Sungguh, bagi pasangan yang menanti kehadiran cahaya mata, paling sukar nak hadap adalah menjawab pertanyaan, ‘Bila nak mengandung.’
Biarpun pertanyaan itu simple sangat bunyinya. Tapi amat makan dalam bagi pasangan yang dah lama mendirikan rumah tangga. Kalau boleh tak tanya ‘tentang nak hamil’ lagi baik. Pedih! Boleh sampai ulu hati.
Inilah yang dialami oleh pesakit Ustaz Mujahidin Al Banjari dari Pusat Perubatan Islam Al-Mujahidin. Selama 9 tahun suami isteri ini menanti cahaya mata, akhirnya tahun ke-9, Allah makbulkan doa mereka.
Isteri Saya Akhirnya Hamil Ustaz..
Minggu ini meyentuh perasaan hati saya. Sepasang pesakit datang terima rawatan, mereka datang terima rawatan dengan saya dah dua kali.
Sebelum ini, beliau datang untuk ikhtiar hamil.
Kali ini mereka datang, syukur Alhamdulillah si isteri telah disahkan hamil 7 minggu. Isterinya menanti untuk hamil ini selama 9 tahun lamanya.
Apa yang menyentuh hati saya. Bila masuk je ke bilik rawatan si suami terus peluk saya dengan erat. Dalam pelukan itu langsung tiada berkata apa-apa sehingga saya juga menitis air mata. Kami sama-sama menangis ketika itu, suasana hiba yang amat sangat.
Selepas itu saya bertanya, “Kenapa abang menangis?”
Pesakit saya kata, “Ustaz saya tidak mampu berkata apa-apa bila berjumpa ustaz kali ini. Saya rasa amat sedih, dalam masa yang sama terlalu gembira ustaz.”
“Isteri saya hamil ustaz.. ”
Katanya lagi, “Isteri saya hamil ustaz .. ”
“Isteri saya hamil ustaz..” Berulang kali beliau beritahu saya bahawa isterinya hamil.
Saya kata, “Syukur Alhamdulillah abang, semua atas izin Allah. Berapa lama abang dan isteri menanti?”
Ads
“9 Tahun ustaz. Kalau ustaz nak tahu ini adalah yang pertama kali isteri saya hamil. Dah puas saya ikhtiar ustaz. Berurut, rawatan Islam. Mana dengar sahaja saya sanggup pergi.
“Rawatan hospital dari IUI hinggalah IVF tetapi masih tak berjaya juga. Sanggup saya buat Loan untuk buat IVF, hasilnya tetap sama tak berjaya juga.”
“Dah malu asyik nak menjawab soalan kawan-kawan. Malu nak jumpa orang ramai, semangat jadi lemah. Bila lihat isteri menangis saya sayu ustaz. Sebab isteri nak sangat cahaya mata. Saya pun sama, nak juga cahaya mata tapi apa kan daya tak juga berjaya.”
Takut Suami Kahwin Lain, Bila Tak Mampu Bagi Zuriat
Isteri beliau tiba-tiba mencelah.
“Ustaz saya lagi takut. Takut suami kahwin lain. Saya tak mampu bagi zuriat pada beliau.. Paling sedih jika ada kenduri di kampung suami. Mak sedara, ipar duai perli-perli saya. Ya Allah, pedih hati ini ustaz.”
“Mujurlah mendapat Ibu dan ayah mertua yang amat memahami diri saya. Begitu juga suami, tak putus-putus bagi semangat pada saya.”
“Syukur sangat mereka memahami diri ini. Bila terjumpa kawan lama, soalan pertama mereka tanya adalah berapa orang anak kau sekarang?”
“Saya pun jawab belum ada rezeki dengan nada yang sedih. Kebanyakan kawan-kawan faham. Hanya segelintir sahaja tak faham. Kata kita tak pandai buat anak lah, kata kita ni merancang lah. Siapa yang tak nak anak dalam perkahwinan?”
Ads
“Bila tengok kawan-kawan baru lagi berkahwin mereka sudah hamil, kadang-kadang rasa cemburu dalam hati.”
