Pelajar-pelajar di sekolah tahfiz kebiasaannya hanya mendalami ilmu-ilmu agama seperti menghafaz alquran, hadis nabi dan sebagainya. Namun sebaliknya, istimewa bagi pelajar-pelajar di Madrasah Tahfiz Taufiqillah turut menjadikan bidang keusahawanan, mengusahakan madu kelulut sebagai salah satu modul pendidikan yang turut boleh menjana pendapatan yang lumayan.
Projek madu kelulut yang diusahakan secara suka-suka pada awalnya di Kampung Lembah Arang, Wang Tepus, di sini, tiga tahun kini menjadi sumber pendapatan kepada Madrasah Tahfiz Taufiqillah.
Hasil madu kelulut dari 120 sarang yang diusahakan madrasah itu sangat memberangsangkan dan ia dijual pada harga RM30 bagi setiap 120 gram sehingga membolehkan pengusahanya memperolehi pendapatan sekitar RM14,000 sebulan. Malah pada musim bunga, hasil madu amat menggalakkan sehingga mampu dituai mencecah 100 kilogram (kg), dengan hasil jualan RM24,000.
Pengetua Madrasah Tahfiz Taufiqillah, Auzaid Ismail, 44, berkata wang hasil jualan madu digunakan untuk membayar bil elektrik madrasah kira-kira RM1,500 setiap bulan.
“Ia dapatlah menampung sedikit perbelanjaan madrasah yang mencecah RM20,000 sebulan.
“Tujuh puluh peratus pelajar di sini adalah anak yatim, orang miskin serta mualaf. Mereka tidak dikenakan yuran, manakala bagi keluarga yang berkemampuan, yuran hanya RM180 sebulan,” katanya.
Auzaid yang mengasaskan madrasah terbabit sejak 2013 berkata, beliau memulakan projek madu kelulut itu pada awal 2015, dengan hanya dua sarang untuk kegunaannya sekeluarga. Namun, semakin pelajar menunjukkan minat dengan projek itu dan hasilnya, beliau menambah bilangan sarang sehingga mencecah 120 sarang ketika ini.
Pada peringkat awal, Auzaid berkata, beliau tidak mempunyai ilmu mengenai kelulut menyebabkan lebah itu meninggalkan sarangnya.Beliau kemudian bertemu dengan seorang pensyarah dari Politeknik Sultan Abdul Halim (POLIMAS) di sini, yang mengajarnya secara praktikal teknik penjagaan kelulut.
Sarang kelulut diletakkan di bawah pokok serta lereng bukit dan ia kini menjadi seperti sebuah taman yang dinamakan Taufiqillah Stingless Bee Farm. Beliau kini sedang membina sebuah galeri untuk menyimpan dan menjual madu, yang dijangka siap pada awal tahun depan.
“Seiring dengan keindahan taman kelulut di lereng bukit serta pelbagai pokok bunga yang ditanam, pastinya ladang kelulut ini boleh dijadikan pusat agro-pelancongan Islamik tidak lama lagi,” katanya.
Pelajar, Mohd Syarhan Mohd Tahir, 16, berkata beliau bersyukur dapat belajar di madrasah itu, yang turut mendedahkannya pada ilmu keusahawanan. Beliau diberi kepercayaan untuk menjaga sarang kelulut dan menyedut madu pada sebelah petang sebelum diisi ke dalam botol.
“Sekarang, saya juga diajar cara membuat sabun mandian dan pencuci muka berasaskan madu. Ia pengalaman yang mungkin jarang diperoleh di madrasah lain.
“Ladang kelulut di sini sudah sebati dengan kami sebagai pelajar, malah suasana berbukit di sini juga dapat mengubat kerinduan saya kepada keluarga,” katanya yang berasal dari Ranau, Sabah.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah atas inisiatif yang diusahakan oleh pengetua madrasah ini.Bukan apa, ia sekurang-kurangnya membantu memulihkan imej institusi sekolah tahfiz sering diperlekehkan ramai pihak sebelum ini. Stigma pelajar tahfiz perlu meminta sedekah, mengharap ihsan orang ramai serta menjual pelbagai barangan demi kelansungan hidup pusat tahfiz boleh diubah dengan memiliki pendapatan sendiri begini. Malah ia juga menghidupkan sunnah, melahirkan jiwa usahawan.
Sumber: Bharian & The Tahfiz Times