelah anda mengenali pasangan anda bagaimana, barulah anda boleh memberi mengikut kesesuaiannya. Dalam masa yang sama, anda juga akan mendapat apa yang anda mahukan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...