“Kadang rasa kecewa sangat pada diri. Kadang rasa tak nak jumpa semua orang. Tapi apakan daya kita manusia biasa. Nampak di luaran memang macam kuat. Tapi hakikatnya.. hati kami hanya Allah yang tahu.”
“Sampai cakap dengam suami bila balik kampung sama ada belah suami, balik kampung belah saya jika ada kenduri atau Hari Raya kami nekad pekak kan telinga sahaja bila mereka tanya soalan macam-macam.”
Isteri Tertekan Dituduh Mandul
“Kadang terdengar kata-kata sinis belakang saya ni.. mandul la.. hati mana tak tertekan. Mujur dalam apa keadaan sekalipun suami tetap setia di sisi saya.
“Walaupun saya tak mampu beri beliau cahaya mata. Dia sentiasa beri saya semangat dan meyakinkan saya, tak akan tinggalkan saya walau apa pun berlaku.”
“Sungguh terharu dan rasa amat bertuah dapat suami yang amat memahami diri ini.”
“Saya dengar ustaz boleh ikhtiar untuk hamil dari seorang kawan saya. Beliau juga lama menanti. Tak silap saya dalam 6 tahun.”
“Bila saya terjumpa beliau, kini beliau juga sedang hamil 5 buLan. Kawan saya tahu saya pun masih belum dikurniakan cahaya mata. Mereka terus bagi nombor telefon ustaz untuk saya ikhtiar.”
Ads
Saya Kerap Mimpi Budak Kecil, Sakit Belikat, Bahu Berat Sebelah..
Tanpa buang masa tak lama dari tu saya dengan suami terus berjumpa ustaz di Melaka. Izin Allah dipermudahkan perjalanan kami ke sana.
“Saya dapat nombor giliran yang ke-3 untuk masuk jumpa ustaz. Bila masuk ke dalam bilik rawatan hati ini berdebar-debar.
“Bila Ustaz ruqyah saya sakit bukan kepalang, menjerit sekuat hati. Saya tak tahu kenapa sampai saya menjerit sekuat itu.”
“Selepas itu saya muntah. Ya Allah banyaknya keluar muntah sampai tak terkeluar muntah lagi. Masih ingat tika itu lembik saya lepas rawatan.”
“Ustaz kata saya terkena sihir pemisah. Masa tu sedih sangat saya. Patut lah benda kecil saya mudah nak marah suami saya tanpa sebab.
“Kadang-kadang benda kecil saja pun, saya boleh jadi meyampah nak pandang muka suami. Saya kerap sakit belakang, sakit belikat, tengkuk, bahu kerap rasa berat, bila malam kerap mimpi ular, mimpi budak kecil.
“Mimpi tempat kotor, mimpi bersetubuh dengan orang, mimpi suami curang kahwin lain, mimpi jatuh tempat tinggi, mimpi sesat dalam hutan, mimpi duduk di tengah lautan dan banyak lagi.”
Itulah yang berlaku salah satu pasangan yang datang ikhtiar hamil dengan saya.
Beliau datang berjumpa saya 2 kali dan dengan izin Allah selepas rawatan kali ke-2 telah di sahkan hamil setelah 9 tahun menanti lamanya.
Si suami tidak dapat menahan kesedihan bila masuk ke bilik rawatan kerana nak beritahu berita gembira tersebut kepada saya. Terasa sangat sedih dan rasa dihargai sangat-sangat.
Sungguh tabah dan kuat pada mereka yang masih belum dikurniakan cahaya mata.
Apa pun saya doakan agar isteri dan anak yang dikandung selamat sehinggalah selamat bersalin. Amin Ya Allah..
Tanyalah mana-mana isteri yang bersuamikan seorang perokok. Betapa susah sungguh mahu memotivasikan seorang suami perokok tegar agar melupakan ‘kecintaannya’ itu. Ya, rokok itu bagaikan kekasih yang perlu sentiasa melekat di bibir. Dan habis saja waktu berpuasa, kekasih itulah dulu yang dicari-carinya.
Kisah benar seorang perokok tegar ini dikongsikan oleh Bonda Nor, 41. Beliau sendiri membenci lelaki perokok tapi itulah juga jodoh yang Allah berikan untuknya. Fikirnya suami berhenti merokok kerana cinta. Sejujurnya bukan itu jawapannya. Sampailah akhirnya isteri ini mengerti ada satu lagi kuasa yang lebih hebat daripada cinta yang membuatkan suaminya, si perokok tegar itu melupakan keinginannya.
Kisah Benar Seorang Perokok Tegar
2 kotak besar sehari, baginya biasa. Saya sangat bencikan asap rokok. Tapi saya jatuh cinta dengannya. Mengenalinya sejak dari zaman belajar di IPT, memang mulutnya sentiasa berasap. Sakit hati melihat asap berkepul keluar dari mulutnya dan rakan-rakan lelaki yang lain. Sangat tak selesa bersembang dengan mereka.
Tapi memang cinta itu buta. Dalam ramai-ramai kawan lelaki yang saya jumpa, tetap si perokok tegar itu juga yang saya suka. Ia satu rasa yang kuat diikat dari istikharah. Pendek kata, jodoh kami diikat setelah merujuk kepada Allah.
Kami bertunang selama 3 bulan. Entah kenapa, dalam tempoh itu, saya mula jarang melihat dia merokok. Kemudian, sebaik bergelar isterinya, tidak pernah sekali pun saya lihat dia merokok. Aneh! Sangat aneh!
“Macam mana abang boleh berhenti merokok?”
Jujur, sebenarnya soalan ini menitipkan satu harapan. Ketika itu, sebagai seorang isteri yang baru dinikahi, saya harap dia akan mengatakan yang dia lakukannya kerana saya. Kerana cinta. Saya mahu dengar dia kata dia berhenti merokok kerana dia tahu saya benci asap rokok. Dia sanggup mengorbankan keinginannya kerana cintanya kepada saya. Sungguh. Saya mahu dengar pengakuan itu!
Tapi tidak. Jawapannya bukan itu.
Allah Suntik Hatinya Dengan ‘RASA’ Ini
Suami mula bercerita bagaimana Allah mula menularkan rasa bersalah dalam dirinya beberapa ketika sebelum kami berumahtangga. Mula-mula dia rasa tidak seronok kerana melihat habuk rokok yang kadang bertaburan di biliknya. Dia bimbang teman sebiliknya tidak selesa.
Lalu dia mensyaratkan diri sendiri.. nak merokok hanya boleh di luar rumah saja. Sambil bersembang di kedai makan, atau sambil lepak-lepak di tepi jalan.
Namun lama kelamaan, dia mula rasa bersalah kerana berasakan bau asap rokok itu mengganggu orang lain. Lalu dia buat keputusan untuk merokok hanya ketika dia berseorangan. Bila terasa mahu merokok, dia terpaksa keluar dan bersendirian. Akhirnya, dia mula berasakan betapa susahnya mahu merokok! Asal nak merokok, terpaksa keluar dan jauh dari orang lain. Dia mula bosan!
Kemudian, dia mula tahu tentang fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan rokok. MEROKOK ITU HARAM! Hukumnya berdosa! Maka, dia tidak berpaling lagi. Dia benar-benar berhenti mengambil sesuatu yang pernah dia cintai.
Subhanallah. Maha Suci Allah yang memberikan hidayah menerusi tekanan rasa bersalah! Sungguh, suami saya – bekas si perokok tegar itu bukan saja benar-benar berhenti merokok, bahkan mulutnya yang selalu mengepit rokok itu kini rancak menasihatkan orang lain agar turut berhenti.
Dosa Menzalimi Bukan Saja Orang Yang Rapat, Bahkan Orang Awam
Sungguh. Kebenciannya pada rokok bukan kerana cintanya kepada saya. Tapi kerana cintanya pada Allah. Pada kemanusiaan. Dan rupa-rupanya fakta ini jauh lebih bermakna bagi saya dan menambahkan lagi rasa cinta saya terhadapnya.
Fakta inilah juga yang membuatkan hati saya benar-benar tersentuh membaca nota TAUBAT SANG PEROKOK yang ditulis oleh Ustaz Rohidzir Rais hari ini. Status yang buat saya termenung panjang memikirkan sesuatu. Tentang kezaliman yang dilakukan oleh seorang perokok. Betul kata Ustaz Rohidzir…
“Antara syarat taubat ialah meminta ampun daripada orang yang dizalimi. Apakah para perokok sanggup mencari dan memohon ampun daripada semua mangsa yang terpaksa menderita dengan asap rokok yang dihembuskan di kedai makan, dalam bas, tepi jalan, masjid dan di mana sahaja.”
Benar kata ustaz, ia satu taubat yang sangat sukar kerana melibatkan kezaliman kepada orang lain. Bukan seorang.. tapi ramai. Bukan setakat dosa dengan orang yang rapat sahaja, bahkan kepada semua orang awam yang terpaksa menahan hati dengan asap berkepul yang keluar dari mulut mereka!
Kalau saya sendiri pun sering rasa cukup terseksa bila terpaksa menyedut asap rokok yang melintasi wajah saya, bagaimana dengan orang yang ada athma, yang ada penyakit lelah, bagaimana dengan bayi, bagaimana dengan warga tua yang sudah tidak berdaya?
Allahu.. adakah para perokok itu sedar betapa besarnya kezaliman yang sedang dilakukan kepada orang lain hanya semata-mata untuk memuaskan nafsu seminit di hujung bibir mereka?
Inilah Point Yang Paling Penting
Kawan, sungguh kita tidak mampu mengubah orang lain. Namun sudah tentu kita masih mampu berbuat sesuatu untuk membantu.
Apa yang saya nak beritahu sebenarnya ialah..
1) Buat kawan-kawan saya yang mempunyai suami, anak, jiran atau kawan yang kuat merokok, jangan putus asa mendoakan mereka agar berhenti. Dari kisah yang saya kongsikan ini, semoga anda semua mengerti bahawa ada sesuatu yang lebih berkesan dari nasihat panjang berjela atau ubat untuk menghilangkan ketagihan mereka – hidayah dari Allah.
Berdoalah agar si perokok itu dihimpit resah gelisah dan rasa bersalah. Doakan Allah mengurniakannya rasa empati dan kemanusiaan yang lebih tinggi. Doakan dia mula memikirkan tentang orang lain dan bukan hanya mementingkan nafsu dan kepuasannya sendiri.
Allahu Akbar. Kita ada Tuhan yang Maha Mendengar. Berdoalah!
2) Buat sang perokok yang terbaca nota ini, renungkanlah sesuatu. Jadikanlah ianya asbab untuk menggamit hidayah Allah buatmu. Jangan putus asa untuk terus cuba melakukan sesuatu yang betul untuk hidup kita. Sungguh Allah itu Maha Penerima Taubat. Rebutlah keampunan-Nya sebelum terlambat.
Hadiahkan talak pada isteri, binyi kejam kan? Aku rasa mungkin ramai wanita yan mungkin marah dan menyalahkan aku bila membaca kisahku ini. Kata aku tidak tahan dugaan. Tak kisahlah. Hakikatnya diri ini yang tanggung.
Sebagai seorang lelaki bergelar suami, tentu saja aku bertanggungjawab untuk mendidik wanita yang telah ku sunting menjadi suri hidup. Tapi andai aku tak mampu lagi memikul tanggungjawab itu, biarlah aku lepaskan dia dengan cara baik.
Aku Diperkenalkan Rakan
Aku dan bekas isteri, M, berjumpa atas saranan rakan. Kebetulan rakan baikku itu, K, mempunyai kekasih, J, yang merupakan rakan rapat M. Memandangkan aku jenis lelaki yang agak pemalu dan tak pandai ‘mengayat’ perempuan, M beria-ria tolong carikan awek untukku. Waktu itu, aku sedar sebenarnya K ada niat lain. Lagi memudahkan dia keluar dengan J kalau kami double date kerana aku berkereta sejak di universiti.
Tapi aku tak kisah kerana aku juga boleh keluar lepaskan stres belajar. Tak sangka, M menunjukkan minat kepadaku sejak pertemuan pertama. Lebih-lebih lagi dia tahu aku berkereta. Maklumlah, zaman belajar bukan ramai sangat pelajar berkereta.
Aku pula dihadiahkan kereta oleh mak dan ayah kerana memudahkan aku balik, yang hanya memakan masa lebih kurang dua jam dari kolej. Aku anak tunggal mak dan ayah yang hanya brniaga kedai runcit di kampung Tapi kehidupan kami lebih daripada mencukupi untuk hidup sederhana. Aku ada mengusahakan sebuah ladang ternakan lembu dan sebab itu aku sering kali balik. Kasihan pada ayah yang uruskan.
Tetap Hadiahkan M Duit shopping Walau Susah
M bukan wanita jahat. Dia lemah lembut dan berbudi bahasa dengan orang tua. Pandai pula memasak. Bila bawa berjumpa orang tuaku, tentu saja mereka berkenan. Akhirnya, setelah kami sama-sama tamat belajar kami disatukan.
Waktu itu aku menguruskan ladang lembu milik mak dan ayah. M pula bekerja di sebuah syarikat swasta. Sebagai suami, aku tak pernah sentuh wang gaji M. Segala belanja rumah tangga aku yang uruskan. Bahkan duit untuk dia shopping barangan mahal juga aku yang bagi, selain nafkah bulanan. Pendek kata, wang gajinya hanya disimpan. Kalau ikutkan, aku tak perlu beri duit lain untuk dia shopping memandangkan nafkah wajib dan segala keperluannya sudah kupenuhi. Tapi, aku tak kisah.
Bisnes Aku Menurun…
Bekerja sendiri ada turun naikkan. Pernah aku minta M bantu mana yang patut tapi dia buat tak tahu. M ini orangnya bercita rasa tinggi. Semua barangnya mesti berjenama. Kalau minta dia berjimat, dia akan tarik muka. Katanya malu kalau pakai barang murah ke pejabat sedangkan aku lihat kawan-kawannya biasa-biasa saja. Tidaklah semua berjenama dari kepala hingga ke kaki.
Setiap tahun perkahwinan dan hari jadinya, dia akan ajak aku ke kedai emas untuk membeli hadiah untuknya. Walau pun aku kata tak begitu ada peruntukan saat itu, tapi dia tetap berkeras. Tak nak gaduh, aku ikutkan saja walau pun terpaksa korek simpanan.
Cuba Pinjam Duit M
Sehinggalah akhirnya masuk tahun keempat kami kahwin, aku mengalami masalah kewangan berkaitan dengan ladang ternakanku itu dan meminta untuk meminjam wang daripada M kerana aku dah tiada duit tabungan. Tapi M dengan tegas tak nak bantu. Katanya baik jual saja segala lembu dan cari kerja makan gaji.
Aku pula keberatan kerana itu minatku dan tentu ayah sedih kerana dah lama diusahakan. Aku malu dengan mak dan ayah kerana M tak mahu bantu sedangkan kami tahu dia berduit. Sampaikan dia keluarkan kata-kata, dia sanggup hilang suami daripada hilang duit.
Tekad Hadiahkan Talak Untuk M
Aku sangat terpukul dengan kata-katanya itu. Ini baru sedikit minta pertolongan dia pun dia dah tak sanggup. Bagaimana kalau hidup aku benar-benar susah nanti?
Aku tekad, aku lepaskan dia dengan baik. Ya, akhirnya aku hadiahkan talak buat wanita yang pernah ku sayangi itu. Aku perlukan wanita yang sentiasa menyokong saat aku susah. Bukan hanya inginkan aku saat aku senang saja. Mungkin sebab itu juga kami belum dikurniakan cahaya mata kerana rupanya jodoh kami tak panjang.
Semoga M tidak terus bersikap begitu. Kita tak tahu nasib kita akan datang. Lagi pun, wang ringgit bukan boleh dibawa mati…
Zaman dulu, orang kata, susah nak jaga anak perempuan berbanding anak lelaki. Sebab tu, anak perempuan dikongkong berbanding anak lelaki.
Zaman ini, rasanya perumpamaan tu dah tak boleh pakai. Mak ayah sekarang rasai sendiri. Jaga anak perempuan dan anak lelaki sama hebat cabarannya. Cuma anak perempuan lain yang kita risau, anak lelaki pula ada benda lain yang kita gusarkan. Generasi Millenia sekarang memang lain macam!
