Kalau tengok video berdurasi 1.39 minit yang viral dirakam oleh pemandu motosikal semalam, aksi pemandu bas Rapid KL yang melanggar beberapa buah kenderaan dah macam dalam filem. Habis disapunya sampai sebuah gerai burger pun jadi mangsa!
Penunggang motosikal itu memaki hamun pemandu bas berkenaan yang dikatakan melanggar ibunya, sebelum pemandu bas terbabit melarikan diri apabila kenderaan itu tidak bergerak selepas merempuh kenderaan lain.
Lagi kasihan, seorang wanita yang memangku seorang bayi berusia 2 bulan pun turut jadi mangsanya. Sampai terpelanting bayinya.
Manalah orang tak tibai dia selepas dicekup orang ramai. Sekarang pemandu berusia 32 tahun itu yang mengalami kecederaan dan dalam keadaan separa sedar kini menerima rawatan di Hospital Ampang.
Sepanjang aksi mengejar bas itu, empat cedera selepas tujuh kereta dilanggar bas Rapid KL yang dalam perjalanan dari Kampung Keramat menghala ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Dalam kejadian lapan buah kenderaan yang membabitkan sebuah bas dan tujuh kereta terbabit dalam kemalangan pada 8 malam itu bermula di hadapan bangunan RISDA di Jalan Ampang dan berakhir di simpang Jalan Ampang atau MRR2.
Semasa cubaan melarikan diri itu, bas berkenaan turut melanggar beberapa kenderaan lain iaitu Toyota Innova, Perodua Alza, Perodua Myvi dan Proton Saga sebelum berhenti.
Pemandu bas berkenaan mungkin ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pegawai penyiasat masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu. Masih belum ada sebarang keputusan dibuat mengenai perkara itu (tangkapan).
Sumber: Harian Metro, Sinar Harian, Berita Harian