Setiap hari isteri beriya sambut suami, tetapi bila buka pintu suami tak banyak cakap. Muka pun masam mencuka. Agak-agak, apa yang isteri rasakan dan fikir pasal suami?
Haaa… sudahnya isteri membuat andaian. Suami dah berubah hati, diri tak lagi disayangi dan bermacam-macam hasutan negatif singgah di pelupuk hati. Akhirnya bergaduhlah suami isteri. Hilang sudah rindu dendam, cinta kasih yang dibelai di dalam jiwa.
Ketahuilah suami pendiam itu anugerah!
Apabila berhadapan dengan situasi yang diterangkan, anda seharusnya fahami dahulu tentang sikap semula jadi pasangan iaitu pendiam. Secara psikologinya suami yang pendiam, sukakan isteri yang bercakap. Kegembiraannya adalah mendengar suara isteri. Bermakna suami adalah pendengar yang baik. Isteri perlu bersyukur kerana Allah hadirkan seorang pendengar yang setia.
Seharusnya isteri jangan prasangka atau menghukum. Tanyakan soalan berbentuk terbuka dan tidak menghukum sekiranya nampak suami seakan terganggu dan berhadapan masalah.
“Abang, ok ke?”
“Ada apa-apa yang mengganggu abang?
“Ada yang abang nak kongsi dengan saya atau perlukan masa sendirian. Kalau ada nak dikongsi, saya sedia mendengar.”
Bentuk soalan sebegini memberi suami pilihan jawapan. Orang pendiam, cara berfikirnya berbeza. Mereka berfikir secara visual dan tidak dengan perkataan. Pilihan jawapan membuatkan suami pendiam boleh memilih dan menjawab pertanyaan.
Elakkan bertanya soalan menghukum seperti “Abang sayang saya tak? Kalau tak sayang…”
Terdapat kajian di Amerika syarikat terhadap beberapa ribu orang lelaki ‘Apa yang mereka tak suka dalam perkahwinan’. Jawapannya ialah wanita yang mahu mengubah dirinya.
Suami mahu isteri menerima mereka seadanya. Jika ada niat mahu mengubah suami pendiam, itu menjurus ke arah kehancuran. Apa yang boleh diubah adalah diri sendiri.
Ketika bercakap nyatakan dengan lebih jelas, kita ubahlah cara memandang suami, cara komunikasi mahupun menerima suami seadanya. Fokus mengubah diri sendiri, lama-kelamaan suami akan terinspirasi dengan perubahan isteri dan dia akan berubah dengan kemahuan sendiri.
Ketika krisis perhubungan, lakukan teknik komunikasi telling the thruth. Yang mana kita sampaikan perasaan pada pasangan yang pendiam.
Telling the truth adalah satu struktur percakapan menyampaikan perasaan diri tanpa menghukum suami. Contohnya berlaku sesuai dan suami diam saja. Sikap suami buatkan isteri rasa dipinggir dan bersedih. Ini cara positif untuk bertanya pada suami.
“Abang… bila awak diam, saya rasa risau.”
“Saya nampak abang diam, tanya pun tak berjawab. Saya rasa keseorangan macam tak dipedulikan.”
Menyatakan perasaan dengan tidak menghukum atau menuduh suami membuatkan suami pendiam lebih memahami, tindakannya itu menyebabkan isteri susah hati. Menjelaskan realiti apa yang anda alami juga penting membentuk komunikasi yang jelas.