Pengaruh Internet dan Media Sosial Zaman Sekarang
Sebagaimana ia mempunyai banyak kelebihan, begitu banyak juga kemudaratan yang boleh berpunca daripadanya.
Sekarang ramai ibu bapa yang memberikan anak-anak dengan telefon pintar, lengkap dengan data internet. Dengan mengakses internet, anak-anak terdedah dengan pelbagai maklumat, termasuk yang ‘tak sepatut’nya. Sebab itu, mak ayah tolong pantau apa anak-anak tengok. Jangan ingat anak terperap di rumah dengan telefon, anak-anak anda tak terdedah dengan pelbagai gejala negatif.
Berapa banyak kes melihatkan anak-anak akibat pengaruh internet. Pernah terjadi kes anak berusia 12 tahun ditahan setelah disyaki merogol kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang diasuh ibunya (akhbar Sinar Harian 2019). Anak itu terpengaruh gara-gara melihat satu video di handphone.
Itu belum lagi kes berapa ramai anak gadis yang hilang kesucian dan yang lari dari rumah ikut teman lelaki yang hanya dikenali di laman sembang online! Aduh, menakutkan bukan? Jadi mak ayah, TOLONG PANTAU anak-anak bila handphone mereka ada akses internet!
Jangan Percaya Anak Seratus Peratus!
Itu bab internet. Sikap anak-anak hari ini juga perlu diberi perhatian terutama ketika mereka sedang meningkat remaja. Jangan terlalu berikan kebebasan pada mereka tanpa pemantauan. Tak kira anak lelaki atau anak perempuan.
Apa saja yang anak beritahu, TOLONG simpan sikit rasa curiga. Bukan bermakna kita tak percayakan mereka, tapi kita kena ada rasa sangsi agar kita akan sentiasa pantau mereka. Kalau anak cakap nak habiskan masa di dalam bilik seharian sebab belajar, cuba intip. Betul ke dia belajar? Atau sedang bersembang di alam maya?
Jadi Orang Paling Rapat Dengan Anak
Jadi mak ayah bukan tugas mudah lebih-lebih lagi zaman sekarang. Kalau dulu, mak ayah pukul, anak tak berani nak lari dari rumah. Paling tidak lari rumah kawan sekampung. Tapi sekarang, salah marah sikit pun dah lari berdesup!
Sebagai mak ayah, anda yang paling ‘kenal’ sikap anak masing-masing. Tak semestinya guna pendekatan kekerasan. Kadangkala pendekatan lembut lebih terkesan di hati mereka.
Di usia remaja, anak memang kuat memberontak dan sering anggap mereka betul. Kalau mak ayah tegur, dikatakan tak faham mereka. Itulah cabaran mak ayah kena hadap.
Tak Salah Sporting Sikit…
Apa pun, bila anak meningkat remaja, terutama ketika usia belasan tahun, jangan biarkan mereka jauh dari kita. Sentiasa bertanya tentang kehidupan seharian mereka, kenal kawan-kawan mereka.
Bersikap sporting dengan anak-anak, jangan terlalu mengongkong. Misalnya, ada masa kalau mereka nak keluar dengan kawan, jangan bantah. Boleh izinkan tapi anda tahu dengan siapa, ke mana mereka pergi dan apa aktiviti mereka. Seeloknya, anda hantar dan jemput mereka. Tapi, tak boleh selalu.
Ada mak ayah tak suka anak-anak bawa kawan-kawan ke rumah. Tapi sebenarnya itu paling elok. Sekurangnya mereka ada depan mata kita. Lepak pun di rumah. Bayangkan kalau anak-anak keluar lepak di luar. Macam-macam boleh jadi. Lagi pula, bolehlah kita berkenalan dengan kawan-kawan dia tu.
Zaman Sekarang Agama Benteng Paling Utuh!
Dalam hidup, jangan pinggirkan agama dalam kehidupan kita. Begitu juga dalam mendidik anak-anak. Bila kita sudah tanamkan agama dalam hati mereka, insya-Allah…apa juga mereka lakukan, mereka takkan terpesong jauh.