Dunia tipu-tipu itu macam mana? Nak bagi mudah faham, dunia tipu-tipu itu ibaratnya pentas media sosial kitalah. Bukan semua yang digambarkan di media sosial itu seratus peratus benar.
Kadangkala banyak juga tipu dayanya. Dan jika dinyatakan akan kebenarannya tetap hakikat itu menyakitkan. Mahukah kita percaya?
Hadamkan perkongsian Bonda Nor ini. Agar tidak letih melayan dunia tipu-tipu di depan mata.
Dulu-dulu saya guna FB, fokus share kebaikan saja. Apa saya belajar di kelas-kelas agama, saya kongsikan semula mengikut pemahaman saya. Iyalah, niat menulis nak cari pahala.
Tapi lama-lama, orang mula panggil saya ustazah. Ah, sudah! Mulalah saya rasa gelisah sebab saya ni cuma seorang bekas minah rempit yang sedang pelan-pelan cuba berhijrah.
Masa tu, saya mula terima mesej-mesej yang memuji saya, kagum dengan saya, sampai satu peringkat anggap saya bidadari syurga.
Terus saya rasa macam.. (emoji terkejut)
Kalaulah dia tengok ‘bidadari syurga’ yang satu ni mengamuk macam mana, mesti dia ngeri giler. Hahah.
Sejak tu, saya tukar pendekatan. Saya mula share tentang kehidupan normal seorang manusia yang kadang okey, kadang tah hape-hape. Yang kadang masak jadi sedap, kadang masin namatey… kadang hangus rentung sebab sibuk main FB.
Bila orang kagum tengok saya boleh buat banyak kerja dan tanya macam mana saya uruskan masa, saya tak malu nak mengaku yang hidup saya tak terurus.
Bila orang tanya apa saya buat kalau stres, instead of acah-acah baik konon baca Quran dan berzikir sebanyak-banyaknya, saya tak malu nak cakap yang saya bila stres, memang saya rasa nak tidur je.
Bila orang tengok ruang saya bergambar dalam rumah cantik dan minta saya tunjuk lagi ruang yang lain, saya tak malu nak bagitau ruang lain tu bersepah.
Bila orang puji cara saya didik anak, saya tak malu kongsi kisah saya kena panggil ke sekolah sebab anak saya pelajar bermasalah.
Akhirnya, sahabat-sahabat saya mula menerima saya apa adanya. Bonda Nor yang tidak sempurna. Yang berjuang untuk ke syurga, tapi masih banyak cacat cela.
Dan selepas itu, saya lebih selesa kerana tidak perlu hidup dalam pura-pura. Legaaaa!
Sungguh!
Baca sini : Waktu emosi, jangan up apa-apa di media sosial, luah saja di tikar sejadah.
Medsos ni dunia yang banyak tipu-tipu.
Hakikatnya, apa yang terpamer kadang tak sama macam yang kita fikir.
Antara pesan saya pada anak-anak, jangan takjub sangatlah tengok artis atau selebriti tayang apa kat IG dia, konon kaya, bahagia, baik giler… Gambar pergi bercuti, video surprise suami hadiahkan itu ini… tak payah nak cemburu, tak payah nak kagum sangatlah. Biasa-biasa saja sudah!
Itu semua cerita on kamera. Di balik tabir, mereka manusia biasa juga. Sarat cacat cela. Kadang ketawa, kadang menangis juga.
Dan selalu saya pesan pada diri saya sendiri, “Be yourself! It’s you … full of flaws. Accept it, so then you can educate your readers, your friends and followers how to become better together.”
Tapi kalau asyik nak berlagak sempurna, payahlah. Penat berlakon depan kamera!
Lebih payah kalau Allah akhirnya buka aib satu persatu. Bukan kita saja yang malu, bahkan yang selama ini begitu percayakan kita juga pasti akan hancur hatinya.
Sedih.
Lebih payah, kalau Allah dah tunjuk salah kita pun, masih ada yang tak dapat terima hakikat dan masih terus agungkan kita, yang dia anggap ahli syurga. Jadi, adakah itu bermakna perlu lakonan seterusnya?
Letih!
Pesan saya pada diri sendiri, be better but be honest. Tulis dengan jujur. Jangan suka berpura-pura.
Pesan saya pada sahabat-sahabat yang saya kasihi, be true and be wise. Jujurlah pada kebenaran dan terimalah kenyataan.
Dalam dunia tipu-tipu, adakalanya kebenaran sangat menyakitkan!
Mingguan Wanita : Jangan hati agar tak mudah terpedaya dengan apa yang dilihat di media sosial.
Sumber/Foto : Bonda Nor
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW