Pelajar-pelajar di sekolah tahfiz kebiasaannya hanya mendalami ilmu-ilmu agama seperti menghafaz alquran, hadis nabi dan sebagainya. Namun sebaliknya, istimewa bagi pelajar-pelajar di Madrasah Tahfiz Taufiqillah turut menjadikan bidang keusahawanan, mengusahakan madu kelulut sebagai salah satu modul pendidikan yang turut boleh menjana pendapatan yang lumayan.
Projek madu kelulut yang diusahakan secara suka-suka pada awalnya di Kampung Lembah Arang, Wang Tepus, di sini, tiga tahun kini menjadi sumber pendapatan kepada Madrasah Tahfiz Taufiqillah.
120 Sarang Madu Kelulut
Hasil madu kelulut dari 120 sarang yang diusahakan madrasah itu sangat memberangsangkan dan ia dijual pada harga RM30 bagi setiap 120 gram sehingga membolehkan pengusahanya memperolehi pendapatan sekitar RM14,000 sebulan. Malah pada musim bunga, hasil madu amat menggalakkan sehingga mampu dituai mencecah 100 kilogram (kg), dengan hasil jualan RM24,000.
Pengetua Madrasah Tahfiz Taufiqillah, Auzaid Ismail, 44, berkata wang hasil jualan madu digunakan untuk membayar bil elektrik madrasah kira-kira RM1,500 setiap bulan.
“Ia dapatlah menampung sedikit perbelanjaan madrasah yang mencecah RM20,000 sebulan.
Ads
“Tujuh puluh peratus pelajar di sini adalah anak yatim, orang miskin serta mualaf. Mereka tidak dikenakan yuran, manakala bagi keluarga yang berkemampuan, yuran hanya RM180 sebulan,” katanya.
Projek Madu Sejak 2015
Auzaid yang mengasaskan madrasah terbabit sejak 2013 berkata, beliau memulakan projek madu kelulut itu pada awal 2015, dengan hanya dua sarang untuk kegunaannya sekeluarga. Namun, semakin pelajar menunjukkan minat dengan projek itu dan hasilnya, beliau menambah bilangan sarang sehingga mencecah 120 sarang ketika ini.
Pada peringkat awal, Auzaid berkata, beliau tidak mempunyai ilmu mengenai kelulut menyebabkan lebah itu meninggalkan sarangnya.Beliau kemudian bertemu dengan seorang pensyarah dari Politeknik Sultan Abdul Halim (POLIMAS) di sini, yang mengajarnya secara praktikal teknik penjagaan kelulut.
Ads
Pusat Agro-Pelancongan Islamik
Sarang kelulut diletakkan di bawah pokok serta lereng bukit dan ia kini menjadi seperti sebuah taman yang dinamakan Taufiqillah Stingless Bee Farm. Beliau kini sedang membina sebuah galeri untuk menyimpan dan menjual madu, yang dijangka siap pada awal tahun depan.
“Seiring dengan keindahan taman kelulut di lereng bukit serta pelbagai pokok bunga yang ditanam, pastinya ladang kelulut ini boleh dijadikan pusat agro-pelancongan Islamik tidak lama lagi,” katanya.
Pelajar, Mohd Syarhan Mohd Tahir, 16, berkata beliau bersyukur dapat belajar di madrasah itu, yang turut mendedahkannya pada ilmu keusahawanan. Beliau diberi kepercayaan untuk menjaga sarang kelulut dan menyedut madu pada sebelah petang sebelum diisi ke dalam botol.
Ads
“Sekarang, saya juga diajar cara membuat sabun mandian dan pencuci muka berasaskan madu. Ia pengalaman yang mungkin jarang diperoleh di madrasah lain.
“Ladang kelulut di sini sudah sebati dengan kami sebagai pelajar, malah suasana berbukit di sini juga dapat mengubat kerinduan saya kepada keluarga,” katanya yang berasal dari Ranau, Sabah.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah atas inisiatif yang diusahakan oleh pengetua madrasah ini.Bukan apa, ia sekurang-kurangnya membantu memulihkan imej institusi sekolah tahfiz sering diperlekehkan ramai pihak sebelum ini. Stigma pelajar tahfiz perlu meminta sedekah, mengharap ihsan orang ramai serta menjual pelbagai barangan demi kelansungan hidup pusat tahfiz boleh diubah dengan memiliki pendapatan sendiri begini. Malah ia juga menghidupkan sunnah, melahirkan jiwa usahawan.
