Siti Nur Hidayah, Ibu anak 3 tekad menghubungi usahawan merangkap motivator, Syafiq Fadeli demi kelangsungan hidup keluarganya yang sedang diuji tuhan.
“Tuan, kalau saya tak terdesak, saya takkan call tuan dan merayu-rayu macam ni tuan… Dah 2 hari kami sekeluarga tak makan nasi. Minta dengan jiran, jiran bagi roti je sebab mereka pun miskin juga.”
Ini catatan Syafiq yang memaklumkan Siti Nur Hidayah atau lebih mesra dipanggil Kak Nue mendapat nombor telefonnya semasa beliau membuat program di Tanah Merah, Kelantan.
Dengan nada tersekat-sekat dan seperti menyusun ayat, Kak Nur lafazkan 1 hajat yang sangat besar.
Suami Kak Nur menyara keluarga dengan kerja mengutip plastik di tempat buangan sampah. Itulah satu-satunya mata pencarian suami Kak Nur.
Ujian Allah tiba, sebulan lepas suaminya terlibat dalam satu kemalangan semasa sedang mencari plastik di tempat buangan sampah. Akibatnya beliau tidak mampu lagi bekerja, dan tidak mampu berdiri. Alhamdulillah, dalam seminggu ini suaminya sudah boleh berdiri namun sakit di dadanya masih berbisa.
Mereka hilang satu-satunya sumber pendapatan.
Duit mereka habis. Mereka makan apa yang ada sahaja, dan berharap ihsan jiran berhampiran.
Namun jiran-jiran juga tidaklah kaya. Mereka hanya mampu memberi roti sahaja.
Dan ketika Kak Nur menghubungi saya, mereka sekeluarga sudah 2 hari tak makan nasi.
Lebih menyedihkan, Kak Nur mempunyai 3 orang anak yang masih kecil yang berumur 6 tahun, 2 tahun dan 1 tahun.
Anak kecilnya yang berumur 1 tahun itu sudah beberapa hari tidak minum susu kerana Kak Nur tidak mampu membeli susu untuk anaknya.
Anaknya yang berumur 6 tahun pula akan memasuki darjah 1 tahun depan, dan mereka sekeluarga memang tidak mampu mempersiapkan anaknya yang sulung ini. Yuran, baju, buku, alat tulis, semua tiada. Tidak mampu.
Tuan Cik Puan yang budiman.
Keadaan rumah Kak Nur sangat daif.
Menurut maklumat yang kami perolehi, sudah hampir 30 tahun rumah tersebut tiada bekalan elektrik. Mereka masih tidur malam bertemankan pelita. Terkadang ketika terdesak, mereka memasang lampu dengan menggunakan bateri kereta. Malam-malam selebihnya, hanyalah pelita.
Keadaan atap dan dindingnya yang daif dan langsung tidak selamat untuk mereka sekeluarga, apatah lagi anak-anak yang masih kecil.
Tandasnya pula berada di luar rumah, yang rupanya memang langsung tak macam tandas.
Saya bertanya tentang bantuan dari pihak berwajib. Katanya ada ‘orang poltik’ yang datang, dan tanpa segan silu bertanya yang mereka sekeluarga undi parti mana? Boleh jadi jawapan mereka tidak menyenangkan ‘orang politik’ itu, sampai sekarang tidak dapat bantuan.
Malah ada juga orang jabatan itu dan ini, NGO itu dan ini, parti itu dan ini… datang semata-mata untuk tanya khabar dan ambil gambar sahaja. Langsung tidak membantu sedikit pun.
Keadaan mereka yang miskin, terus miskin.
Kisah ini bukanlah hanya kisah.
Petang semalam selepas mendapat panggilan tersebut, kami pergi menziarahi sendiri rumahnya di Kampung Sungai Keladi, KOTA BHARU, KELANTAN. Terima kasih sahabat saya, Tuan Fakaruddin (Level Twenty-Seven) kerana sudi sertai misi ini semalam. Bukanlah kerana tidak percaya, namun di zaman ini wajiblah kita teliti dan berjaga-jaga.
