Peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW terjadi pada 27 Rejab tahun ke-12 dari masa kenabian baginda. Ini merupakan peristiwa penting yang menjadi ingatan seluruh umat Islam hingga ke hari ini.
Tarikh ini bersamaan 622 M iaitu ketika Nabi berumur 52 tahun, setahun sebelum Hijrah dari Makkah ke Madinah. Tahun ini juga dikenali sebagai Tahun Dukacita kerana bapa saudaranya Abu Talib dan isterinya Khadijah binti Khuwailid meninggal dunia. Nabi dan anak angkatnya Zaid ibn Harithah diusir dan dibaling batu oleh penduduk Taif sehingga berdarah.
Peristiwa Israk Mikraj ini tercatat dalam surah Al-Israa’ ayat 1 (Al-Quran:17:1). Surah An-Najm (Al Quran:53:13-18) juga menceritakan peristiwa ini. Perjalanan selama 3/4 malam sahaja dan Rasulullah SAW kembali semula ke Makkah sebelum terbit fajar. Israk bermaksud baginda menunggang Buraq (perjalanan istimewa menggunakan kenderaan Allah yang kelajuannya tidak boleh ditandingi dengan apa saja kenderaan yang direka oleh manusia).
Baginda bersama Jibrail dari Masjidil Haram ke Masjid Al- Aqsa di Baitulmaqdis yang lebih dikenali sebagai Palestin hari ini. Mikraj bermaksud perjalanan baginda dari Masjid Al-Aqsa ke Sidratul Muntaha. Selain dibawa ke langit Sidratul Muntaha, baginda juga ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.
Sebagai umat Islam dan di kala Malaysia melalui saat-saat sukar menangani Covid-19, apa kata kita lipat gandakan amalan dan berdoa kepada Allah SWT agar diberi perlindungan, diberi kesembuhan, diberi kekuatan buat mereka yang menjadi perisai terpaling hadapan membantu Malaysia dalam usaha bebas covid-19.
Berikut adalah amalan yang boleh dilakukan sempena hadirnya Israk Mikraj bersamaan 27 Rejab malam ini.
Beramallah bersungguh-sungguh dengan berjaga sepanjang malam bagi melakukan ibadah solat-solat sunat, beristighfar, bertahmid, berzikir, bertasbih, berselawat dan berdoa. Bersahurlah sebagai persediaan puasa pada siangnya dan amal ibadat yang lain.
Amalan Malam Rejab
- Solat Sunat Tahajjud 2, 8 atau 12 rakaat
- Solat Sunat Tasbih
- Solat Sunat Taubat
- Solat Sunat Witir
- Beristighfar 70 kali, 100 kali atau lebih
- Berdoa
- Memohon keampunan diri dan ibu bapa
- Berselawat, berzikir dan bertasbih sehingga fajar subuh
Banyak lagi ganjaran yang Allah beri jika umat Islam beribadat sepanjang Rejab. Berpuasa sunat adalah antaranya. Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah seperti puasa seribu tahun, kerana kebesaran hari Israk-Mikraj.
Sayyidatina Aishah berkata bahawa Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: “Semua manusia dalam kelaparan pada hari kiamat kecuali nabi-nabi dan keluarga mereka juga orang yang berpuasa pada Rejab, Syaaban dan Ramadan. Mereka tetap kenyang tanpa berasa lapar dan tidak pula haus.”
Amalkan zikir yang kita boleh lakukan setiap hari untuk menyelesaikan pelbagai masalah kita: LAILAHAILLA ANTA SUBHANAKA INNIKUMTUM MINADZOLIMIN. Bacalah zikir ini selama 10 minit setiap hari dan Insya-Allah dipermudahkan segala urusan.
Doa ini afdal dibaca 11 kali ketika sujud sebaik saja selesai salam solat fardhu. Kemudian, mohonlah doa daripada Allah SWT. Insya–Allah dengan izinNya akan dimakbulkan.
Bagi mengelak tularan virus ini, patuhilah arahan kerajaan sebaiknya. Jika tidak ada kepentingan untuk keluar, duduk diam di rumah jauh lebih baik. Dalam sedapnya kita makan, bersenang-senang menonton televisyen, melayan YouTube sambil anak-anak dan suami ada didepan mata. Ada orang yang merisikokan diri dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19. Hargailah usaha-usaha mereka, dan anda mampu mengubahnya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI