Manusia itu mati meninggalkan tiga perkara. Pertama amalnya, keduanya ilmu dipelajari dan disebarkannya dan terakhir doa anak yang soleh. Dalam hidup kita sentiasa dituntut berbuat kebaikan dalam hidup.
Pasti ramai dari kita tidak pernah mendengar nama Tarihing Masanim. Ia juga mungkin tidak begitu penting bagi kita tetapi jasa ditinggalkannya cukup besar. Terlampau besar dan akan terus kekal sampai bila-bila.
Bahkan pemergiannya pada usia 48 tahun ditangisi ramai warga pribumi Sabah kerana jasa ditinggalkannya.
Perkhabaran duka untuk Sabah, khususnya bagi konteks pergelutan komuniti pribumi di pedalaman. Ahad baru-baru ini (7 Ogos 2022), seorang figura tersohor dari sebuah desa marginal di utara Sabah, dijemput pulang bertemu Sang Pencipta.
Takziah diucapkan kepada seluruh keluarga mendiang Tarihing Masanim (48 tahun).
Pada tahun 2014, wanita ini terbang beribu batu, merentas dua lautan (China dan Hindi), teluk (Benggala) dan selat (Melaka) dalam misi kembara ilmu. Mendiang datang belajar teknologi pemasangan lampu solar di Rajasthan, India — di bawah tajaan sebuah NGO antarabangsa.
Sekembali dari latihan di India (6 bulan berpisah dengan keluarga), wanita penoreh getah ini membantu memasang lampu solar untuk lebih kurang 100 rumah di Kampung Sonsogon Magandai, Kota Marudu. Beliau turut melatih sekumpulan wanita lokal untuk mewarisi kemahiran teknikal yang sama.
Petempatan terpencil yang jauh tersorok dari talian grid elektrik ini, diberi cahaya hasil kegigihan seorang wanita yang tidak pernah pun belajar secara formal, membaca dan menulis.
Pada tahun 2017, sekumpulan krew sebuah produksi dokumentari (Syareel Izam Ali et. al) telah cuba menjejak beliau di Magandai, Kota Marudu. Kerana beliau dicalonkan sebagai salah seorang ikon pribumi Borneo. Malangnya hasrat itu tidak kesampaian kerana kereta pacuan empat roda yang dinaiki gagal sampai ke kediaman mendiang Tarihing. Bayangkan betapa mencabar laluan menuju ke ceruk terpencil ini!
Wanita dengan semangat besi dan cita-cita penuh berapi ini, kini sudah meninggalkan alam fana. Tetapi untuk tahun-tahun mendatang, Kampung Sonsogon dan desa-desa berhampiran — nescaya akan terus diterangi cahaya. Kerana pengorbanan dan kegigihan seorang wirawati sejati.
Sekadar refleksi dan renungan diri. Kalangan kita, yang diberi nikmat pendidikan sampai menara gading dengan laluan penuh cahaya terang — berapa banyak rumah yang telah kita suluh dengan sinar? Barangkali kita lebih banyak bersengketa, saling berlawan memadam lampu hingga sepanjang jalan yang kita sama-sama lalui, semakin gelap dan gulita.
#RemRefleksi