Kejamnya kematian sadis yang menimpa kanak-kanak perempuan berumur 7 tahun yang berlaku di Kasur, Pakistan baru-baru ini. Misteri kehilangan kanak-kanak tersebut terungkai selepas mayatnya ditemui dalam timbunan sampah Selasa lalu.
Hilang Selepas Pergi Mengaji
Mangsa, dikenali sebagai Zainab Ansari hilang ketika dalam perjalanan mengaji al-Quran pada Khamis lepas. Mayatnya ditemui dua kilometer daripada rumahnya.Zainab dilaporkan tinggal dirumah ibu saudaranya, sementara ibu dan ayah Zainab menunaikan umrah di Arab Saudi.
Menurut laporan polis, hasil laporan awal bedah siasat menyatakan, Zainab telah dirogol berulang kali dan mayatnya ditemui hanya selepas 4 atau lima hari selepas kejadian.Paling menyedihkan apabila terdapat tanda-tanda mangsa dirogol, dicekik hingga mati sebelum jasadnya yang tidak lagi bernyawa dihumban dalam timbunan sampah.
Ini bukan pertama kerakusan sedemikian dilaporkan berlaku di Pakistan dalam tempoh terdekat. Pihak polis Kasur mengesahkan 12 kes pembunuhan hampir sama direkodkan dalam tempoh dua tahun.
Lima daripadanya disyaki dilakukan suspek yang sama yang masih gagal ditahan sehingga kini. Sampel DNA juga telah diambil daripada 90 orang suspek.
Solidariti untuk Zainab
Kematian Zainab mencetuskan bantahan penduduk setempat pada hari pengebumiannya. Mereka kecewa dengan pihak berkuasa yang didakwa gagal menangani kes sebegini.
Rusuhan turut melibatkan kehilangan nyawa dengan dua penunjuk perasaan ditembak mati polis di luar ibu pejabat polis Kasur yang terletak hanya 20 kilometer dari Lahore.
Dalam kes melibatkan Zainab, keluarga kanak-kanak malang itu menyalahkan pihak polis yang lambat bertindak selepas laporan kehilangannya dibuat.
Rakaman CCTV
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan pergerakan terakhir Zainab berjaya diperoleh hasil usaha sanak saudara mangsa dan bukannya pihak polis.
Rakaman yang menunjukkan seorang lelaki memimpin tangan Zainab itu disebarkan di media sosial.Tidak hanya di Pakistan, kematian Zainab turut mendapat simpati masyarakat dunia.
We Want #JusticeforZainab
12th such tragedy where girls like zainab were raped & then murdered in Kasur Bt Justice is always denied & we will have to suffer more because BEASTS are ruling us.
And don’t dare to shout 4 justice Punjab Police will kill U. pic.twitter.com/7ieUFKE5CH
Menerusi #JusticeforZainab netizen menuntut penahanan segera penjenayah itu. Ia turut mendapat perhatian beberapa personaliti Pakistan termasuk bekas pemain kritket terkenal yang kini bergerak aktif sebagai ahli politik Imran Khan.
Sayu hati dengar penyanyi Zizi Kirana mengaji Al-Quran dalam satu rakaman video yang dimuatnaik dalam aplikasi TikTok miliknya.
Kata Zizi, “Pertama kali tampil mengaji di kaca TV, mau tercabut lutu. InsyaAllah saya akan terus belajar lagi.”
Video berdurasai 60 saat itu rupanya adalah penglibatannya untuk rakaman program TV, Rahsia Ramadhan. Itu merupakan kali pertama Zizi mengaji di hadapan kamera.
Rasa syukurnya makin berganda apabila rata-rata yang menonton video yang dimuat naik pada jam 4 pagi itu, memberi maklum balas yang positif.
“Alhamdulillah, semua komen baik-baik dan mereka turut mendoakan saya. Saya tersentuh hati membaca komen-komen itu semua.”
Merdu Suara Zizi Kirana Mengaji
Kemerduan suara Zizi Kirana bertaranum juga diakui Nor Farhatul Fairuzah Panut, juara Tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa tahun 2019.
Malah, mereka berdua sempat merakamkan selawat Birosulillahi Wal Badawi bersama-sama. Akui Zizi, perasaan gementar itu terbawa-bawa. Sampai berkerut-kerut keningnya waktu merakam selawat dengan adik Farhatul Fairuzah yang bersuara emas itu.
Zizi yang tidak kekok membaca Al-Quran ini berharap, perkongsiannya itu memberi inspirasi kepada anak muda dan golongan artis untuk turut serta dalam program keagamaan. Agar mereka lebih berani mengaji di khalayak ramai.
“Masih ada yang takut-takut nak mengaji depan TV dan ustaz-ustaz, tak salah untuk kita terus belajar dan memperbaiki ilmu agama.” Biarpun dia sendiri ketar lutut bila nak mengaji depan orang, tapi perasaan gementar itu dapat diatasi dengan sebaiknya.
“Saya yakin orang lain pun boleh buat juga.”
Sememangnya sejak dulu lagi, Zizi ini dah amalkan membaca Yasin setiap malam Jumaat. Katanya tak lama dulu, kalau dia rasa susah nak tidur, dia akan buka Al-Quran dan berzikir. Ayat-ayat suci itu lah yang membuatnya tenang dan rasa tenteram.
Haram sebar video & gambar aib mangsa kemalangan, menyakiti hati keluarga waris. Hari ini media sosial begitu terbuka di mana orang ramai sering berkongsi apa saja yang berlaku.
Tragedi pesawat terhempas di Elmina semalam sememangnya menggemparkan di mana 10 mangsa meninggal dunia. Namun penyebaran video dan gambar mangsa kemalangan melibatkan identiti penghantar makanan food panda, yang pada awalnya identitinya tidak dikenal pasti yang meninggal akibat terbakar sememangnya amat menyedihkan. Arwah dikenali sebagai Apit atau nama sebenarnya Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32 tahun.
Di sebalik penyebaran video dan gambar mangsa kemalangan, ada sesuatu yang harus kita pelajari di mana HARAM HUKUMNYA SEBARKAN GAMBAR ATAU VIDEO AIB MANGSA KEMALANGAN. Bukan saja mendedahkan aibnya tapi juga menyakiti hati keluarga waris.
Penyebaran gambar rider yang terlibat nahas pesawat ini sememangnya mendatangkan kesedihan namun kita dilarang menyebarkan sebarang gambar yang memberikan aib kepada arwah dan kesedihan kepada keluargaBeginilah situasi di lokasi kejadian yang mengorbankan 10 orang dalam nahas pesawat terhempas sebelum meletupPihak berkuasa menjalankan siasatan di lokasi kejadian
Menyakiti Hati Keluarga Waris – Mufti Wilayah
Assalamualaikum W.B.T. Sesetengah masyarakat kita yang gemar mengambil dan menyebarkan gambar mangsa kemalangan atau kes tertentu di media sosial, apakah hukum perbuatan ini dari perspektif agama?
Ringkasan Jawapan:
Perbuatan menyebarkan gambar mayat orang yang meninggal dunia adalah haram kerana ia boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris. Apatah lagi sekiranya keadaan mayat tersebut yang agak tidak sempurna seperti terdedah aurat, tertanggal anggota tubuh dari badan kerana Islam melarang umatnya mendedahkan aurat dan ia boleh menjatuhkan kehormatan si mati.
Selain itu ia boleh mendatangkan trauma kepada keluarga si mati dan boleh mengundang pelbagai perkara yang tidak diingini. Justeru, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang meninggal dunia perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan etika, moral dan akhlak Islam. Di samping itu, individu yang melakukan perbuatan ini juga harus diambil tindakan tegas agar fenomena ini tidak berleluasa dalam masyarakat.
Huraian Jawapan:
Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian. Sabda Nabi Muhammad S.A.W:
لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
Maksudnya:“Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri”.
Riwayat al-Bukhari (13) dan Muslim (45)
Berdasarkan hadis di atas, jelaslah bahawa seorang muslim hendaklah menyukai segala kebaikan yang diperoleh oleh saudara muslim yang lain sebagaimana dia menyukai kebaikan itu untuk dirinya, dan membenci segala keburukan yang menimpa saudara muslim yang lain sebagaimana dia membenci keburukan itu menimpa dirinya.
Oleh itu hendaklah seseorang muslim berlaku ihsan dan berbuat baik kepada saudara semuslim-nya yang lain, menutup segala keaibannya serta menjaga hak-hak ke atas mereka (sesama muslim). (Rujuk: ‘Umdah al-Qori Syarh Sahih al-Bukhari, 1/141).
Justeru, pada asasnya perbuatan menyebarkan gambar mayat si mati adalah haram dan bercanggah dengan moral dan akhlak Islam kerana hal tersebut boleh membuka aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris.
Islam sangat menitikberatkan kewajipan seseorang Islam terhadap saudaranya yang lain iaitu antaranya menjaga nyawa, harta dan kehormatan diri sebagaimana sabda Nabi S.A.W:
Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya”.
Riwayat Muslim (2564)
Berdasarkan hadis di atas, ia menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain maka haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli, dan hendaklah menjaga kehormatan dirinya iaitu tidak boleh menghina sifatnya atau rupa paras atau keturunannya kerana hal itu boleh menjatuhkan kehormatannya dan hendaklah memelihara kemuliaan dirinya. (Rujuk: Al-Adab al-Nabawi, 1/137).
Firman Allah S.W.T:
….ولقد كرمنا بني آدم
Maksudnya:“Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak Adam…..”.
( Surah al-Isra’ : 70)
Ayat dia atas menunjukkan Allah S.W.T. memuliakan manusia samada semasa hidup atau matinya. Dan tidak syak lagi apa yang diharamkan oleh seseorang muslim ke atas saudaranya ketika hidup sama seperti pengharamannya setelah meninggal dunia. Hal ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W:
إن كسر عظم المؤمن ميتا مثل كسره حيا
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani “dapat diambil iktibar daripada hadis ini bahawasanya pengharaman seseorang muslim ke atas saudaranya ketika meninggal dunia sama seperti halnya ketika hidup”. (Rujuk: Fath al-Bari, 9/142).
Oleh itu, berdasarkan dalil-dalil di atas wajib ke atas kita untuk beradab dan memuliakan saudara muslim yang lain samada ketika hidup ataupun setelah meninggal dunia. Segala perkara yang boleh membawa kepada pencerobohan nyawa, harta dan kehormatan diri seseorang muslim adalah haram dan dilarang di sisi agama kita yang mulia.
Selain itu, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang kurang elok atau tidak menutup aurat adalah suatu bentuk pendedahan aib dan ia merupakan suatu perkara yang ditegah dalam agama. Malah tiada khilaf dalam kalangan para ulama’ bahawa wajib menutup aurat jenazah. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/408). Sehinggakan para ulama menitikberatkan hendaklah dijaga aurat dan aib si mati sekalipun ketika urusan memandikan jenazah.
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan disunatkan agar ditutup mayat (ketika memandikan jenazah) daripada orang lain, kerana berkemungkinan terdapat pada badannya itu suatu aib yang beliau menutupinya dahulu (ketika dia hidup), dan boleh jadi terdapat badannya itu suatu tompokan darah, lalu disangka oleh orang yang melihatnya itu sebagai suatu hukuman baginya (mayat itu).” (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/154).
Sabda Nabi S.A.W yang mengisyaratkan hal ini:
لا تبرز فخذك ولا تنظر إلى فخذ حي ولا ميت
Maksudnya: “Jangan membuka paha kamu dan janganlah melihat kepada paha orang yang hidup atau meninggal dunia”.
Riwayat Abu Daud (3140), Ibnu Majah (1460)
Apatah lagi sekiranya keadaan mayat tersebut mengaibkan seperti tertanggal anggota dari badan, terburai jasad dan sebagainya maka itu boleh membuka aib si mayat tersebut. Jelaslah bahawa perbuatan seperti ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan dilarang tegas oleh agama.
Oleh itu, berdasarkan dalil-dalil di atas jelaslah bahawa wajib ke atas kita menutup aurat dan aib seseorang sekalipun orang tersebut telah meninggal dunia. Malah wajib hukumnya bagi seorang muslim menutup apa jua yang tidak disukai oleh seseorang ketika hidupnya. Barangsiapa yang melakukan sebarang perbuatan yang mendedahkan aurat dan aib si mati maka dia telah tergolong dalam golongan yang mencerobohi maruah saudara muslimnya yang lain dan ianya termasuk dalam perkara yang dibenci oleh Allah dan rasulnya.
Kesimpulan
Tunstasnya, perbuatan menyebarkan mayat orang yang meninggal dunia adalah haram kerana ia boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris.
Tambahan pula, sekiranya keadaan mayat yang agak tidak sempurna seperti terdedah aurat, tertanggal anggota tubuh dari badan maka haram menyebarkan gambar tersebut kerana Islam melarang umatnya mendedahkan aurat dan hal tersebut boleh menjatuhkan kehormatan si mati.
Selain itu ia boleh mendatangkan trauma kepada keluarga si mati dan boleh mengundang pelbagai perkara yang tidak diingini. Justeru, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang meninggal dunia perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan etika, moral dan akhlak Islam.
Di samping itu, individu yang melakukan perbuatan ini juga harus diambil tindakan tegas agar fenomena ini tidak berleluasa dalam masyarakat. Wallahu a’lam.
Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...