Uncategorized

“Dah Lama Niat Nak Duduk Sendiri Tapi Saya Tak Mahu Mentua Tersinggung…”

Share

Hidup berumah tangga bukan sekadar melayari alam perkahwinan bersama pasangan. Ini akan melibatkan hubungan mentua-menantu. Sekiranya tidak didasari oleh toleransi yang baik, akan mengundang permasalahan yang sukar. Demikian halnya dengan kehidupan pembaca Mingguan Wanita kali ini. Ikuti luahan hatinya…

Usia saya kini 32 tahun dan melayari alam rumah tangga selama 10 tahun. Awal perkahwinan tidak banyak mendatangkan masalah kerana saya duduk tanpa kehadiran keluarga mentua dan juga keluarga saya. Tetapi semua mulai berubah apabila saya mengikut suami pulang ke kampungnya dan menetap di sana.

Mula Hidup Dengan Mentua

Segala episod baru bermula dan saya mengambil masa hampir setahun bagi menyesuaikan diri dengan keluarga mentua. Saya menganggap mentua dan adik ipar seperti ibu dan adik sendiri. Namun itu hanya di pihak saya.

Masalah banyak berpunca dari sikap adik-beradik ipar saya yang tidak pernah menghargai dan menghormati saya. Hampir enam tahun saya duduk bersama mentua dan pelbagai masalah yang timbul.

Suami pual banyak mendiamkan diri kerana tidak mahu keadaan bertambah rumit. Saya lebih suka mengambil langkah berdiam diri. Namun, sebagai manusia biasa saya tidak dapat menjadi orang yang sentiasa sabar. Ada kalanya sikap mereka melampau batas.

Kalau nak dikira pertengkaran dengan suami memang tidak terkira banyaknya. Segala keputusan selalu di pihak mentua. ‘Nak buat macam mana saya menumpang dengan orang’, kata-kata itu sering saya tekankan pada diri saya sendiri.

Sebab saya suka mendiamkan diri, adik-beradik ipar bagaikan mengambil kesempatan. Saya lakukan semua tugasan di rumah walaupun saya bekerja. Suami bekerja sendiri dan kebanyakan duit banyak dilaburkan untuk adik-adiknya yang masih belajar.

Saya sanggup berkongsi duit gaji sekiranya duit tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan adik-adiknya. Bila salah seorang adiknya tamat belajar di universiti dan mulai bekerja, dia merasakan dirinya terlalu bagus sehingga sanggup bersikap kurang ajar dengan saya.

Lagi Tersinggung Bila…

Seorang lagi adiknya berperangai tidak senonoh dan melakukan perkara-perkara yang mengaibkan ibu bapa. Mentua meminta saya campur tangan bagi menyelesaikan masalah itu namun niat yang baik untuk menjaga nama keluarga mentua disalah tafsir. Adiknya yang seorang lagi sanggup mengatakan saya betina yang menghasut ibunya dan saya yang menyebabkan ibunya menangis.

Saya merasa pelik dan saya berbincang dengan suami untuk mencari jalan keluar. Akhirnya saya merasakan tiada guna saya berbuat baik kerana akhirnya orang hanya nampak saya yang jahat. Semenjak itu saya nekad tidak mahu mencampuri urusan keluarga mentua. Saya berasa tersinggung kerana selama ini apa-apa keperluan mereka masa belajar saya cuba penuhi.

Memang sepatutnya dari awal lagi saya dan suami duduk sendiri memandang ibu mentua saya tidak sihat saya akur dan ikhlas untuk menjaganya. Namun, kadangkala saya juga tidak faham dengan ibu mentua saya.

Bila kesalahan orang terlalu cepat ditegur tapi bila anak-anak sendiri sanggup menutup mata. Dalam pakaian untuk anak-anak ia akan menjadi perkara yang terakhir kerana terlalu mementingkan anak-anaknya. Keperluan saya sendiri, saya yang uruskan tapi saya bersyukur kerana masih bekerja. Saya terfikir bagaimana nasib anak-anak kalau saya tidak bekerja.

Di sini saya ingin meminta nasihat dan pandangan puan kerana saya dan suami telah memutuskan untuk duduk sendiri tapi dalam masa yang sama saya tak mahu mentua tersinggung apabila saya keluar dari rumah mereka.

Memang bila kita cuba menjaga hati dan perasaan orang namun tidak semua orang boleh berfikir sama macam kita. Hanya pada Allah saya berdoa agar adik-beradik saya diberi hidayah dan sedar akan kesilapan diri masing-masing. Begitu juga saya, saya cuba untuk berubah dan berharap rumah tangga saya akan diredhai Allah.

Published by
Nadia