Operasi mencari dan menyelamat Mohammad Ashraf Hassan, 29 atau lebih dikenali dengan nama Acap terus digerakkan oleh pihak Bomba. Malah Sabtu ini seramai 160 anggota PDRM akan melakukan misi pencarian Acap secara besar-besaran.
Hari ini, sudah 21 hari Acap tidak dapat dikesan jejaknya. Beberapa sukarelawan ada yang masih meneruskan misi mencari Acap dengan biaya kos mereka sendiri. Ada juga yang sudah kembali meneruskan tugas hakiki.
Malah pemuda Broga, Mohd Azarul Mukhriz Abd Rahman, 22 yang pernah hilang disorok bunian turut mendaki Bukit Batu Putih bersama Bomba. Meninjau lokasi terakhir Acap sebelum dilaporkan hilang.
“Bukan depa (bunian) yang ambik dia (Acap), malah saya dan ibu tidak merasai kehadiran dia (Acap) di bukit itu dan di Gua Kandu.” maklumnya yang turut ditemani ibunya, Rohana Saad, 51.
Sesungguhnya ujian kehilangan anak ini amat berat untuk ditanggung. Begitu juga tak mudah untuk seorang isteri dan anak, melupakan perasaan rindu pada suami dan ayah yang cukup dinanti.
Sebenarnya beberapa tahun lalu, ada juga kes orang hilang yang melibatkan rakyat Malaysia. Kehilangan itu mengambil masa, hingga 46 hari malah lebih setahun untuk ditemui. MW imbas kembali kes-kes terdahulu yang pernah berlaku :
Sayu sebenarnya kisah anak-anak orang asli yang hilang di Pos tohoi, Gua Musang ini. Selama 46 hari mereka tidak pulang ke asrama Sekolah Kebangsaan Pos Tohoi.
Kejadian ini berlaku pada 23 Ogos 2015, yang mana murid-murid ini tidak pulang ke asrama kerana takut dihukum. Selepas mereka mandi sungai berhampiran sekolah tanpa kebenaran.
Operasi mencari anak-anak ini melibatkan PDRM, Jabatan Bomba dan penyelamat Malaysia, RELA, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), penduduk kampung dan ibu bapa mangsa.
Sehinggalah pada 7 Oktober 2015, seorang mayat kanak-kanak Orang Asli Pos Tohoi ini dtemui dalam keadaan reput oleh penduduk kampung di Sungai Perias, iaitu kira-kira 500 meter dari Pos Tohoi.
Dua hari kemudian, dua daripada tujuh kanak-kanak itu dijumpai selamat dekat Sungai Perias. Mereka adalah Norieen Yaakob, 10 dan Miksudiari Alij, 11.
Pencarian empat lagi kanak-kanak orang asli diteruskan sehinggalah hari ke-51.
Jemaah umrah Malaysia bernama Nor Azimah Ibrahim, 32 ini pernah dilaporkan hilang pada 19 Disember 2015 di Madinah. Ibu kepada seorang anak perempuan ini berlepas ke Tanah Suci dengan ibu dan bapanya pada 11 Disember 2015.
Pada hari kehilangan Azimah, ibu dan bapanya ke Masjid Nabawi untuk solat subuh. Tetapi anaknya tak mahu ikut dan pulang ke hotel. Ketika dalam perjalanan pulang itulah dia pengsan lalu dihantar ke hospital.
Apabila mendapat perkhabaran ibu bapanya bergegas ke wad kecemasan hospital. Setibanya di sana, dikatakan Azimah sudah keluar. Sejak itu mereka tak lagi bertemu anaknya.
Bagaimana pun, setahun selepas kehilangan anaknya, iaitu pada 13 Disember 2016 Azimah ditemui semula. Pihak berkuasa Arab Saudi menghubungi pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah.
Dimaklumkan wanita ini ditahan di pusat tahanan imigresen di Makkah. Awal Januari 2017, Azimah kembali ke pangkuan keluarganya yang menetap di Shah Alam.
Namun, sampai hari ini kisah sebenar kehilangan Azimah selama setahun lamanya masih menjadi tanda tanya.
MW : Semoga kehilangan Mohammad Ashraf ini dapat dirungkaikan oleh pihak pencari. Sama-samalah kita wahai rakyat Malaysia, jangan berhenti berdoa yang baik-baik untuk Acap dan mereka yang terlibat dalam misi mencarinya.
Sumber/Foto : Sinar Harian, Astro Awani, Mstar, Berita Harian