Apabila kami menjejakkan kaki ke halaman rumahnya… keadaannya lebih daif dari yang diceritakan. Demi Allah, gambar-gambar yang saya kepilkan bersama post ini adalah gambar ‘real’ yang kami sendiri ambil dengan kamera telefon kami.
Alhamdulillah, semalam saya bagi sedikit sumbangan hasil pemberian orang ramai. Cukuplah untuk makan mereka dua tiga hari.
Tuan Cik Puan, bantulah.
Saya telah berbincang dengan team saya semalam, kami nak cuba kumpulkan RM3,000 untuk keluarga ini.
Perancangan kami adalah… RM2,000 kami nak bagi secara total kepada keluarga ini, guna untuk hidup. Lagi RM1,000 pun kami nak bagi total juga, tetapi kami nak cuba bantu mereka memulakan gerai untuk berniaga. InshaAllah dengan modal RM1,000 itu kami plan nak cuba gerai air, gerai pisang goreng, atau yang seumpamanya, sesuai dengan keadaan dan keperluan kawasan itu.
Bantu kami untuk kumpul RM3,000 Tuan Cik Puan.
InshaAllah dengan bisnes kecil-kecilan itu, ia dapat menampung belanja mereka sekeluarga dalam satu tempoh jangka masa yang lama.
Bantulah keluarga Kak Nur. Jadilah sebahagian dari gerakan ini.
Tuan Cik Puan yang berhajat untuk menghulurkan bantuan, tak perlu melalui team saya, Tuan Cik Puan bolehlah memasukkan duit secara terus ke akaun bank suami Kak Nur.
14196 41 000058479
MOHD KHAIRUL BIN KAMARUL IZHAN
BANK SIMPANAN NASIONAL
Untuk menjaga privasi keluarga ini, saya tidak akan mendedahkan nombor telefon Kak Nur secara umum. Namun sekiranya Tuan Cik Puan ada keperluan untuk menziarahi mereka dan sebagainya, Tuan Cik Puan boleh PM saya, saya akan memberikan nombor telefon beliau.
Saya mohon juga Tuan Cik Puan yang memberikan bantuan kewangan kepada keluarga ini, agar memaklumkan kepada saya jumlah yang Tuan Cik Puan berikan, agar saya dapat membuat anggaran jumlah kutipan semasa. Kutipan ini kita akan tutup sebaik sahaja ianya mencecah RM3,000. InshaAllah selebihnya kita akan salurkan kepada keluarga lain pula.
Hari ini kita senang, kita bantulah orang yang susah.
Kelak di akhirat boleh jadi kita susah. InshaAllah, akan ada orang bantu kita.
Maka saya menyeru Tuan Cik Puan untuk membantu keluarga Kak Nur ini, kerana inilah amal jariah yang besar nilainya, dan berkekalan kebajikannya.
Boleh jadi, doa mereka terhadap kita nanti sangat mustajab.
Mingguan Wanita menghubungi Syafiq mahu bertanyakan lanjut berkenaan kutipan sumbangan untuk Kak Nur. Ini berita terkini yang beliau maklumkan.
“Hari tu mereka berjaya kumpul dalam RM1k, tapi masa banjir di Kota Bharu hari tu, tandas dan beberapa dinding rumah Kak Nur roboh. Jadi mereka terpaksa baiki semua.
“Saya sebenarnya dah bincang dengan mereka untuk mereka mulakan bisnes nasi bungkus atau yang seumpamanya. Mereka berminat sebab Kak Nur pandai masak. Tapi duit modal bisnes tu dah habis digunakan untuk baiki tandas dan rumah hari tu.”
Sayu pula mendengarnya. Moga anda dapat membantu Kak Nur agar dia dapat mengumpulkan duit modal untuk berniaga kecil-kecilan. Semoga hasrat team Syafiq Fadeli untuk mengubah kehidupan keluarga ini, keluar dari kepompong kemiskinan akhirnya menjadi kenyataan. Amin.
Sumber/Foto : Syafiq Fadeli