Suatu ketika dahulu, kerjaya jururawat bukan pilihan wanita berasal dari utara tanah air ini. Namun setelah tahun demi tahun berlalu, dirinya bersyukur ke hadrat Ilahi atas segala ketentuan-Nya. Malahan terbit rasa bangga pabila dilahirkan sebagai jururawat, seterusnya diberi peluang untuk berbakti kepada masyarakat dan ahli keluarga.
Sesungguhnya Hayana Johan, 51 tahun yang kini memegang jawatan Pengajar Jururawat (U41) di Institut Latihan Kementerian Malaysia (ILKKM) Kangar Perlis amat terharu dengan pelbagai pengalaman yang dikutip sepanjang perkhidmatannya.
Secara tidak langsung, setelah bergelar Pengajar Kejururawatan, ia menjadikan kerjaya Hayana cukup sempurna. Pengalaman bertahun- tahun ketika menjadi jururawat dapat digunapakai dan segala ilmu yang ditimba dapat dicurahkan kepada generasi baru yang bakal bergelar jururawat.
“Menjadi seorang jururawat ni bukanlah pilihan utama saya mahu pun cita-cita saya. Secara suka-suka mengisi borang SPA ketika di tingkatan enam kerana menurut kawan-kawan lain yang turut sama mengisi. Alhamdulillah, setelah menjalani sesi interview, saya dipanggil untuk mengikuti latihan kejururawatan.
“Walaupun berat hati, tetapi setelah dipaksa ayah, saya akur walaupun hati tak berapa suka. Maka Julai 1989 bermula la dunia baru saya dalam bidang jururawat. Habis training pada Julai 1991, bermulalah mengalas tugas sebagai jururawat di Hospital Pulau Pinang.
“Selepas itu pada tahun 1992 mengikut suami bertugas di Hospital Kangar, Perlis dan akhirnya 1998 bertugas di tempat sendiri iaitu di Hospital Langkawi. Di tempat sendirilah kerjaya saya sebagai jururawat mula berkembang. Mendapat sokongan dari pihak atasan memberanikan saya menghadiri kursus Kebidanan 1 pada tahun 2005 selama setahun di Kolej Jururawat Alor Setar.
“Manakala 2007 pula sekali saya menyambung belajar dalam Public Health Nurse di Institut Kesihatan Umum, Bangsar Kuala Lumpur selama setahun,” ungkapnya yang telah menamatkan pelajarn di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan Kepujian di Open University (2011).
Jelas anak kelahiran Pulau Langkawi, Kedah, untuk menjadi seorang jururawat yang berilmu, sebaiknya perlu terus maju ke hadapan dan sama sekali tidak akan menoleh kebelakang. Selain itu, sokongan yang kuat dari insan terdekat termasuklah ketua jabatan, kawan-kawan, suami serta ibu dan ayah mak ayah menjadi tulang belakang kejayaannya.
Pada pertengahan 2012, Hayana mendapat panggilan temuduga daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai Pengajar U41 dan akhirnya Mei 2013, dirinya mula melapor diri sebagai Pengajar U41. Memulakan tugas di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Negeri Sarawak dan kemudian balik ke Semenanjung pada Disember 2013 dan bertugas di negeri Perlis sehingga sekarang.
“Sebenarnya, kerjaya menjadi pengajar jururawat dikategori dalam kumpulan pengurusan dan professional di KKM. Oleh itu setiap daripanya mestilah mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kepujian. KKM sentiasa memberi peluang untuk kami menyambung belajar ke peringkat master dan PhD.
“Disebabkan bilangan kami sebagai pengajar diseluruh Malaysia tidaklah ramai membuatkan kerjaya kami tidak terlalu menonjol. Oleh itu, saya selalu menasihati pelatih saya supaya sambung belajar ke peringkat lebih tinggi setelah mula bekerja nanti.
“Jika ada peluang, rebutlah peluang mengikuti latihan-latihan post basic dan tanamlah azam serta cita-cita untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi kerana kerjaya jururawat sentiasa menjadi rebutan di pasaran. Kalau hendak dibandingkan tugas menjadi jururawat dengan tugas sebagai pengajar sama-sama mencabar.
“Masing-masing tugas memerlukan kesabaran yang tinggi. Seperti yang semua tahu, tugas jururawat bermula tatkala berhadapan dengan pesakit, keluarga mereka dan orang awam. Manakala bagi pengajar adalah apabila kita berhadapan dengan pelatih,” ungkapnya yang mengakui setiap karier ada cabarannya.
Jelas Hayana lagi, tugasnya sebagai pengajar meliputi kepada pembangunan dan perkembangan akademik pelatih, urusan latihan dan amali di kawasan klinikal dan bertanggungjawab dalam hal-hal pentadbiran serta pengurusan berkaitan pelatih.
Tambahnya lagi, setelah bergelar pengajar jururawat, fokus utamanya adalah dalam melahirkan bakal-bakal jururawat yang bukan sekadar lulus peperiksaan semata, tetapi dalam masa yang sama menjadi jururawat yang berilmu, bertanggungjawab, prihatin serta komited terhadap tugas mereka.
Berpengalaman lebih daripada 20 tahun sudah tentu banyak memberi pengalaman manis buat diri Hayana. Setelah menjadi pengajar, dihargai oleh pihak atasan dan pelatih sudah memadai buatnya.
“Setiap kali pelatih lulus cemerlang, ia juga cukup bermakna dan buat saya tersenyum bangga. Lebih manis apabila dapat melahirkan beribu-ribu jururawat yang boleh memberi khidmat yang ikhlas kepada masyarakat juga menjadi pengalaman cukup indah dan manis buat saya.
“Sepanjang saya berkhidmat, tiada istilah pengalaman pahit dalam hidup saya kerana setiap kejadian yang berlaku mempunyai hikmah dan pengajaran untuk kita terus bermahasabah diri ke arah yang lebih baik,” katanya yang telah mendirikan rumahtangga dengan Mohd Sobree Kamarudin dan telah dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Di samping itu, menurut Hayana, untuk berada di tahap sekarang dirinya banyak berkorban. Selain wang ringgit, masa bersama keluarga juga perlu dihadkan kerana sehingga sekarang, dia hidup berjauhan dengan suami dan anak-anaknya.
“Ini pengorbanan terbesar yang saya lakukan adalah hanya dapat bertemu suami hanya di hujung minggu. Tetapi masing-masing terikat dengan karier sendiri, jadi hidup berjauhan adalah pilihan yang ada. Apa-apa pun demi khidmat untuk kerajaan, saya dan suami akur.
“Menjadi harapan dan impian saya untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana pada tahun 2020. Dalam masa yang sama, saya berdoa agar Allah berikan kesihatan yang baik untuk meneruskan karier menjadi pengajar jururawat dan dapat melahirkan ramai bakal-bakal jururawat yang berilmu, berahlak, berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.