Dapat Hak Jagaan Anak Perempuan, Serina Bersyukur Mahkamah Beri Keputusan Terbaik

Share

Sesungguhnya inilah keputusan yang dinantikan oleh seorang ibu apabila rumah tangga yang dibina terhenti di tengah jalan. Hak jagaan anak bukanlah isu yang kecil dan seringkali menjadi perbalahan dan pergaduhan setelah pasangan bercerai.

Alhamdulillah dapat hak jagaan anak perempuan, Serina bersyukur mahkamah beri keputusan terbaik untuknya setelah sekian lama menanti.

Mahkamah Putuskan Hak Penjagaan Anak

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini memutuskan hak penjagaan kekal terhadap anak perempuan Serina Redzuawan berpihak kepada pelakon itu, selepas meneliti permohonan yang dibuatnya tiga tahun lalu.

Hakim Syarie Salehan Md Yatim, memutuskan Serina Redzuawan, 37, berhak mendapatkan hak jagaan terhadap anaknya Isabella Saffiya O’luanaigh yang berusia sembilan tahun.

Bagaimanapun mahkamah memutuskan seorang lagi anak lelaki Serina, Tristan Tareef O’luanaigh,10, dijaga bekas suami Serina, Gavin Edward O’luanaigh, 43, atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar.

Dalam prosiding itu, Serina hadir diwakili Peguam Syarie Datuk Seri Amli Embong manakala Gavin diwakili Peguam Syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Bersyukur Dengan Keputusan Mahkamah

Sementara itu, Serina ketika ditemui wartawan, selepas selesai prosiding berkata, beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah namun agak sedih apabila anak-anaknya terpaksa berpisah.

“Saya bersyukur kerana mahkamah telah memberikan keputusan terbaik apabila saya mendapat hak jagaan anak perempuan manakala bekas suami mendapat hak jagaan anak lelaki.

“Hari ini, mahkamah buat keputusan ini mungkin tidak mahu berlaku pergaduhan lagi. Saya juga bersyukur perintah penjagaan kedua-dua anak yang dijaga Gavin sebelum ini dibatalkan,” katanya.

Failkan Hak Jagaan Sejak 2018

Sebelum ini, Serina memfailkan permohonan untuk mengubah perintah hak jagaan kekal pada 26 Februari 2018 lalu atas alasan antaranya Gavin yang dinamakan sebagai pihak responden tidak mengamalkan hidup secara Islam.

Pada masa sama, Serina juga khuatir anak-anaknya akan dibawa keluar dari Malaysia memandangkan keluarga bekas suaminya itu berada di London.

Pada Julai 2018, mahkamah sama menolak permohonan Serina untuk mendapatkan hak jagaan sementara dua anaknya itu kerana telah ada hak penjagaan kekal yang dipersetujui bersama sebelum ini.

Mahkamah dalam keputusannya selain itu turut menegah Serina dan Gavin daripada membawa anak-anak mereka ke luar negara walaupun Serina memohon mahkamah tidak membenarkan bekas suami sahaja membawa anak ke luar negara.

Perintah itu terpakai sehingga kes induk permohonan Serina untuk mengubah perintah berkenaan.

Baca Juga Di Sini:

Hak Jagaan Pada Bekas Suami Dan Ini Penjelasan Serina Bila Disoal Tentang Keputusan Nekadnya

‘Penuh Kucing Jaga Jenazah Mama Sebelum Dikebumikan’ Serina Redzuawan

Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.

Pada 27 Julai 2017, Serina telah memberikan hak penjagaan kekal dua anaknya itu kepada bekas suaminya itu melalui penghakiman persetujuan berdasarkan beberapa syarat dan terma lawatan yang telah dipersetujui bersama.

Serina dan Gavin berkahwin pada 1 Januari 2010 namun bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan Tristan Tareef, 10 dan Isabella Saffiya,9.

MW: Bersyukur kepada Allah, Serina akhirnya mendapat hak jagaan kekal anak perempuannya. MW mendoakan yang baik-baik buat Serina dan keluarga kecilnya.

Sumber: Sinar Harian

Published by
Syazwani Mehat