Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Ni, Mak-Mak Kena Pandai Atur Aktiviti Anak

Kita masih lagi di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan diminta duduk diam-diam di rumah. Walau pun sedang diuji dengan musibah Virus Covid 19, namun kita tetap perlu lihat dari sudut positif agar tempoh duduk diam di rumah ini dapat ditempoh dengan tabah dan bermanfaat.

Ah..Bosanlah!

Kenapa bosan? Bukan saja anak-anak, malah ada juga mak ayah yang mula tak senang duduk, bosan katanya memerap di rumah saja. Tak boleh keluar shopping, jalan-jalan… Apakah duduk di rumah, kita tak boleh buat apa-apa aktiviti selain tengok TV atau handphone? Sebenarnya banyak aktiviti boleh buat, tinggal nak tak nak je!

Apa yang pasti, bila mak dan ayah ada di rumah dan tak perlu keluar bekerja, boleh dikatakan sepanjang masa dapat diluangkan bersama anak-anak. Tidakkah itu sesuatu yang harus dihargai dan disyukuri?

Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Ni, Mak Ayah Kena Bijak Atur Aktiviti Anak

Di Sebalik Musibah

Pahit namun pandang dari sudut positif, bila terpaksa duduk di rumah, seluruh ahli keluarga dapat berkumpul bersama. Itulah hikmah di sebalik musibah yang terjadi.

Ye, sama-samalah kita berdoa agar virus berbahaya ini dapat diputuskan rantaiannya dan akan cepat hilang. Sebab itu, memerlukan kerjasama daripada seluruh rakyat. Salah satu cara, dengan duduk di rumah dan jangan keluar kecuali hal-hal kecemasan untuk menggelakkan virus itu terus menular!

IKLAN

Anggaplah tempoh ini ‘percutian bersama keluarga’

Ada juga mak ayah yang pening kepala bila 24 jam memerap bersama anak-anak di rumah lebih-lebih lagi bagi yang ada anak ramai dan masih kecil. Walau bagaimana pun, dalam penat melayan anak-anak, jauh di sudut hati mak ayah, kita seronok bila anak-anak ada di depan mata walau pun suara dah mengalahkan tarzan menjerit itu dan ini. Sebenarnya inilah percutian keluarga percuma, tak perlu keluar sebarang kos pun!

Yang penting, mak ayah kena bijak isi ruang waktu supaya dapat memberikan manfaat pada seisi keluarga. Misalnya solat berjemaah setiap waktu. Sebaik solat, boleh juga membaca yasin bersama. Mungkin aktiviti ini sangat jarang dilakukan ketika mak ayah sibuk bekerja.

Boleh juga susuli dengan takzirah ringkas untuk anak-anak. Bahkan boleh juga bahagikan tugas pada anak-anak; siapa yang kena hamparkan sejadah, kena laungkan azan dan menjadi imam. Seronok kan?

Makan Bersama Dan Bersembanglah

Mungkin kebiasaannya sukar nak makan sekeluarga. Ada anak yang duduk di asrama atau mak ayah lambat balik kerja hingga susah berkumpul untuk makan bersama…inilah saatnya untuk makan bersama. Mak-mak pula boleh ajak anak-anak untuk masak bersama, pasti akan memberikan pengalaman yang indah dikenang oleh anak-anak kelak.

IKLAN

Gunakan waktu selama dua minggu duduk di rumah ini untuk bersembang dengan anak-anak, tanya perkembangan mereka. Kadangkala dalam sibuk kerja, nak bersembang dengan anak pun tak sempat. Sambil bersembang, urut belakang mereka dengan lembut dan berikan pelukan penuh kasih sayang. Agaknya ada tak mak ayah yang dah lama sangat tak peluk anak-anak terutama anak yang dah remaja?

Aktiviti Di Dalam Rumah

Tak semestinya duduk dalam rumah, tak ada permainan yang seronok? Semuanya terpulang pada mak dan ayah. Misalnya ajak anak bermain permainan yang menguji minda seperti teka silang kata, catur dan sebagainya.

Bersukan? Tak ada masalah…Apa salahnya ajak anak-anak bersenam bersama-sama di dalam rumah. Buka saja youtube, macam-macam senaman yang ada. Atau bermain badminton atau ping pong di dalam pagar rumah, masih boleh kan?

IKLAN

Selain itu, boleh adakan aktiviti gotong royong membersihkan rumah bersama-sama. Kalau pun tak setiap hari, selang dua tiga hari sekali pun dah okay. Rumah bersih, kita juga ada bonding time dengan anak-anak.

Di sebelah malam pula, mungkin boleh menemani anak-anak menelaah pelajaran pula. Jadi, masa anak-anak akan terisi, tidaklah hanya sekadar tengok tv dan handphone saja.

Yang PALING PENTING, jangan mak ayah dengan sengaja bawa anak-anak keluar merayau walau pun ke taman permainan depan rumah anda! Hormati Perintah Kawalan Pergerakan ini! 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI