Kegagalan memang cukup sakit. Terasa gelap dan hilang arah buat seketika. Bukan mudah mahu bangkit daripada kegagalan jika diri tak cukup kuat. Jika sikap menyerah kalah dan putus asa menguasai diri memang bertambah payah.
Tetapi ramai sahaja insan di luar sana yang mampu menempa kejayaan setelah gagal. Diberi peluang kedua adalah harapan yang sangat diinginkan oleh mereka yang gagal. Prof Dr Midhat Nabil pernah tempuh saat-saat sukar ini dan dia berjaya bangkit daripada kegagalan sebelumnya.
Sudah tentu dia sangat berterima kasih kepada pihak UiTM Jengka, Pahang (Universti Teknologi Mara) kerana memberi dia peluang kedua. Hingga ke saat ini dia masih mencari siapakah yang menghubungi ibunya dan memberi dia peluang untuk membuktikan kemampuan diri.
Ikuti perkongsian, Midhat Nabil ini:
Sebenarnya saya masih belum berkesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang telah memberikan peluang kedua kepada saya. Secara jujurnya, peluang kedua ini telah mengubah hidup saya secara langsung.
Apabila menerima slip keputusan peperiksaan semester yang berstatus ‘Gagal & Diberhentikan’, terus terang saya katakan bahawa saya sendiri pun sudah tidak pasti lagi dengan masa hadapan saya. Ketika itu, masa hadapan saya kelihatan sungguh gelap. Jadi, saya mengambil keputusan untuk bekerja sebagai seorang staf pelayan katering selepas itu.
Kepada staf UiTM yang telah menghubungi ibu saya dan pihak UiTM Jengka, Pahang yang sudi untuk memberikan peluang kedua buat saya, dari hati yang ikhlas, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik ini.
Bayangkanlah, tanpa panggilan itu, dimanakah saya berada sekarang ini?
Syukur, Alhamdullilah juga di atas segala nikmat yang telah Engkau berikan padaku selama ini.
#Peluangkedua
#Bangkitdarikegagalan
#Janganputusasa
Sumber: Midhat Nabil
MW: Semoga perkongsian ini dapat memberi inspirasi kepada anak-anak kita yang pernah gagal dan sedang menghadapi kegagalan. Sebagai mak, ayah berilah peluang kedua. Pernah gagal sekali tidak bermakna akan gagal hingga bila-bila. Jangan sesekali berputus asa.