Anak ‘tertegur’ makhluk yang tak nampak ini kadangkala boleh jadi dekat sesiapa saja. Baik mak, ayah mahupun anak-anak. Susahnya boleh membawa tak tidur malam. Sebab perangai akan jadi pelik dan lain macam. Kalau tak segera dirawat lama-lama boleh memakan jiwa. Sebab itulah mak ayah kena peka. Kalau anak mulai berperangai lain dari yang lain, bertindaklah cepat-cepat. Pengalaman seram ibu ini rawat anak sulungnya, Danial mungkin boleh dijadikan pedoman.
Selama ini aku hanya mendengar cerita kawan-kawan dan menonton aksi ‘mistik’ di dalam adegan drama atau filem di kaca TV. Tak sangka pula kali ini aku melalui berdepan dengan perkara sebegitu.
Memang aku tak pernah duga ia terjadi pada anak sulungku. Dia anak yang aktif, rajin namun sangat sensitif. Sejak kecil, Danial memang suka meneroka benda-benda baru. Mainan yang paling dia ‘gila’ iailah Lego. Dari sekecil-kecil model Lego sampai yang besar, semua dia nak beli. Rabak poket aku kalau lalu kedai mainan.
Tapi kerana dia juga rajin belajar, aku layankan je lah beli Lego tu. Walau duit melayang, aku cakap tak pe lah mainan Lego tu bantu anak jadi kreatif. Bak kata orang bijak pandai, sel-sel otak berhubung. Ha! Ha!
Sampai suatu hari, aku perasaan Danial yang suka berbual jadi pendiam. Dia tak nak main dengan adik-adiknya. Aku perhatikan, balik dari sekolah Danial akan berkurung dalam bilik. Mula-mula aku fikir mungkin dia dah besar jadi nak privasi sebab rimas dengan adik-adik yang selalu ganggu dia.
Tapi perangai Danial makin pelik. Dia suka mengamuk dan menjerit-jerit. Masih nak sedapkan hati, aku fikir mungkin dia tension kot. Seminggu berlalu, perangai Danial semakin pelik. Bila aku tanya, dia diam je.
Danial Histeria Dalam Van
Masa terus berlalu tapi Danial semakin memencilkan diri. Badannya kurus kering, mata dah macam panda. Lebam dan hitam. Nak kata sakit, ok je. Selera makan pun tak berkurang. Tapi badan dia semakin melidi.
Hati aku rasa tak sedap, naluri keibuan memang kuat. Aku sangat pasti ada yang tak kena dengan Danial. Benar telahan aku, guru kelasnya berkongsi cerita tentang Danial. Rupanya di sekolah, Danial tak nak masuk kelas. Dia menangis dan mengamuk, habis buku sekolah dikoyaknya.
Pernah sekali tu, Danial menyorok di bawah meja. Dia tak nak berjumpa dengan orang. Sikap Danial yang pelik turut menimbulkan tanda tanya kepada guru dan pengurusan sekolah. Aku bertemu empat mata dengan guru kelas Danial.
Mula-mula kami ingat dia ada masalah di sekolah, mungkin kena buli atau takut dengan mana-mana cikgu. Rupanya tak, Danial ok sahaja. Malah guru kaunseling mengatakan Danial normal. Tiada sebarang tekanan yang mendesak.
Tertegur ‘Benda’ Di Sekolah
Lagi aku pening kepala. Perangai pelik Danial aku cerita pada nenek. Dia sarankan aku berubat cara Islam. Aku temui ustaz untuk pulihkan Danial. Katanya ada ‘benda’ yang berkenan dengan Danial. ‘Benda’ ini nak berdamping dengan anak aku.
Ads
Ya Allah, meremang bulu roma aku. Selepas berubat, Danial kembali ceria. Tapi hanya seminggu bertahan. Kalau dulu pendiam sekarang Danial jadi agresif, habis semua orang dipukul.
Aku pantau Danial di sekolah. Satu hari aku lihat Danial bercakap seorang diri dan gelak-gelak di dalam kelas. Sedangkan semua kawan-kawannya sedang bersenam di padang sekolah. Ya Allah memang meremang bulu roma aku menyaksikan kejadian ini. Dia seperti sedang berbual dengan ‘seseorang’.
Pernah anak aku histeria dalam van sekolah. Dia menggelupur macam dirasuk. Selepas kejadian itu, hampir setiap malam Danial mengigau dan menjerit ketika tidur. Sebagai ibu, memang aku tak senang duduk. Akhirnya aku ambil cuti panjang dan bawa Danial berubat. Aku bimbang keadaan Danial jadi lagi teruk.
Setiap malam aku berdoa agar anakku pulih. Ustaz datang ke rumahku, dia ‘bersihkan’ rumah dan pagar rumah. Katanya ‘benda’ yang mahu berdamping dengan Danial ikut sampai ke rumah. Patutlah anak ketiga aku ketika itu yang masih kecil asyik menangis.
Ustaz mandikan Danial dengan air limau yang dibacakan surah tertentu. Alhamdulillah, Danial beransur pulih. Danial kembali ceria, aktif dan tidak lagi mengamuk. Rupanya selama ini, Danial tak nak ke sekolah kerana ternampak benda itu bertenggek di kelasnya. Kata ustaz, Danial tertegur ‘benda’ ini di sekolah. Kebetulan ‘benda’ ini suka dengan anak aku. Itu yang dia nak berdamping.
Syukur pada Allah, anakku pulih sepenuhnya. Selepas peristiwa ini, aku semakin peka dengan perubahan Danial dan anak-anak yang lain. Aku juga berkongsi cerita dengan guru, rupanya memang ada kes-kes sebegini kerana ada tapak sekolah yang ‘keras’. Nasihat aku, kepada ibu bapa di luar sana jika anak menunjukkan perubahan yang pelik, cepat-cepat bawa berubat.
Ini Tanda-tanda Gangguan ‘Mistik’
(Semua tanda-tanda ini dialami Danial dan ada juga yang berlaku pada aku dan suami)
Ads
1. Sering bermimpi buruk, meracau atau mengigau.
2. Berubah sikap menjadi pendiam.
3. Suka memencilkan diri.
4. Baran atau suka mengamuk.
5. Jatuh sakit.
6. Terdengar suara aneh di rumah atau sekitar rumah.
7. Tercium bau busuk
Ads
8. Anjing menyalak (rumah jiran depan pasangan Cina yang bela anjing. Masa Danial sakit, anjing asyik menyalak bila nampak Danial)
9. Aku dan suami kerap sakit kepala tanpa sebarang punca.
10. Bayi atau anak kecil menangis.
11. Rasa diri diperhati.
Kami Atasi Dengan Cara
1. Berubat dengan ustaz dengan kaedah perubatan Islam.
2. Amalkan mandi limau nipis, ia dapat membuang unsur negatif.
3. Bagi salam setiap kali masuk ke rumah.
4. Jangan bagi anak main di luar rumah ketika waktu Maghrib, tutup semua pintu dan tingkap.
5. Pasang ayat al-Quran di rumah (surah Al-Baqarah dan ayat-ayat Ruqyah)
6. Solat di setiap bilik yang ada di rumah.
7. Pastikan rumah dimasuki cahaya pada siang hari, ‘benda halus’ suka rumah yang gelap.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Keberanian, ketabahan, dan dedikasi adalah antara sifat-sifat utama yang dimiliki oleh wanita-wanita hebat seperti Datin Dr. Nor Fadilah Alias dan Raihana Rosdan. Kejayaan mereka dalam kerjaya masing-masing bukan sahaja hasil daripada usaha dan kerja keras mereka sendiri, tetapi juga berkat sokongan dan dorongan yang tidak berbelah bahagi daripada keluarga dan figura ibu dalam kehidupan mereka.
Datin Dr. Nor Fadilah Alias telah diberi penghormatan menerima Anugerah Ibu Inspirasi oleh Mingguan Wanita & NONA baru-baru ini. Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan kepada ibu-ibu yang telah menunjukkan keberanian, ketabahan, dan dedikasi luar biasa dalam membesarkan keluarga serta memberi sumbangan yang signifikan kepada masyarakat.
Dunia Pendidikan Sebati Dalam Jiwa
Datin Dr. Nor Fadilah Alias, yang juga merupakan Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Operasi Al Kauthar Eduqids telah berjaya mengimbangi antara kerjaya yang cemerlang dengan tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada empat orang cahayamata. Beliau dikenali ramai bukan sahaja kerana sumbangannya dalam bidang Pendidikan kanak-kanak tetapi juga kerana peranannya sebagai seorang ibu yang penuh inspirasi dan berdedikasi.
Sebagai ibu kepada empat orang anak, Datin Dr. Nor Fadilah sentiasa memastikan bahawa anak-anaknya mendapat pendidikan yang terbaik dan membesar dalam persekitaran yang penuh kasih sayang dan disiplin. Beliau percaya bahawa pendidikan yang baik dan sokongan moral yang kukuh adalah kunci kepada kejayaan anak-anaknya. Ketika ditemui usai Majlis Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & Majalah NONA baru-baru ini, beliau mendedikasikan kejayaan tersebut hasil dorongan ibu tersayang.
“Perasaan saya Alhamdulillah Syukur dan bangga kerana terpilih menerima penghargaan Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & Majalah NONA ini. Ramai ibu-ibu hebat menerima anugerah ini pada majlis ini. Mereka patut diraikan supaya mereka terus bersemangat dan memberi inspirasi kepada wanita lain,” ujarnya Ketika ditemui media selepas selesai majlis.
Dalam berkongsi kisah kegembiraan, Datin Dr Nor Fadilah tidak pernah lupa mengenang kembali kehidupannya yang lalu yang disifatkan sebagai salah satu pendorong kejayaan dirinya pada hari ini.
“Saya dilahirkan dalam keluarga yang sederhana. Pengorbanan ibu adalah antara faktor pendorong kejayaan saya. Sejak kecil saya diberi pendedahan tentang kehidupan apabila ibu membawa keluar berniaga di pasar secara kecil-kecilan. Alhamdulillah dari kecil saya sudah didedahkan dengan dunia perniagaan dan sebagainya.
Itu antara sebab mengapa saya berminat menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Saya melihat banyak penorbanan yang ibu lakukan untuk saya. Meskipun dia hanya berpendidikan sekolah rendah dan anak yatim piatu, dia amat mementingkan pendidikan untuk anak-anak.
“Apabila saya melihat sendiri betapa sukarnya nak mencari rezeki, ada kalanya hasil jualan tidak laku dan sebagainya, saya belajar sesuatu yang berharga dalam kehidupan.”-Datin Dr Nor Fadilah Alias
Saya bersyukur kerana sebagai anak bongsu, saya dapat membalas jasa kedua orang tua dan berkongsi kejayaan ini dengan mereka,” ujar Datin Dr Nor Fadilah sebak ketika bercerita mengenai sumber inspirasinya untuk berjaya dalam kerjaya dan keluarga.
“Saya tidak akan berada di sini hari ini tanpa sokongan suami saya dan anak-anak saya. Mereka adalah sumber kekuatan dan inspirasi saya,” katanya dengan penuh emosi.
Beliau juga menekankan pentingnya peranan ibu dalam membentuk masa depan anak-anak. “Sebagai seorang ibu, tanggungjawab kita bukan sahaja membesarkan anak-anak tetapi juga membimbing mereka untuk menjadi individu yang berguna kepada masyarakat,” tambahnya.
Nada yang sama turut dikongsi oleh seorang lagi penerima Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & NONA yang dibawakan oleh Al Kauthar Eduqids baru-baru ini.
Raihana Rosdan, seorang usahawan berjaya yang telah membangunkan rangkaian tadika dan taska, juga mendapat dorongan besar daripada suami dan ibunya. Suami Raihana, Mohammad Faazil Bin Fakharazi, bukan sahaja menjadi penyokong utama dalam perniagaan mereka tetapi juga memberikan sokongan emosi dan moral yang sangat diperlukan. Kerjasama mereka dalam membina perniagaan dan menguruskan keluarga telah membolehkan Raihana mencapai kejayaan yang luar biasa.
Kuasa Wanita Luar Biasa
Anugerah ini adalah satu pengiktirafan kepada ibu-ibu yang menunjukkan keberanian, ketabahan, dan dedikasi luar biasa dalam membesarkan keluarga serta memberi impak positif kepada masyarakat.
“Alhamdulillah dengan izin Allah atas kejayaan menjadi salah seorang penerima Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & Majalah NONA dan Al Kauthar Eduqids ini. Saya dedikasikan anugerah ini untuk ibu, yang banyak memberi motivasi untuk diri saya,” ujar Raihana.
Menurut Raihana yang merupakan anak sulung dari tiga bersaudara, ibunya menjadi sumber inspirasi dalam hidup. Dari kecil, Raihana melihat bagaimana ibunya mengharungi pelbagai cabaran dengan tabah dan penuh dedikasi. Nilai-nilai inilah yang diterapkan oleh Raihana dalam kehidupan dan kerjayanya, menjadikannya seorang wanita yang kuat dan bersemangat.
“Antara perkara yang paling memberi kesan mendalam dalam hidup saya adalah motivasi dari ibu. Sejak kecil, ibu tidak putus-putus memberi motivasi untuk saya. Ia menjadi dorongan dan rangsangan untuk saya berjaya dalam kehidupan,” ujarnya.
Kisah kejayaan Datin Dr. Nor Fadilah Alias dan Raihana Rosdan adalah bukti bahawa sokongan daripada orang-orang tersayang, terutama suami dan ibu, adalah kunci penting dalam mencapai kejayaan. Dorongan moral, bantuan praktikal, dan inspirasi yang diberikan oleh suami dan ibu mereka telah membentuk asas yang kukuh untuk mereka mengejar impian dan mencapai kejayaan dalam kerjaya masing-masing.
Anugerah Ibu Inspirasi yang diterima oleh kedua-dua wanita hebat ini adalah pengiktirafan terhadap dedikasi dan pengorbanan mereka, serta sokongan yang tidak ternilai daripada suami dan ibu mereka. Majlis yang ditaja oleh Al Kauthar Eduqids dan kerjasama Mingguan Wanita dan Majalah NONA ini telah dihadiri ramai tokoh wanita terkemuka, termasuk ahli perniagaan, selebriti, dan aktivis.
Anugerah Ibu Inspirasi ini bertujuan untuk mengiktiraf jasa ibu-ibu yang telah memberi impak besar dalam kehidupan anak-anak dan masyarakat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sungguh tak tergambar dek akal fikiran, bilamana seorang mak yang lumrah sifatnya sepatutnya menyayangi dan melindungi anak sendiri sanggup melakukan perbuatan durjana ini. Kejadian yang dilaporkan berlaku di Auckland ini, seorang ibu dipenjara enam tahun 11 bulan kerana menjual anak perempuannya sebagai hamba seks lebih 1,000 kali dalam tempoh 18 bulan sejak hari jadi ke-15 remaja itu pada 2014.
5 Kali Sehari
Kasmeer Lata, 36, didapati bersalah berurusan dengan hamba dan meraih untung daripada perkhidmatan seks komersial daripada orang bawah umur kerana memaksa anaknya itu menjual badan sekerap 5 kali sehari kepada beberapa lelaki.
Dia datang ke New Zealand dari Fiji bersama anak-anaknya pada 2014 dan terus tinggal di negara itu selepas visa mereka tamat tempoh menyebabkan remaja terbabit tidak dapat bersekolah selain keluarga tiada pendapatan kerana Kasmeer tidak dapat bekerja.
Jual Anak Pada Hari Jadi ke 15
Kasmeer pernah menjadi pelacur mula mencari duit dengan cara itu sebelum memaksa anaknya turut berbuat demikian apabila menjual remaja berkenaan kepada lelaki berusia 50-an pada hari jadinya ke-15.
Mangsa dikurung di dalam rumah selama setahun setengah malah pernah terpaksa menggugurkan kandungan sebelum diarahkan terus bekerja.
Pelanggan dikenakan bayaran kira-kira NZ$200 (RM570) dengan mencari pelanggan melalui iklan di Craigslist serta akhbar The NZ Herald.
Dia dianggar meraih untung kira-kira NZ$100,000 (RM285,000) hasil menjual anaknya dengan wang berkenaan digunakan untuk membayar sewa serta bil. Remaja itu akhirnya berjaya melarikan diri pada November 2016.
Minatnya dalam bidang hiking bermula ketika melanjutkan pengajian di dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik & Elektronik di Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh, Perak sekitar tahun 2006. Ketika menyertai Kelab Rekreasi dan Kembara PUO (KEREK PUO) cintanya dalam dunia pendakian pun berputik. Selepas berjaya menawan Gunung Chabang, Simpang Pulai, Perak… kecintaan Nadiah dalam bidang ini kekal berterusan sehingga kini.
Di usia 32 tahun, wanita yang juga Pembantu Tadbir di Jabatan Standard Malaysia, Cyberjaya ini lagi tak pernah puas dengan pencapaiannya. Bersama dengan Pertubuhan Nadi Sihat, Nadiah gigih melakar rencana dan target gunung mana lagi yang mahu ditawan.
“Antara halangan yang pernah dilalui semasa hiking adalah rempuhan huan lebat dan sesat bersama kumpulan di dalam hutan. Ia berlaku semasa ekspedisi ke Gunung Suku, Irau dan Brinchang. Kami berkumpulan masuk selepas waktu maghrib dan terpaksa tidur di trek kerana hujan lebat menyukarkan kami mencari laluan trek walaupun kami membawa headlamp.
“Pernah juga hidung ini terbau hamis air kencing Pak Belang semasa di Gunung Bintang, Kedah. Lazimnya apabila kita mendaki, selalunya kami bergerak secara berkumpulan. Lazimnya Pak Belang akan menyerang yang paling belakang ataupun memilih mangsa yang lemah. Tetapi risiko untuk bertemu Pak Belang itu memang ada, maklumlah kita sudah masuk kawasan ‘kediamannya’, cuma dia tak akan agresif dan menyerang manusia melainkan dia rasa terancam.
“Sebagai langkah keselamatan selalunya kami bawa mercun bola bagi menakutkannya bila perlu. Lagi satu saya ada juga mendengar perihal belerang boleh menjauhkan haiwan berbisa. Sebenarnya formula tu tak menjadi pun. Sudah menjadi kebiasaan makanan pastikan disimpan di dalam bekas berpenutup dan diletakkan di dalam khemah. Bila malam sebelum tidur selalunya kami akan nyalakan unggun api. Kadang-kadang kami bergilir-gilir tidur untuk memastikan keselamatan ahli kumpulan terjaga,”kongsinya.
Jaga mulut
Adab di dalam hutan, jangan terlalu yakin, cakap besar dan terlajak gembira. Seperti yang kita sedia maklum hutan itu, selain haiwan dan unggas ia juga didiami oleh mahkluk yang tidak nampak dipandangan mata kasar manusia.
“Sejujurnya sudah menjadi amalan seperti yang dikongsi oleh mereka yang lebih berpengalaman, kalau masuk hutan jaga adab dan tingkah laku. Elakkan bercakap besar atau meninggi diri. Kita datang ke tempat orang, haruslah jaga adab tertib. Saya secara peribadi amalkan membaca ayat Kursi, ayat ke sembilan dari surah yasin, lima ayat pertama surah Al Baqarah dan tiga ayat terakhir surah Al Baqarah.
“Kalau kita dikawasan hutan yang berlandskap cantik dan berpohon unik… jangan cemarkan tempat itu dengan sampah atau pandai-pandai merosakkan tumbuhan di situ. Adalah sebab-sebabnya. Ingat tujuan asal kita ke tempat ini untuk menghargai kekuasaan Allah S.W.T dan menghayati ciptaan Nya,”pesannya.
Tak pernah serik dengan kecederaan
Serik akibat kecederaan itu perkara paling mustahil berlaku ke atas pendaki. Sebaik pulih dari kecederaan selalunya kaki gunung ini akan meneruskan hobi mereka seperti biasa.
“Kecederaan ringan seperti terseliuh kaki misalnya, saya akan berehat selama dua minggu sehingga ia benar-benar sembuh. Tidak serik itu adalah normal bagi seorang pendaki gunung sukan extreme dan ini adalah cabaran biasa buat kami. Jari saya juga pernah juga pernah terluka kerana terpegang duri pada pokok rotan. Bagi menghentikan pendarahan luka itu dibalut sebaiknya bagi mengelakkan darah terus mengalir.
“Ketika saya berusia sembilan tahun, saya pernah mengalami patah bahu.
Ingin menguji kemampuan diri, saya tidak pernah menjadikan kecederaan itu penghalang untuk aktif dalam bidang ini. Saya juga ingin berkongsi pencapaian peribadi yang membanggakan, apabila berjaya mendaki hingga ke Gunung Merbabu iaitu gunung berapi yang tidak aktif dan ketika cuaca sejuk mencengkam pada jam tiga pagi kami mula mendaki hingga ke puncak. Pengalaman ekstrem lain apabila berjaya menawan Gunung Fansipan di Vietnam agak getir kerana perlu bertahan dengan cuaca sejuk ekstrem yang mencapai suhu negatif empat darjah Celsius.
Sasar ‘Seven Summits’
Wanita ini menyasarkan untuk menawan tujuh gunung tertinggi di dunia bagi melengkapkan ekspedisi peribadinya. Selain aktiviti gunung, Nadiah juga aktif menyertai larian marathon dan ultra, berlari hutan denai (trail run), berkayan dan ke gim untuk melakukan rutin senaman High-intensity Interval Training (HIIT) bagi mengekalkan stamina diri.
“Sasaran untuk menawan gunung tujuh gunung tertinggi di dunia (Seven Summits); tujuh puncak tertinggi di dunia itu adalah Puncak Carstenz di Pegunungan Jaya Wijaya Indonesia (4.884 mdpl), Gunung Vinson di Antartika (4.897 mdpl), Gunung Elbrus di Rusia (5.642 mdpl), Gunung Kilimanjaro di Tanzania (5.895 mdpl), Gunung Aconcagua di Argentina (6.962 mdpl), Gunung Denali di Alaska (6.194 mdpl) dan Gunung Everest di perbatasan Nepal dan Tibet (8.848 mdpl).
“Seven Summits mewakili tiap beberapa benua yang ada di dunia ini, Asia, Eropah, Amerika, Afrika, dan Benua Antartika. Asia mewakili dua puncak, iaitu Puncak Carstenz dan Gunung Everest sebagai puncak yang paling tertinggi di dunia. Dalam perancangan saya ingin menjejakkan kaki ke puncak gunung terdekat iaitu Everest Base Camp (EBC) di Nepal. Saya juga dalam proses mengumpul dana untuk mendaki Gunung Alpine (Gunung bersalji) yang terkenal dengan cuaca esktrem sejuk.
“Bagi pendapat saya hiking adalah hobi menyeronokkan dan bukan menyakitkan. Pesanan saya untuk yang suka pada trip compress, cuba ambil masa dengan menghayati alam semulajadi, berkemah dan bermalam dalam sekitar tiga hari disitu bagi menikmati dengan lebih tenang panorama gunung dan hutan. Hal ini untuk trip Konvesionnal terutamanya.
“Nasihat saya, kepada mereka yang baru berjinak-jinak, naik dulu bukit bukau yang rendah ada di Malaysia dan mulakan mendaki ketika waktu siang. Ikut kemampuan diri dan mulakan langkah pertama anda. Saya yakin lama-kelamaan anda akan jatuh cinta dengan aktiviti sihat sebegini,”cerita wanita aktif ini menutup bicara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...