foto: sumber instagram Daphne Iking

“Suami adalah Pengurus kerjaya saya, dia nampak, saya nak campak baby. Tak pernah nampak raut wajahnya yang berasa cukup takut. Ketika itu dia yang tenangkan dan minta saya serahkan baby pada dia,” ungkap Daphne mengenai pengalamannya sewaktu mengalami ‘meroyan’ dalam pantang anak keduanya ketika ditemubual sewaktu program Mingguan Wanita Talkshow yang disiarkan tengahari tadi Atro Prima HD dan Astro Prima.

Daphne juga akui dia kini sudah tahu apa yang akan dilakukan dalam tempoh berpantang  selepas ini jika dia ditakdirkan lahirkan anak keempat (dalam nada bergurau).

“Sekarang ini saya kena tahu cara pemakanan, melakukan yoga dan buatkan diri berasa lebih bersemangat dengan adanya sokongan keluarga terutamanya, suami dan anak-anak.

“Jangan malu jika ada yang mengalami depresi. Bangkitlah dan cari bantuan,” nasihat Daphne.

Daphne Iking Seru Ibu-Ibu Yang Mengalami ‘Meroyan’ Bangkitlah & Cari Bantuan  
foto: instagram Daphne Iking

Isobel Selamatkan Daphne Iking Daripada Belenggu Depresi

Sebelum ini MW pernah menemubual wanita yang dilahirkan di Keningau, Sabah puteri kedua daripada empat bersaudara ini merupakan anak kepada mantan jururawat, Naili Juliah Ganahong dan bapanya, Mozes Iking. Daphne Iking atau nama muslimnya Dahlia Eleanor Mozes Iking 41 tahun, merupakan personaliti televisyen, selebriti dan juga ibu kepada tiga cahaya mata; Isobel Daniella Iking Azmi (11), Iman Daniella Iking Azmi (7) dan Isidore Daniel Iking Azmi (3). Daphne memeluk agama Islam sekitar tahun 2011 sebelum mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama pasangannya, Azmi Abdul Rahman (50).

IKLAN

Kepetahannya di kaca televisyen dan ketika mengacarakan majlis, tidak membuatkan ramai tahu wanita penuh inspirasi ini pernah melalui fasa kemurungan. Mengakui fasa sukar itu pernah dilaluinya sendirian bersama anak sulungnya, Isobel Daniella Iking Azmi yang ketika itu masih kecil. Bersama Mingguan Wanita, Daphne berkongsi sisi lain hidupnya yang mungkin boleh dijadikan rujukan buat wanita di luar sana.

MW : Dalam satu program televisyen, Daphne diundang sebagai tetamu dan diminta berkongsi cerita perihal depresi dan kemurungan. Daphne kemudian berkongsi pengalaman sendiri serta melalui proses kemurungan itu sendirian tanpa mahu melibatkan orang lain. Bagaimana Daphne bangkit dari situasi itu?

DAPHNE : Ketika itu saya melalui emosi selepas kelahiran anak yang tak menentu. Di tambah pula dengan masalah rumahtangga saya yang terdahulu, di mana saya tidak pernah terbuka membicarakan hal itu membuatkan saya bertambah tertekan. Emosi selepas melahirkan dan depresi akibat masalah rumahtangga  membuatkan saya tertekan hingga saya dapat merasakan ia menggangu proses penyusuan natural bersama Isobel.

IKLAN

Saya pernah mendengar kenyataan mengenai jika ibu yang menyusu itu stress, dalam pada masa yang sama, si anak juga memperolehi susu hasil daripada tekanan si ibu. Perasaan mahu menjadi ibu sempurna kepada anak pertama saya, cukup memberi tekanan kepada diri sendiri. Saya akhirnya hanya mampu memberi susu badan secara eksklusif untuk tempoh dua bulan sahaja ketika Isobel kecil.

Bergelar ibu tunggal, membuatkan saya berasa terlalu tertekan dan merasakan itulah fasa paling genting hidup saya. Ketika itu saya merasakan hidup ini tidak bermakna lagi dan terdetik di hati untuk melakukan perkara yang  membahayakan diri sendiri. Tetapi Allah S.W.T itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui, di kala saya dirundung kesedihan yang teramat sangat, saya mendapat semangat baru sebaik melihat Isobel sedang merangkak ke arah saya sambil tersenyum. Saya tak sanggup meninggalkan satu-satunya anak saya kerana terlalu mengikut kata hati. Saya nekad untuk kembali bangkit dari perasaan sedih yang berterusan.

IKLAN

MW : Selaku individu yang pernah melalui konflik rumahtangga yang membawa kepada perceraian, sama ada anda selebriti mahupun bukan ia bukan perkara yang mudah itu dilalaui. Sejak akhir-akhir ini, liputan mengenai perceraian dikalangan selebriti menjadi bualan ramai. Bagaimana Daphne sendiri melalui situasi ini satu ketika dulu.

DAPHNE : Merasai sendiri keperitan hidup selepas kegagalan rumahtangga bukanlah mudah. Ia merupakan hal sulit yang hanya anda dan mantan pasangan sahaja yang tahu kemelut yang melanda dalam rumahtangga.  Perceraian dikalangan selebriti, sering menjadi liputan media dan diperdebatkan sehingga ke dalam lapangan media sosial. Secara peribadi saya berpendapat tiba masanya hal melibatkan perceraian dikalangan selebriti, bukan menjadi topik wajar untuk dijadikan bahan berita.

Perceraian itu bukan subjek utama yang diinginkan dalam sesebuah perkahwinan. Seharusnya jika terjadinya hal berbangkit, berbincanglah sebaiknya bersama pasangan. Elakkan mengadu di media sosial, kerana ia lebih memburukkan keadaan. Hal akan menjadi lebih rumit, apabila ia melibatkan anak-anak. Dan sekiranya hal perceraian orang tua si anak mendapat liputan, tak mustahil si anak boleh mengetahuinya sendiri satu hari nanti apabila melibatkan medium media sosial.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI