Dekat seminggu jugalah, mak ayah bekerja ini siapkan laman belakang cantik di kediaman mereka. Asalnya, tanah belakang berkeluasan 20 kaki itu dipenuhi rumput dan lalang terbiar.
Semak samun itu dibersihkan dan hasilnya cantik sungguh laman belakang rumah yang disiapkan oleh Ummu Al Fateh dan suaminya ini. Khas untuk mereka 5 beranak berkelah dan breakfast setiap hujung minggu.
Ibu ini berkongsi dengan pembaca Mingguan Wanita, proses menyiapkan kerja-kerja membuat laman belakang rumah yang cantik ini.
Menurut Ummu Al Fateh, kediamannya itu asalnya rumah terbiar. “Saya beli rumah second yang terbiar. Belakangnya ada 20 kaki. Dalam 7 kaki, saya simenkan untuk laundry. Lagi 13 kaki, saya buat taman
.”“Kos keseluruhan untuk tanam rumput dan bunga-bunga semua itu dalam RM600.”
“Rumput tu saya pernah tanya kedai. Siap tanam RM3000 dia nak untuk keluasan macam ini. Jadi, kami suami isteri beli rumput dan tanam sendiri.”
Memandangkan mereka suami isteri bekerja, kerja-kerja menyiapkan laman belakang ini dilakukan sebelah petang. Bila mana, masing-masing pulang dari tempat kerja.
“Seminggu jugalah berhempas pulas. Dua hari ratakan tanah, 2 hari tanam rumput jenis mutiara. Saya tinggal di Ulu Tiram, Johor. Mencari rumput mutiara pun di nurseri dekat sini saja.”
Kongsinya lagi, untuk dapatkan laman belakang yang cantik mereka perlu lakukan penjagaan sekurang-kurangnya 2 jam seminggu. Itu untuk cabut rumput liar yang naik celah rumput mutiara.
Manakala, setiap 2 minggu sekali, semua pokok dan rumput akan ditaburkan baja untuk memastikan kesuburan tanaman berkekalan.
Sebenarnya suami isteri ini ada sebab kenapa laman belakang itu diperindahkan. “Saya cuba buat taman belakang rumah ala-ala mat salleh ada backyard garden.”
“Dalam masa yang sama saya cuba beri inspirasi supaya anak ada taman untuk berlari dan bermain.” Dapatlah nanti 3 orang anak-anaknya seusia 5, 2 dan setahun itu bermain dengan riang ria.
Selepas bersihkan rumput, kawasan bersimen dipecahkan untuk proses tanam rumput mutiara.
Rumput dicangkul dan dicabut sampai ke akar, supaya tak tumpuh celah-celah rumput mutiara nanti. Kemudian gembur-gemburkan dan ratakan tanah.
Rumput akan ambil masa dalam 6 bulan untuk bercantum antara satu sama lain. Untuk rumput mutiara yang dibeli ini, harga sekeping RM4.90 untuk saiz 2×1 kaki.
Rumput depan rumah ini baru 2 minggu dipasang (ketika statusnya dimuat naik).
Pasang dulu ‘foot step’ kemudian baru letak rumput. Bagi sama rata dengan rumput supaya anak tak tersadung.
MW : Semoga mak ayah dapat idea untuk hias laman belakang mahupun depan kediaman bagi cantik dan jadi taman yang bahagiakan hati sekeluarga.
Sumber/Foto : Ummu Al Fateh