Dah Habis Ganti Puasa Belum?

Share

Lebih kurang dua minggu lagi, umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut bulan Ramadan al Mubarak.

Bagi orang perempuan, saya nak tanya. Hutang puasa dah settle ke belum? Sepanjang bulan Syaaban ini, tentu ramai yang mengambil peluang untuk melunaskan hutang puasa tahun lepas. Betul tak? Ya, bukan mudah sebenarnya nak berpuasa di kala orang lain bebas makan dan minum. Dugaan hebat tau. Memerlukan ketabahan dan kekuatan iman. Lebih-lebih lagi bila bekerja.

Saya sendiri, jika hendak mengganti puasa atau berpuasa sunat, sebolehnya saya akan ‘kosong’kan hari itu tanpa sebarang tugasan luar. Bila berada di dalam pejabat, ‘dugaan’ kurang berbanding jika bertugas di luar pejabat, dengan cuaca yang membahang. Kalau dah tak boleh elak, nak buat macam mana kan?

Sekiranya menghadiri event tertentu, biasanya jamuan ringan akan disediakan untuk para tetamu termasuk wartawan bertugas. Ketika ini, kalau berpuasa ganti, kenalah ‘pandai-pandai jaga iman’.

Bagi saya, itu tak jadi masalah. Malah saya sudah biasa dan tak kisah walau pun perlu duduk semeja dengan rakan-rakan wartawan lain yang tidak berpuasa. Tak ada rasa terliur pun. Tapi seorang rakan pernah berterus terang. Dia jenis yang tak boleh tengok orang lain makan sedap-sedap ketika dia berpuasa ganti. Silap hari bulan, memang dia akan berbuka. Sebab itu jika nak ganti puasa, dia akan ganti ketika hari cuti. Tapi, jika di bulan Ramadan, boleh pula dia tahan nafsu tengok orang beragama lain makan. Pelik kan?

Sepanjang bulan Ramadan, kami tetap keluar melakukan tugasan masing-masing. Lebih-lebih lagi sepanjang Ramadan kami sibuk dengan ‘advance’ raya. Tapi biasanya temu janji dibuat jam 11 ke atas, lebih-lebih lagi jika melibatkan wanita. Sangat dielakkan temu janji di sebelah petang kerana waktu ini mak-mak sibuk nak memasak untuk berbuka puasa.

Jemputan untuk majlis berbuka puasa juga banyak pada bulan puasa. Ada jemputan daripada pihak client dan sebagainya. Memang seronok kerana berpeluang berbuka puasa di hotel-hotel dan restoran yang bufet Ramadannya boleh mencecah lebih RM100. Wow, mahal? Tapi berbaloi dengan jumlah hidangan yang disediakan.

Kalau diberi pilihan, saya lebih suka berbuka puasa di rumah walau pun hanya dengan masakan yang ringkas. Yang penting dapat berbuka bersama keluarga. Tapi sesekali untuk memenuhi undangan client, apa salahnya kan?

Semoga kita diberikan kesempatan dan kesihatan untuk menyempurnakan ibadah puasa dengan sebaik mungkin. Ingat, sematkan azam untuk berbelanja dengan cermat ye, jangan membazir terutama ketika ke bazar Ramadan!

 

 

Published by
Nurul Azwa