Darah Penuh Satu Selimut Namun Jururawat Ini Berjaya Selamatkan Ibu Melahirkan Anak

Share

Sikapnya suka menolong orang membuatkan dia terdorong untuk menjadi seorang jururawat. Oleh itu sebaik sahaja, Norma Mamat menamatkan pengajian peringkat menengah, dia telah memohon untuk meneruskan pengajian dalam bidang kejururawatan.

“Saya berkhidmat sebagai jururawat sejak tahun 2004 setelah menamatkan pengajian di Kolej Kejururawatan Taiping, Perak. Setelah tamat belajar, saya telah dihantar bertugas di Hospital  Sultanah Aminah, Johor Bahru selama lebih dua tahun. Pada ketika itu saya bertugas di jabatan ortopedik.

“Selepas itu, saya berpindah ke Klinik Kesihatan Kuala Krai, Kelantan. Semuanya kerana pada ketika itu suami yang bertugas sebagai anggota polis dapat berpindah ke Kelantan. Saya berkhidmat di Jabatan Pesakit Luar di Klinik Kesihatan tersebut. Setelah setahun saya berkhidmat di sana, saya ditugaskan di Klinik Kesihatan Lundang Paku, Kota Bharu.

“Saya suka bekerja di klinik kesihatan kerana dapat berkhidmat dengan masyarakat terutamanya orang kampung. Sudah hampir dua tahun saya berkhidmat di klinik kesihatan ini,” katanya yang berasal dari Kelantan.

Jadi Bidan

Pada tahun 2008, Norma telah menyambung pengajian dalam kursus kebidanan. Setelah berjaya memperolehi sijil, Norma bukan sahaja bergelar jururawat kesihatan awam. Dia juga adalah seorang bidan.

“Apabila bekerja dengan komuniti ini, saya boleh melakukan tugas menyambut kelahiran bayi di rumah. Pengalaman yang saya tidak dapat lupakan agak banyak. Banyak kes yang saya jumpa. Ada satu kes itu, ada ibu yang menghubungi kita apabila dia sudah bersalin. Ketika itu jam menunjukkan pukul 1.00 pagi.

“Disebabkan saya on call, saya perlu bertugas. Saya terpaksa meninggalkan anak di rumah. Mujur suami dapat menjaga anak, walaupun anak menangis dan merengek. Kasihan pada anak, tetapi demi tugas yang telah diberikan saya perlu melaksanakannya.

“Ada juga kes itu, ibu yang telah bersalin di rumah mengalami pendarahan sewaktu melahirkan anak sehinggakan satu selimut penuh dengan darah. Memang mencabar keadaan waktu itu. Kejadian itu berlaku pada waktu pagi juga. Pada ketika itu saya sedang tidur tetapi disebabkan saya seorang staff nurse dan dalam keadaan on call, maka saya perlu menjalankan tugas.

“Jururawat masyarakat bila mengalami kes berisiko begitu dia terpaksa memanggil kita. Kalau kita boleh menguruskan kes tersebut, kita akan cuba sedaya upaya membantu. Tetapi jika tidak boleh, kita akan memanggil doktor untuk menguruskan kes tersebut,” terang Norma tentang tugasnya.

Akui Norma, menjadi bidan agak mencabar. Terpaksa menghantar ibu mengandung yang tidak sedarkan diri dalam ambulans sepanjang perjalanan menuju ke hospital adalah pengalaman paling mencabar pernah dihadapinya sepanjang bertugas.

Tempat Rujukan Keluarga

Anak-anak dan suami sering ditinggalkan jika Norma On Call

Sebagai seorang bidan, pertama kali menyambut bayi memang tidak dapat dilupakan. Ini adalah kerana di tangan seorang bidan itulah nyawa seorang ibu dan bayi yang bakal dilahirkan itu.

“Dua nyawa kita perlu jaga. Tetapi setiap kali kita pergi menguruskan kes ibu bersalin di rumah terutamanya yang ada kes pendarahan, saya tawakal sahaja. Alhamdulillah, setakat ini saya dapat membantu ibu melahirkan anak dengan selamat.

“Pada saya kalau dapat menyambut bayi dengan selamat, saya rasa bersyukur. Apabila melihat ibu itu selamat, lagi bertambah seronok. Rasa berdebar dan takut bercampur tterutamanya jika ada sebarang komplikasi berlaku,” kata Norma menceritakan pengalaman itu.

Setakat ini Norma berjaya membantu menyambut 30 kes ibu melahirkan anak di hospital. Dia juga pernah menyambut lebih kurang 10 kes melahirkan anak di rumah.

“Sekarang ini jarang wanita melahirkan bayi di rumah. Saya sering menasihatkan pada pesakit, kalau boleh jika ada tanda hendak bersalin perlulah mereka pergi ke hospital. Kami tidak menggalakkan ibu melahirkan bayi di rumah kerana dikhuatiri akan ada komplikasi,” sarannya.

Norma mengakui dia amat berani ketika membantu ibu hamil melahirkan bayi. Namun dia tidak menafikan setiap kali tiba masa untuk dirinya bersalin, perasaan takut tetap ada dalam diri.

“Saya telah mempunyai tiga orang anak dan kini sedang hamil anak keempat. Setiap kali mahu melahirkan anak, saya akan rasa takut tetapi perasaan itu tidak perlu ditunjukkan terutamanya kepada ibu-ibu hamil lain,” katanya dengan wajah berseri-seri.

Kata jururawat berusia 37 tahun ini lagi, dia sering menjadi tempat rujukan keluarga berkaitan masalah kesihatan yang dialami oleh ahli keluarga.

“Dalam keluarga saya, tidak ada yang menjadi jururawat. Masa keciL, saya ada niat hendak menolong keluarga yang sakit kalau saya dapat jadi jururawat. Setelah saya berjaya jadi jururawat niat saya itu tercapai. Semasa ibu mentua  sakit, sayalah yang menjaganya. Pernah suami saya berkata untung dia kahwin dengan jururawat,” kata Norma sambil tersenyum.

Aktif Aktiviti Sihat

Sibuk bekerja juga tidak pernah membataskan Norma untuk bergiat aktif terutamanya dalam aktiviti-aktiviti berkaitan penjagaan kesihatan.

“Saya aktif terutamanya dalam aktiviti senaman seperti zumba, tarian Bollywood, tarian Arab dan banyak lagi. Setiap kali ada Hari Jururawat, saya akan menawarkan diri untuk mengajar senaman tersebut. Malah, jika ada program untuk menurunkan berat badan oleh jururawat, saya jugalah jurulatihnya. Dalam program Go Fit Don’t Quit anjuran Kementerian Kesihatan pada tahun lepas, saya telah mencari jururawat yang mengalami masalah obesiti. Saya akan mengajar mereka cara menjaga pemakanan dan senaman yang sesuai untuk menurunkan berat badan.

“Sebagai jururawat kita perlu bertenaga dan sihat. Tambahan pula, jika semasa bertugas kita perlu menasihatkan pesakit itu menjaga kesihatan dan pemakanan. Pesakit akan percaya kata-kata kita jika kita berada dalam keadaan yang sesuai untuk menasihati mereka,” ujarnya mengakhiri perbualan.

 

 

 

 

Published by
Julie Roshana